Seni & Sukan 07 Jul, 2020

Sabar Harimau B-19! Kapten Amerika Jr kena kuarantin Covid-19

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

HANYA Wan Kuzri Wan Ahmad Kamal, pemain Akademi Bola Sepak St. Louis, Missouri di Amerika Syarikat yang tidak dapat hadir melapor diri pada hari pertama fasa pertama kem latihan pusat skuad bola sepak Bawah 19 Tahun (B-19) negara, pada Isnin, 6 Julai 2020. Dia perlu melalui tempoh kuarantin sejurus tiba dari Amerika. : KitaReporters 

WAN KUZRI WAN AHMAD KAMAL


Perantara berusia 18 tahun ini bakal menyusuli 34 rakan sepelatih bagi menghadapi Kejohanan B-19 AFC 2020 di Uzbekistan dari 14 hingga 31 Oktober 2020 sebaik sahaja menamatkan tempoh kuarantin sejurus tiba dari Amerika bagi mengelak penularan pandemik maut Covid-19. 

Wan Kuzri ialah adik Wan Kuzain Wan Ahmad Kamal, bintang kelab Liga Bola Sepak Utama (MLS) Amerika, Sporting Kansas City yang kempunan Sukan SEA Filipina 2019, November 2019 lalu bersama skuad Bawah 22 tahun Malaysia gara-gara masalah dokumen perjalanan.

Kedua-duanya merupakan anak Wan Ahmad Kamal Napi, seorang profesor kelahiran Kelantan yang sudah lama menetap di Carnondale, Illinois, Amerika Syarikat.

SESI taklimat mengenai SOP sesi latihan pasukan B19 kebangsaan bagi mengelak rantaian baharu Covid-19, yang dikendalikan oleh pegawai FAM. - Kredit foto: FAM


Skuad Bradley Maloney turut dikerah menjalani ujian sapuan (swab test) bagi mengesan gejala awal Covid-19 yang melibatkan 17 pemain yang melapor diri di Wisma FAM, Kelana Jaya, Selangor pada 6 Julai 2020.

Pemain-pemain yang selebihnya sudah pun melakukannya dengan pasukan masing-masing sama ada dalam Liga Super, Liga Perdana, Piala Presiden (Bawah 21 Tahun) dan Piala Belia (Bawah 19 Tahun).

MUHAMMAD ADAM NADZMI ZAMRI


Seorang lagi pemain yang berpangkalan di luar negara, Muhammad Adam Nadzmi Zamri, 18, yang bermain di posisi penyerang bersama Akademi Bola Sepak BISP Cruzeiro cawangan Phuket, Thailand, sudah pun berada di Malaysia sejak PKP awal. 

Sesi taklimat turut diadakan buat mereka yang dikendalikan oleh Maloney, warga Australia dan pegawai Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkaitan program latihan berkenaan dan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan yang melarang latihan bersentuhan badan. 

Fasa pertama kem latihan pusat ini berlangsung sehingga 26 Julai 2020 iaitu masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang dikenakan di seluruh negara dari 10 Jun hingga 31 Ogos 2020.

SKUAD pelatih B19 Malaysia diketuai jurulatihnya, Bradley Maloney (depan, kanan - baju kelabu). - Kredit foto: FAM


Namun kem latihan pusat tiga minggu ini terpaksa ‘meminggirkan’ enam lagi tonggak skuad B19 negara yang layak ke Uzbekistan sebagai juara Kumpulan G Kelayakan Kejohanan AFC di Phnom Penh, November 2019 termasuk ‘Budak Ajaib’ Luqman Hakim Shamsudin.

LUQMAN Hakim Shamsudin (nombor 12), penjaring utama Malaysia dalam Kelayakan Kejohanan B-19 AFC di Phnom Penh, November 2019. - Kredit foto: FAM


Penyerang lulusan Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari, Gambang, Pahang berusia 18 tahun itu bakal berkelana ke kelab Liga Jupiler Belgium, KV Kortrijk milik saudagar Malaysia, Tan Sri Vincent Tan, dalam waktu terdekat ini.

Laman sesawang rasmi FAM pada 2 Julai 2020 menyebut, selainnya, Firdaus Irman Mohd. Fadhil, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman, Azrin Afiq Rusmini, Harith Haiqal Adam Afkar, Mukhairi Ajmal Mahadi dan Ahmad Zikri Mohd Khalili yang tidak tersenarai kali ini, tetapi dijangka dipanggil bagi fasa berikutnya.

SEORANG pelatih B-19 negara menjalani Ujian Sapuan bagi mengesan gejala awal Covid-19. - Kredit foto: FAM


Skuad Maloney yang diletakkan di ranking kesembilan Kejohanan B-19 AFC 2020, diundi dalam Kumpulan D dengan juara 2014, Qatar, Tajikistan dan Yemen dengan sasaran mara ke separuh akhir, sekali gus meraih satu daripada empat slot Asia ke pusingan akhir Piala Dunia Bawah 20 Tahun (B-20) FIFA 2021 di Indonesia.

Kumpulan A kejohanan di Uzbekistan itu menampilkan Uzbekistan, Indonesia, Kemboja dan Iran, manakala Kumpulan B dibarisi Korea Selatan, Jepun, Iraq dan Bahrain sementara Kumpulan C mengandungi Arab Saudi, Australia, Vietnam dan Laos.

Perlawanan sulung Harimau Remaja nanti ialah Tajikistan pada 16 Oktober 2020 diikuti Qatar tanggal 19 Oktober 2020 dan dilengkapkan Yemen, tiga hari kemudian dengan kesemua perlawanan peringkat awal kumpulan ini dilangsungkan di Stadium AGMK, Olmalik.

Dalam kejohanan edisi 2018 di Indonesia, skuad remaja negara yang dibimbing oleh Bojan Hodak dari Croatia, gagal ke suku akhir selepas ditewaskan juara kemudiannya, Arab Saudi 2-1 dan China 2-0 selain mengikat Tajikistan 2-2 untuk menghuni tempat corot Kumpulan D.

Pencapaian terbaik Malaysia ialah naib juara 1959, 1960 dan 1968. - KitaReporters

CARTA undian peringkat kumpulan Kejohanan B19 AFC 2020. - Kredit foto: AFC

0
1
0
0
0
You will be interested