DUA pempengaruh media sosial, pemain-pemain, pegawai PDRM FC dan Amir Masdi serta DJ Lin bergambar bersama sebelum sidang media pengumuman Duta dan Radio Rasmi kelab itu di Petaling Jaya. - Kredit foto: PDRM FC
PENYANYI Amir Masdi dan pempengaruh pmedia sosial, CEO Batu dan CEO Bieziy dilantik sebagai Duta Rasmi, manakala Suria FM selaku Radio Rasmi pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) FC.
Dua langkah strategik ini digarap mulai 16
Oktober 2024 oleh kelab yang dijuluki dengan gelaran The Cops (Mata-mata) dalam misi memperluas
golongan penyokong setianya atau Pemain Ke-12 yang merentasi khalayak tradisi atau
tipikal bola sepak seperti hadirin stadium sahaja.
Selebriti hiburan dan media sosial serta stesen
radio popular itu diyakini bakal menggabungkan para peminat mereka yang tersendiri
dan tidak seperti kebanyakan kelab Liga Super Malaysia lain yang hanya kerap bersandarkan
rakyat negeri masing-masing.
Ketua Pegawai Eksekutif PDRM FC, Asisten
Supritendan Mohamad Hafiz Zainal Abidin berkata, “mereka (Duta Rasmi PDRM FC) datang
dengan pakej yang bagus (sementara) Suria FM pula amat menyokong dan bekerjasama.
“Pakej ini akan memanfaatkan para penyokong PDRM FC yang di atas padang mahupun dalam talian. Kerjasama dengan sebuah stesen radio yang ‘Wow!’ seperti Suria FM ini ialah selama setahun,” katanya dalam sidang media selepas turut melancarkan Portal Rasmi PDRM FC di Menara The Star, Petaling Jaya, Selangor.
AHLI Lembaga Pengarah PDRM FC, Farid Yunus (kiri) memperagakan jersi PDRM FC cenderamata kepada Amir Masdi selaku Duta Rasmi kelab bola sepak Sang Saka Biru. - Kredit foto: PDRM FC
Kata Pengurus Program Suria FM, Roslinda Abdul Majid, “Suria FM memang mengagumi PDRM FC yang merangkumi bukan sekadar satu negeri. Bertepatan sasaran radio kami, satu Malaysia ada pendengar kami termasuk Sarawak dan Sabah. Jadi jodoh kami dekat dan memang sesuai sangat.
“Saya dapat maklum balas positif kalangan pegawai dan
anggota polis juga menjadi pendengar setia Suria FM. Bersama PDRM FC satu rezeki kurniaan
Allah pada tahun ini (2024) dan satu pencapaian tahap yang berbeza.
“Saya rasa Suria FM satu-satunya stesen radio swasta yang bekerjasama rapat dengan pasukan bola sepak yang gah di Malaysia seperti The Cops,” katanya yang turut popular digelar DJ Lin.
Gandingan PDRM FC-Suria FM katanya, mengutus berita gembira kepada para pendengar sedia ada dan mampu menyumbang jumlah pendengar baharu radio itu dan penyokong baharu kelab berkenaan.
ROSLINDA Abdul Majid atau DJ Lin (kanan) menerima cenderamata jersi PDRM FC daripada Farid Yunus. - Kredit foto: PDRM FC
Amir, juara program realiti TV Akademi Fantasia 2016 yang juga seorang pelakon selain berbakat bola sepak di posisi perantara pula berkata, “(Sebagai duta pasukan), mungkin pada masa depan, saya dapat menulis lagu tema rasmi dan menerbitkan video muzik dengan pemain-pemain PDRM FC.
“Peminat saya dalam lapangan hiburan akan
menyokong PDRM FC dan penyokong kelab ini pula menyokong karya muzik saya. Ini
situasi menang-menang yang melahirkan komuniti hibrid yang baharu dan saya
berasa terhormat berada bersama."
Kehadiran Pemain Ke-12 yang baharu ekoran pelantikan duta dan radio rasmi pasti ditagih untuk melonjakkan Sang Saka Biru dari posisi kelima Liga Super 2024-2025 sekarang selepas mengharungi 11 perlawanan dan mengutip 15 mata daripada empat kemenangan dan empat kali seri sehingga 4 Oktober 2024 lalu.
MOHAMAD Hafiz Zainal Abidin (dua dari kanan) menjawab soalan pada sidang media pengumuman Duta dan Radio Rasmi PDRM FC di Petaling Jaya. Kiri ialah Amir Masdi dan kanan, DJ Lin. - Kredit foto: PDRM FC
“Kami kini antara lima teratas, jadi itu bolehlah tahan tetapi untuk kekalkan momentum, itu memerlukan usaha yang betul-betul keras dan efisien daripada semua pemain dan pengurusan.
“(Ketua jurulatihnya), P Maniam pernah cakap, kami dalam prestasi dan kedudukan terbaik tetapi membuang mata dengan pasukan yang tidak sepatutnya kami kalah. Agak yo-yo dan tidak boleh dibanggakan tetapi tidak boleh terlampau seronok dengan kedudukan semasa itu.
“Dengan barisan jurulatih, saya tengok riak wajah mereka yakin untuk berikan hasil yang positif. Saya tidak pernah menekan malah memberi kebebasan siapa barisan pemain semasa yang perlu mengikut taktikal mereka.
“Kami meraih keputusan positif dengan JDT (Johor Darul Ta’zim) FC, Sabah FC dan Terengganu FC tetapi kami tiada isu gaji pemain tertunggak. Dengan peruntukan belanjawan yang rendah, saya masih berasa cukup gembira dengan kedudukan pasukan kami sekarang,” kata Hafiz. - KitaReporters
THE Cops meraikan kejayaan mereka mengikat Terengganu FC 1-1 dalam perlawanan Liga Super di Gong Badak pada 4 Oktober 2024 lalu. - Kredit foto: PDRM FC