Seni & Sukan 04 Aug, 2020

Gol Piya ‘Terbaik Piala AFC’! Jadi penawar malang Kelantan!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

KASIHAN Kelantan! Betul-betul malang yang tiba berganda-ganda buatnya atau seperti sudah jatuh ditimpa tangga. Namun di sebalik bermacam-macam kesulitan dan cabaran yang berlaku, ada sedikit cahaya di hujung terowong bagi pasukan The Red Warriors ini. : KitaReporters

BADHRI Radzi (tengah) dinobat 'Terbaik' antara 5 Gol Sungkitan, Cungkilan dan Lambungan Piala AFC. - Kredit foto AFC 


Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Wan Abdul Rahim Wan Abdullah sudah pun meletakkan jawatan 28 Jun 2020 lalu. Begitu juga Naib Presidennya, Datuk Mohd. Rowi Dollah, beberapa hari kemudian. 

Beberapa pemain import dan tempatan pula sudah angkat kaki atau lari malam daripada ‘Si Hulubalang Merah’ kerana hilang kepercayaan kepada KAFA selaku majikan.

WAN Abdul Rahim Wan Abdullah terpaksa melepaskan jawatan Presiden KAFA pada akhir Jun 2020 gara-gara isu tunggakan gaji pemain. - Kredit foto FB Wan Rahim.


Itu belum termasuk hutang gaji Casio Francisco De Jesus sebanyak RM629,620.28 dari musim 2018 hingga 2019 yang dituntut bekas bek tengah importnya dari Brazil itu menerusi arahan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada April 2020 lalu.  

HANTARAN dalam Facebook Wan Abdul Rahim Wan Abdullah yang merayu bantuan kewangan para penyokong TRW berhubung tunggakan gaji Casio Francisco De Jesus . - Kredit foto FB Wan Rahim


Semalam Isnin 3 Ogos 2020, pasukan Kelantan dihukum dipotong tiga mata Liga Perdana 2020 gara-gara kegagalan melunaskan baki ansuran tunggakan gaji para pemain dan pegawai mereka pada batas waktu yang ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Malah jika terus gagal menjelaskannya sehingga 31 Ogos ini, Si Kijang bakal senasib Perlis yang digantung penyertaan dan boleh mengucapkan selamat tinggal kepada Liga Malaysia kerana FAM dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) tidak akan memberikannya lesen bertanding mulai musim 2021.

KELANTAN juga masih terhutang tunggakan gaji dengan Piya yang kini menyertai si adik, Kelantan United FC yang bukan berstatus pasukan pengumpan seperti JDT II, Selangor 2, Perak 2 dan TFC II. - Kredit foto FB Wan Rahim


Namun di sebalik kegawatan itu dan kegusaran para penyokong mereka, terselit satu berita gembira yang dibawakan bekas kapten Kelantan, Badhri Radzi yang kini menyertai kelab Kelantan United FC, satu lagi pasukan Liga Perdana

Gol sepakan lambung Piya (julukannya) buat Kelantan dalam Piala AFC 2013, dinobatkan yang terbaik antara ‘5 Sungkitan, Cungkilan dan Lambungan Piala AFC’ hasil undian secara dalam talian yang berakhir 30 Julai 2020. Gol cantiknya beroleh 93 peratus atau 14,356 daripada jumlah keseluruhan 15,437 undi oleh para pelayar laman sesawang rasmi Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), the-afc.com sejak undian dibuka pada 23 Julai 2020. 

Badhri atau turut digelar Piya, melakukannya ketika menentang SHB Da Nang dari Vietnam dalam saingan peringkat Kumpulan G Piala AFC 2013 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan. Golnya pada minit ke-85 perlawanan itu melengkapkan pesta kemenangan Kelantan 5-0 yang turut diraikan 10,000 penyokong mereka pada 2 April 2013. 

Badhri menyepak tinggi menjamah gawang SHB Da Nang yang ternganga yang ditinggalkan penjaga gol lawan kerana telah meluru untuk menerjah bola jauh yang cuba diburu pemain import tuan rumah, Dmitri Petratos.


Kelantan kemudian muncul juara kumpulan itu namun langkahnya disekat kelab Hong Kong, Kitchee 2-0 dalam pusingan kedua peringkat kalah singkir di stadium sama. 

Bahdri meninggalkan jauh pencabar dari Sepanyol, Bienvenido Maranon; pemain kelab Filipina, Ceres Negros dalam Piala AFC 2018 yang hanya beroleh 3 peratus, di samping Kyaw Ko Ko (Yangon United, Myanmar). Dua lagi calon undian ini, Thiago Cunha (Chonburi, Thailand) dan Pak Myong-song (4.25 SC, Korea Utara) masing-masing hanya memungut 1% undi. 

Undian the-afc.com ini mengimbas semula gol-gol cantik sepanjang Piala AFC menjelang saingan divisyen dua kelab-kelab Asia yang bakal disambung semula Oktober ini sejak tertangguh Mac lalu gara-gara penularan Covid-19.

Kejayaan Badhri merupakan yang kedua dicatat oleh pemain dari Malaysia selepas Safawi Rasid diisytiharkan pemenang ‘5 Terbaik Jaringan Melengkung’ Liga Juara Asia (ACL) - sebuah saingan divisyen lebih tinggi daripada Piala AFC, pada 16 Mei 2020.  

Sayap kanan Johor Darul Ta’zim itu memenanginya menerusi gol sepakan kidal deras sejauh 22 meter ke gawang kelab China, Shandong Luneng pada 9 April 2019 dengan beroleh 79,751 undi atau 50 peratus daripada jumlah keseluruhan, 159,502 undi. 

KELANTAN atau 'Si Hulubalang Merah' (The Red Warriors) berdepan penggantungan dari Liga M 2021 jika KAFA gagal melunaskan tunggakan gaji pemain dan pegawainya. - Kredit foto FB Wan Rahim.

0
0
0
0
0
You will be interested