Seni & Sukan 13 Oct, 2024

Malaysia hampir dimalukan pasukan setahun jagung liga! Harimau Malaya seri 1-1 dengan Auckland FC!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

PENYERANG negara, Haqimi Azim Rosli (7) menanduk bola biarpun disaingi benteng Auckland FC, Francis de Vries (15) dalam perlawanan antarabangsa tahap 2 di Stadium Go Media, Auckland. - Kredit foto: FAM


HANYA sebuah kelab Liga Australia yang baru setengah tahun jagung usianya. Namun Auckland FC sempat mencemaskan Harimau Malaya sebelum diikat 1-1 dalam perlawanan antarabangsa tahap 2 secara tertutup di Stadium Go Media, Auckland, New Zealand pada 11 Oktober 2024.

Kesatria Hitam (julukannya) membuka tirai gol Francis de Vries pada minit ke-25 dek bola yang terbias sehingga membolosi penjaga gol negara, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.

Mujurlah perantara berdarah kacukan Malaysia-Finland, Nooa Hamzah Laine muncul penyelamat tim negara kendalian Pau Marti Vicente menerusi jaringan penyamaan pada minit ke-59.

Turut terselamat ialah rekod tanpa kalahnya bersama Malaysia selepas menewaskan Filipina 2-1 dan Lebanon 1-0 untuk menjuarai Pestabola Merdeka, 8 September 2024 lalu sejak menerajui pasukan dengan menggantikan Kim Pan-gon yang mengundur diri pada 16 Julai 2024 lalu.   


NOOA Hamzah Laine (dua dari kiri) yang menjaringkan gol penyamaan menerima ucapan tahniah daripada rakan sepasukan seperti (dari kiri), Haqimi Azim Rosli, Azam Azmi Murad dan Stuart Wilkin. - Kredit foto: FAM


Hanya kelab Liga A ini yang mampu mengisi slot pertama kalendar perlawanan antarabangsa Harimau Malaya bagi Oktober 2024  menjelang menentang New Zealand di Stadium North Harbour, Auckland pada 14 Oktober 2024.

Malaysia kini menghuni ranking ke-132 dunia, manakala tuan rumah di anak tangga ke-95 yang turut akan berdepan Kelayakan Piala Dunia 2026 Oceania.

Sekalipun bukanlah pasukan kebangsaan, Pau berkata, “(Auckland FC) sebuah kelab yang amat kuat. Kelab baharu yang elit dalam Liga Australia serta melabur pada pemain yang amat bagus.

“Kami jangkakan perlawanan yang lasak, berkepesatan tinggi dan bertempo pantas dengan Auckland FC ini mirip melawan New Zealand,” kata pengendali warga Sepanyol ini, dipetik daripada laman sosial Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). - KitaReporters


MATTHEW Davies (2) yang mengambil alih peranan kapten Harimau Malaya ekoran ketiadaan Dion Cools atas urusan keluarga, diekori Ahmad Syihan Hazmi Mohamed (16), Safwan Mazlan, Syamer Kutty Abba dan Daniel Sang Ting. - Kredit foto: FAM 


Pau memberikan sekurang-kurangnya 45 minit kepada barisan negara yang digilir-gilirkan termasuk kapten Matthew Davies, Harith Haiqal Adam Afkar, Feroz Baharudin, Dominic Tan, Azam Azmi Murad, Safwan Mazlan dan Daniel Sang Ting.

Lain-lain yang diujinya ialah Safawi Rasid yang mengambil alih lilit lengan kapten, Syamer Kutty Abba, Darren Lok, Stuart Wilkin, Endrick Dos Santos, Paulo Josue, Romel Morales dan Haqimi Azim Rosli.  

“Kami lepaskan gol akibat biasan bola namun kami bersaing sengit dalam babak kedua sambil membuat perubahan sehingga sembilan pemain dan gembira dengan komitmen dan prestasi mereka,” jelas Pau, 41.


PAU Marti Vicente diapit oleh dua penolong ketua jurulatih negara, E. Elavarasan (kiri) dan Juan Torres Garrido. - Kredit foto: FAM


NOOA Hamzah Laine (15) melarikan bola daripada hambatan seorang pemain Auckland FC. - Kredit foto: FAM

14
19
0
23
0
You will be interested