Seni & Sukan 18 Nov, 2024

Pelik bin Ajaib? Harimau Malaya kena tunduk? Harimau Selatan lebih kuat? Ke India tanpa trio JDT FC!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

 


SIAPA sebenarnya badan induk dan siapa pula ahli gabungan? Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) atau Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) dan kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) FC?

Siapa yang boleh mengarahkan siapa dan siapa yang wajar akur termasuk kepada badan induk yang lebih tinggi, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Adakah Harimau Malaya pula yang kena akur kepada Harimau Selatan?

Pelik Bin Ajaib apabila kalendar perlawanan antarabangsa FIFA pada November 2024 langsung tidak dihormati apabila JDT FC memohon pelepasan tiga pemainnya, Matthew Davies, Feroz Baharudin dan Arif Aiman Hanapi daripada tugasan Harimau Malaya.


MATTHEW Davies gagal mengekang hantaran lambung Laos yang membawa gol tunggal mereka gara-gara padang licin dan bertakung air. - Kredit foto: FAM


Tim negara kendalian Pau Marti Vicente akan bertandang ke Stadium Gachibowli, Hyderabad untuk menentang India pada 18 November 2024 bagi siri kedua perlawanan antarabangsa tahap 1 selepas mengalahkan Laos 3-1 di Bangkok, Thailand tanggal 14 November 2024 lalu.

Satu kenyataan FAM pada 16 November 2024 menyebut, “Matthew, Feroz dan Arif telah pun dilepaskan pulang ke tanah air berikutan permohonan kelab mereka, JDT FC.

“(JDT FC) mengambil kira skuad negara akan tiba di tanah air pagi 20 November 2024 selepas menentang India, sekali gus tidak sempat bagi mereka pulang ke pangkuan kelab (untuk berdepan Kuala Lumpur (KL) Rovers FC dalam pusingan pertama Piala Malaysia 2024-2025, hari sama).”

ZHAFRI Yahya (26) menggantikan Natxo Insa yang menarik diri atas alasan kecederaan dan menikmati kap sulung Harimau Malayanya selama 45 minit babak pertama. - Kredit foto: FAM


Hanya Feroz, bek tengah, yang memanaskan bangku simpanan ketika Malaysia berdepan Laos atau digelar Gajah Juta, manakala Matthew dan Arif tampil sebagai bek kanan dan sayap kanan kesebelasan utama negara.

Kini Pau pula terpaksa akur untuk membawa hanya 23 pemain Harimau Malaya ke Hyderabad dari Bangkok dan mujurlah penjaga gol JDT FC, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed tidak tersenarai dalam permohonan luar biasa Harimau Selatan itu.

Berikut ulas Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman pada 16 November 2024 di Subang Jaya, Selangor: 

"Ini keputusan ketua jurulatih. Kebiasaan mana-mana perlawanan kita bawa 23 orang. Tiada isu tentang kritikan warganet (terhadap kebenaran melepaskan trio JDT FC itu). 

"Perlawanan di Hyderabad persiapan bagi Kejohanan ASEAN 2024 (8 Disember 2024 hingga 5 Januari 2025). Kemungkinan pasukan negara tanpa mereka bertiga bagi kejohanan itu (bukan dalam kalendar FIFA) tetapi tunggu Pau yang umumkan," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif JDT FC, Alistair Edwards dalam laman sosial kelab mengulas, "pelepasan awal Arif, Feroz dan Matthew diperlukan kerana perancangan perjalanan menjelang kempen Liga Juara AFC Elit (ACLE) 2024-2025 menentang Shandong Taishan (China).

"Kami dijadualkan berlepas ke China pada 21 November 2024, hanya sehari selepas pemain-pemain kebangsaan pulang daripada menentang India (di Hyderabad) pada 18 November 2024. 

"JDT mengambil serius kejohanan elit Asia selepas pelaburan besar kami musim 2024-2025 dengan harapan untuk mencapai kecemerlangan, sekali gus meningkatkan status kelab Malaysia dalam ranking kelab Asia. 

"Kami telah sepakat dengan Harimau Malaya agar Syihan dikekalkan kerana Harimau Selatan telah menggunakan khidmat Andoni Zubiaurre (penjaga gol import dari Sepanyol) dalam ACLE setakat ini.

"Kami berbesar hati dengan Pau dan FAM yang menyokong kempen ACLE JDT FC dan kami akan terus menyokong aspirasi Malaysia untuk layak ke Piala Asia 2027," kata bekas penyerang Australia ini. 


 

AZAM Azmi Murad (dua dari kanan) bakal bersaing dengan Daniel Sang Ting untuk mengambil alih posisi bek kanan Matthew Davies. - Kredit foto: FAM


Terdahulu, dua lagi pemain JDT FC, Natxo Insa dan Romel Morales menimbulkan tanda tanya dengan cara mereka dilepaskan dari kem latihan Harimau Malaya sebaik sahaja diarah melapor diri pada 10 November 2024 lalu.

Berbeza dengan perantara Selangor FC, Mukhairi Ajmal Mahadi yang tetap hadir ke Wisma FAM, Kelana Jaya, Selangor untuk diperiksa doktor terlebih dulu yang mengesahkan kecederaannya, Natxo dan Romel menurut laman sosial FAM, hanya mengirim laporan perubatan untuk dikecualikan.  

Mereka bertiga kemudiannya digantikan oleh Fazrul Amir Zaman, Zhafri Yahya dan Fergus Tierney yang mengecapi kap sulung antarabangsa menentang Laos di Stadium Lembaga Pelabuhan Thailand (PAT) itu.   

Malaysia kini menghuni ranking ke-133 dunia berbanding India, ke-125 dengan pertemuan mutakhir menyebelahi pasukan negara, 4-2 dalam separuh akhir Pestabola Merdeka pada 13 Oktober 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Namun kali akhir sebagai tuan rumah, Sang Harimau Biru yang memenangi perlawanan persahabatan antarabangsa ‘A’ di Stadium Salt Lake, Kolkata 3-2 pada 16 November 2011 dengan dua gol kita dijaringkan Safee Sali. - KitaReporters


ARIF Aiman Hanapi (kiri) dilepaskan kembali kepada JDT FC hanya kerana persediaan menghadapi kelab Liga A1 Semi Pro, KL Rovers FC dalam pusingan pertama Piala Malaysia. - Kredit foto: FAM 


TIM MALAYSIA MELAWAN INDIA:

Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, Azri Ghani, Haziq Nadzli (penjaga gol) 

Safwan Mazlan, Azam Azmi Murad, Ubaidullah Shamsul Fazili, Harith Haiqal Adam Afkar, Dominic Tan, Daniel Sang Ting, Adib Ra’op, Dion Cools (benteng) 

Paulo Josue, Syamer Kutty Abba, Nooa Hamzah Laine, Stuart Wilkin, Zhafri Yahya (perantara) 

Safawi Rasid, Akhyar Rashid, Fazrul Amir Zaman (sayap) 

Haqimi Azim Rosli, Syafiq Ahmad, Sergio Aguero, Fergus Tierney (penyerang).


 

FEROZ Baharudin (18) kehilangan posisi bek tengah Harimau Malaya ketika berdepan Laos, kepada Harith Haiqal Adam Afkar yang bergandingan dengan kapten, Dion Cools. - Kredit foto: FAM 


  

 

12
9
0
9
0
You will be interested