
Daripada warisan abadi Seniman Agung, Tan Sri P. Ramlee sehingga ke kegemilangan perjalanan seni Biduanita Negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza serta kekuatan vokal Ernie Zakri dan karisma kumpulan sensasi Dolla, industri muzik Malaysia sekali lagi mendapat pengiktirafan di pentas antarabangsa.
Ini berikutan Universal Music Malaysia mempersembah pameran eksklusif meraikan sumbangan dan legasi berterusan insan-insan seni terbabit, yang telah membentuk landskap hiburan negara merentasi zaman ke dalam Hall of Fame Malaysia pada sebahagian daripada Pavilion Malaysia di Ekspo 2025 Osaka, Jepun, yang berlangsung sejak 13 April hingga 13 Oktober 2025 ini.
Hall of Fame Malaysia atau Dewan Masyhur Malaysia di Pavilion Malaysia menjadi tumpuan budaya yang signifikan, memaparkan keunggulan negara melalui naratif dan pengalaman audiovisual yang menarik.

Pemilihan setiap artis ini melambangkan evolusi muzik Malaysia dari era keemasan P. Ramlee sehingga ke pengaruh global yang kini dipelopori Dolla.
Pameran ini menonjolkan bagaimana muzik Malaysia telah berjaya melintasi sempadan budaya dan terus menginspirasi pelbagai generasi pendengar.
Para pengunjung yang hadir ke Hall of Fame ini akan berpeluang untuk menyelami perjalanan seni P. Ramlee, seorang legenda yang tidak hanya dikenali dalam dunia muzik tetapi juga dalam bidang perfileman Melayu apatah lagi di negara matahari terbit ini juga aktor ini memenangi Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik Ke-4 (1957) dan Bakat Paling Pelbagai di Festival Filem Asia Pasifik Ke-10 (1963), kedua-duanya berlangsung di Tokyo, Jepun.
Selain itu, pameran ini turut menyoroti perjalanan kerjaya yang luar biasa Siti Nurhaliza, penyanyi yang telah memenangi hati jutaan rakyat Malaysia sejak memulakan kerjayanya dalam industri muzik Malaysia seawal usia 16 tahun selepas memenangi pertandingan nyanyian Bintang HMI anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 1 April 1995.
Manakala, kebangkitan Ernie Zakri sebagai seorang vokalis terkemuka dan wajah baharu dalam muzik pop Melayu moden juga menjadi fokus utama, waima tiga kali memenangi Anugerah Vokal Terbaik pada Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-32, AJL35 dan AJL39 tahun ini.

Berkongsi rasa syukurnya, Ernie Zakri berkata:
“Saya sangat berbesar hati, gembira dan bersyukur kerana perjalanan kerjaya saya selama ini telah diiktiraf dan dihargai oleh semua, terutamanya para pendengar di Malaysia. Dengan kejayaan ini, nama saya kini diabadikan di Hall of Fame Osaka.
"Sudah tentu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada keluarga Universal Music Malaysia dan juga para peminat yang tidak pernah berhenti menyokong serta sentiasa menantikan projek baharu daripada saya.”
Tidak ketinggalan, pameran ini memberikan pengiktirafan kepada impak Dolla, sebuah kumpulan wanita yang berani dan berjaya membawa muzik pop Malaysia ke persada antarabangsa sejak ditubuhkan pada 2019.
“Tahun 2025 adalah tahun yang sangat menarik bagi kami. Kami telah meneroka genre dan bunyi baharu, dan sejujurnya, ia adalah tentang perkembangan diri.
"Kami sentiasa berevolusi, dan hala tuju muzik baharu ini mencerminkan keberanian kami untuk menjadi lebih autentik dalam karya seni kami,” ujar Tabby, salah seorang anggota Dolla, meluahkan kegembiraannya,
Menurut Tabby, peminat boleh menjangkakan muzik yang masih kedengaran seperti Dolla, tetapi dengan lebih keberanian, kematangan, dan keikhlasan.
“Sejak kemunculan kami pada 2019, kami telah berkembang dengan pesat, bukan sahaja sebagai penghibur, tetapi juga sebagai ‘saudara perempuan’.
"Kami telah belajar untuk saling mempercayai, dan tenaga itu dapat dirasakan dalam setiap apa yang kami lakukan. Kami juga menerima sokongan yang luar biasa daripada para peminat, terutamanya iDollas, yang terus memberikan kami semangat dengan kasih sayang mereka,” tambah Tabby.

DOLLA menyifatkan pelantikan mereka ke dalam Hall of Fame Malaysia di Osaka sebagai satu penghormatan yang amat besar buat mereka.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada MITI kerana bukan sahaja mengiktiraf kami di tanah air, tetapi juga pada peringkat antarabangsa. Kami berbangga mewakili Malaysia dan berharap lebih banyak pencapaian menanti kami pada masa akan datang.” sambung Tabby bagi pihak rakan-rakannya Sabronzo dan Angel.
Tidak syak lagi , inisiatif ini lebih daripada sekadar satu penghormatan malah ia adalah manifestasi semangat kreatif Malaysia yang membanggakan.
Dengan Ekspo 2025 Osaka yang dijangka menarik kehadiran lebih kurang 28 juta pengunjung dari seluruh dunia, Hall of Fame Malaysia dijangka menjadi destinasi yang wajib dikunjungi bagi sesiapa sahaja yang ingin memahami kedalaman dan kepelbagaian seni Malaysia. - KitaReporters