Seni & Sukan 27 Oct, 2021

Video| Doktor gigi cipta lirik untuk lagu sendiri! Berdasarkan pengalaman putus cinta sendiri!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this


PROFESIONNYA sebagai seorang doktor gigi namun jiwa Dr. Hafiz Zainal tidak dapat melepaskan cintanya kepada seni sehingga sanggup meninggalkan seketika kerjayanya untuk menyertai program realiti 'Big Stage' musim ketiga pada tahun 2020 lalu.

Sejak itu siapa tak ingat Dr. Hafiz, satu-satunya doktor gigi muda yang menyertai pertandingan nyanyian demi membuktikan seriusnya beliau untuk menjadi seorang penyanyi.

Terbukti, sejak itu, walaupun gagal bergelar finalis, Dr. Hafiz, 29, atau nama sebenarnya Muhammad Hafiz Zainal boleh berbangga apabila penyertaannya itu membuka ruang buat beliau  mengumpul peminat tersendiri.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan kejayaan



Selepas program itu, beliau muncul dengan beberapa single di bawah syarikat Rhythm & Rhyme Entertainment, milik pasangan suami isteri juga penyanyi, Akim Ahmad dan Stacy

Kini, Dr. Hafiz melangkah setapak lagi dalam pencapaiannya dalam bidang seni suara apabila berjinak-jinak pula sebagai penulis lagu untuk single keenam dan terbaharunya, ‘Tak Kira’.

Bersama dengan pencipta lagu, Bunga Cantik, Dr. Hafiz diberi peluang untuk menjadi penulis lirik dengan bantuan Hang Nadim sekali.

“Sejujurnya, saya teruja dan dalam masa sama gementar. Apatah lagi ini adalah lagu pertama saya terbabit dalam penulisan lirik. Istimewanya, menerusi single keenam ini baru saya berani mencuba. Terima kasih kepada Akim dan Stacy kerana memberi kepercayaan untuk saya menjadi penulis lirik bersama mereka,” katanya.



Menariknya, tugas menulis lirik lebih memudahkan apabila jalan cerita lagu berkisar pada hubungan cintanya yang terkandas separuh jalan.

Memang mudah sebenarnya, sebab jalan cerita saya. Secara tidak langsung mengembalikan semula memori dan kenangan yang pernah dilalui. Itu yang lebih mudah. Jadi, saya berharap peminat dan pencinta muzik tanah air dapat menerima karya ini,” harapan Dr. Hafiz

Mengakui lirik lagu ‘Tak Kira’ ditulis berdasarkan perjalanan ceritanya yang putus. cinta di mana selepas siap Akim dan Stacy bertindak mengemas dan mencantikkan lagi penggunaan perkataan dan ayatnya.



Berkongsi lanjut mengenai lagu ‘Tak Kira’, Dr Hafiz berkata buah tangan terbaharunya itu adalah jiwa sebenarnya namun menyifatkan lagu bergenre pop balada itu bukanlah lagu yang meratap kesedihan, tapi lebih kepada sudah bersedia bercinta semula atau dalam erti kata lain ‘move on’.

“Sebelum masuk program 'Big Stage' saya bercinta dengan seseorang. Namun, beberapa bulan selepas menyertai program itu, kami putus cinta. Hubungan saya dengan wanita itu hanya bertahan hampir setahun,“ Dr Hafiz mengimbau kembali kenangan lamanya.

Mengakui amat kecewa ketika itu, menyebabkan beliau mengambil keputusan untuk memberi fokus kepada kerjaya doktor gigi dengan membuka klinik gigi sendiri apatah lagi waktu itu aktiviti seni dan hiburan tidak dibenarkan gara-gara pandemik COVID-19.

“Jadi, saya ada alasan kukuh kenapa membuat keputusan itu. Dan nak dijadikan cerita, saya pula selalu lepak dengan Akim dan Stacy. Sedikit sebanyak mereka memang tahu cerita dan apa saya lalui. 

"Disebabkan itu, ketika lagu ini dihasilkan, mereka terus minta saya tulis lirik supaya ‘feel’ lebih terasa. Saya pun cuba dan alhamdulillah berjaya menghasilkan lirik pertama,” ceritanya teruja.



Dalam masa sama, Dr Hafiz menyifatkan lagu itu memberi satu perasaan baharu untuknya lebih bersemangat dalam mencari cinta.

“Ini masa saya untuk mencari cinta baharu. Apatah lagi dalam lagu ini saya meletakkan diri rindu nak bercinta semula. Lagi pula saya sudah 29 tahun. Orang lain semua sudah ada kekasih dan pasangan hidup. 

“Sekarang hati sudah terubat dan bersedia nak kembali bercinta. Buat apa nak terus bersedih. Jadi saya kena mulakan semula. Sebab itu saya nak kongsi dalam lagu ini. Saya mahu penyampaian lebih jujur,” jelas Dr. Hafiz panjang lebar.

Pun begitu,  beliau berpendapat, andai kata bekas kekasih mendengar lagu tersebut,  dia takkan faham dan sedar bahawa ia kisah mereka.



“Sebab ini bukan lagu sedih putus cinta, tapi lebih kepada ‘feel’ sudah ‘move on’ dan sepertinya sudah ada kekasih baharu,” ujar Dr. Hafiz bersemangat.

Dalam pada itu, beliau juga mengakui, lagu ‘Tak Kira’ ini turut menceritakan pengalamannya ketika menaruh hati dengan kawan baik.

“Lirik lagu ini pun turut menceritakan pengalaman saya dengan seorang kawan baik. Kiranya kawan baik saya itu adalah ‘crush’ saya. 

"Apabila kami berjumpa semula, cinta itu kembali berputik. Tapi sebenarnya tak boleh, kerana akhirnya sesuai berkawan saja,” ujar Dr. Hafiz  sambil berharap dapat menemui cinta baharu apatah lagi dalam lagu tersebut beliau meletakkan dirinya sedang rindu untuk kembali bercinta.

Akui jejaka kacak berusia 29 tahun itu, hatinya kini sudah terubat dan bersedia untuk kembali bercinta memandangkan orang lain dalam usia itu semua sudah ada kekasih dan pasangan hidup. 

Jom, kita hayati bagaimana cerita di sebalik lirik pertamanya ini. Ok ke tak? - KitaReporters


8
12
0
9
0
You will be interested