Seni & Sukan 21 Dec, 2021

Harimau tumpas: FAM ambil tanggungjawab! Cheng Hoe terselamat? Dikekal ke Kelayakan Piala Asia?

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai Buletin Utama dan Harian Watan 1994-'96. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (BNC).

Share this

MALAYSIA dibolosi empat kali oleh Indonesia dalam pertembungan di Stadium Nasional, Singapura. - Kredit foto: AFF


JIKA di negara-negara Arab, Tan Cheng Hoe sudah lama dipecat daripada jawatan ketua jurulatih pasukan bola sepak mereka.

Walaupun gara-gara hanya satu dua kekalahan atau keputusan tipis yang tidak memuaskan badan induk bola sepak mereka, seolah-olah tiada maaf bagimu atau peluang kedua lagi.

Malah Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PBSI) pernah memecat bekas ketua jurulatih Garuda, Simon McMenemey pada 6 November 2019 gara-gara lima kekalahan berturut-turut pasukan dalam pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 Kumpulan G.

Di bawah kendalian warga Scotland itu, Indonesia tanggal 5 September 2019, diaibkan Harimau Malaya 3-2 di Gelora Bung Karno, Jakarta sebelum tersungkur kepada Vietnam, Thailand dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Malaysia sekali lagi di Bukit Jalil, 2-0 pada 19 November 2019.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Tan Cheng Hoe

TAN Cheng Hoe yang khidmatnya dikatakan masih disimpan FAM sehingga selepas Jun 2022. - Kredit foto: AFF


Namun nampaknya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tampak lebih berdiplomasi ekoran kegagalan Harimau Malaya kendalian Cheng Hoe mara ke separuh akhir Piala AFF 2020 (2021) di Singapura.

Skuad negara terkulai lesu dibelasah oleh Indonesia 1-4 yang sudah bertukar ketua jurulatihnya kepada warga Korea Selatan, Shin Tae-yong di Stadium Nasional, Singapura pada 19 Disember 2021. 


KESEBELASAN utama Harimau Malaya yang berdepan Garuda pada 19 Disember 2021. - Kredit foto: AFF


Siaran media FAM pada 20 Disember 2021, sekadar menyebut: "FAM menerima tanggungjawab sepenuhnya kegagalan pasukan kebangsaan mara ke separuh akhir Piala Suzuki AFF.

"Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin mengarahkan pengurusan pasukan kebangsaan mengemukakan laporan pascanilai (bedah siasat) dan analisis lengkap mengenai prestasi Harimau Malaya sepanjang kempen di Singapura kepada Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan dalam masa terdekat.

"Pasukan kebangsaan kendalian Tan Cheng Hoe mencatat dua kemenangan (menewaskan Kemboja 3-1, 6 Disember 2021 dan Laos 4-0, 9 Disember 2021) tetapi tewas kepada Vietnam (3-0, 12 Disember 2021) dan Indonesia yang menafikan mereka tempat ke separuh akhir," lapor siaran itu.

FAISAL Abdul Halim (kanan) selepas dikuarantin kerana positif Covid-19, tampak kurang menyerlah ketika menentang Indonesia. - Kredit foto: AFF


Setiausaha Agung FAM, Mohd. Saifuddin Abu Bakar dalam siaran berkenaan berkata, laporan pascanilai itu akan diteliti oleh jawatankuasa berkenaan (yang turut dipengerusikan oleh Hamidin) sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Eksekutif FAM kelak.  

Sumber-sumber terdekat persatuan walau bagaimanapun menjangkakan khidmat Cheng Hoe masih diperlukan sehingga Harimau Malaya menghadapi pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia yang bermula 8 Jun 2022.

FAM dikatakan masih mahu menerima hakikat kegagalan ke separuh akhir Piala AFF itu berpunca daripada tempoh persediaan pasukan negara yang terlalu suntuk iaitu hanya enam hari akibat kepadatan jadual Liga Super dan Piala Malaysia 2021. 

Sebagai rekod, pencapaian terbaik jurulatih kelahiran Kedah itu sejak menerajui Harimau Malaya pada 2017 dengan menggantikan Nelo Vingada dari Portugal hanyalah naib juara Piala AFF 2018. - KitaReporters   


INDONESIA (jersi merah) jelas berbeza dan jauh berbisa sejak dikendalikan Shin Tae-yong (kanan). - Kredit foto: AFF 


Senarai pencapaian Harimau Malaya dengan Tan Cheng Hoe sepanjang 2021:

11 perlawanan, 3 menang, 0 seri, 8 kalah, 12 jaringan, 29 bolos

Persahabatan antarabangsa

23 Mei, Dubai: Kuwait 4 Malaysia 1 

28 Mei, Riffa: Bahrain 2 Malaysia 0 

Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 (Kumpulan G pusingan kedua)

3 Jun, Dubai: Malaysia 0 UAE 4

10 Jun, Dubai: Malaysia 1 Vietnam 2

15 Jun, Dubai: Thailand 0 Malaysia 1

* Gagal ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia, layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia

Persahabatan antarabangsa

6 Oktober, Amman: Jordan 4 Malaysia 0

9 Oktober, Amman: Uzbekistan 5 Malaysia 1

Piala AFF 2020 (2021) (Kumpulan B)

6 Disember, Singapura: Kemboja 1 Malaysia 3

9 Disember, Singapura: Malaysia 4 Laos 0

12 Disember, Singapura: Vietnam 3 Malaysia 0

19 Disember, Singapura: Malaysia 1 Indonesia 4

* Gagal ke separuh akhir

Ranking dunia FIFA semasa: 154  

Penjaring gol Malaysia: Safawi Rasid (5), Guilherme de Paula, Kogileswaran Raj Mohana Raj (2), Baddrol Bakhtiar, Akhyar Rashid, Shahrul Saad (1). 


SAFAWI Rasid mencatat hatrik ketika Malaysia membelasah Laos 4-0. - Kredit foto: AFF


KOGILESWARAN Raj Mohana Raj antara yang menyinar dalam Piala AFF di balik penampilan sulungnya dengan Harimau Malaya. - Kredit foto: AFF


GUILHERME de Paula (kiri) terus menjadi sasaran kecaman penyokong Harimau Malaya apatah lagi kempunan sebarang gol sepanjang Piala AFF 2020 (2021). - Kredit foto: AFF

12
5
0
14
1
You will be interested