SEBAKNYA hati tatkala menatap foto Datuk Ooi Eow Jin dan anaknya, Raymond Ooi yang diberi oleh Salmiyah, pengurusan Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT).
Kedua-dua beranak itu,
kini berada di Hospital Sungai Buloh akibat Covid-19 dan ahli keluarga tidak
dapat menziarahi mereka.
Apa yang menyedihkan, komposer yang berusia 84 tahun itu juga menghidap penyakit Alzheimer, sejak 2015. Manakala Raymond, 57, juga tidak mampu mengurus diri sendiri kerana menghidap penyakit tumor otak sebelum ini.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT)
Ooi Eow Jin, insan yang banyak berjaya dalam industri muzik tanah air kini terlantar di hospital kerana Covid-19.
Sekuat-kuat isteri,
Eow Jin, Datin Khaw Lean Kee, yang menjaga dua insan kesayangannya itu,
akhirnya wanita itu juga ‘tewas’ apabila melihat ahli keluarganya dalam keadaan
sebegitu.
Lean Kee meluahkan rasa sedihnya kepada YKAT yang sering membantunya selama ini, pada Rabu, 29 Jun 2022 lalu.
Dia menghubungi pengerusi YKAT, Datuk DJ Dave dan memaklumkan keluarganya kini berada di Hospital Sungai Buloh (HSB) akibat Covid-19.
Raymond, anak komposer Ooi Eow Jin juga ditempatkan di Hospital Sungai Buloh.
"Isterinya
dibenarkan keluar hari ini (1 Julai 2022), namun Eow Jin dan anak mereka, Raymond,
masih menjalani rawatan di sana (HSB).
"Pihak YKAT sudah pun memberikan sumbangan
kewangan berjumlah RM1,000 kepada Eow Jin pada 24 Jun lalu kerana mereka dalam
keadaan yang sangat terdesak dari segi kewangan dan kesihatan.
"Tambahan pula mereka dijangkiti Covid-19 dan
masih "warded" dan kami sangat bersimpati," kata DJ Dave.
Khaw Lean Kee dibenarkan keluar hospital pada 1 Julai 2022, tapi hatinya tidak tenang mengenangkan suami dan anak yang masih berada di sana.
Menurutnya, mereka ingin melawat tetapi tidak
dibenarkan atas faktor prosedur operasi standard (SOP).
"Menerusi perbualan kami, Datin turut meluahkan
perasaan sedihnya melihat keadaan suami dan anaknya meskipun diri sendiri tak
sihat.
"Ini benar-benar menyayat hati kami. Justeru
marilah sama-sama kita mendoakan agar Datuk Eow Jin sekeluarga kembali sembuh.
"Datin pula seolah-olah putus harapan melihatkan penderitaan Raymond kerana tak boleh bersama anaknya dalam wad menyebabkan Raymond tak boleh makan sendiri," kata DJ Dave.
YKAT pernah menyantuni komposer tersebut di kediamannya pada 2020, selain membantu dari segi kewangan.
Menurutnya, Lean Kee meluahkan kesedihan dan kebimbangannya terhadap nasib Raymond.
"Dia tahu anaknya tak makan dan lapar namun tak
boleh menyuapkan makanan untuk anaknya. Dia mengharapkan kepada jururawat untuk
melakukannya.
"Raymond sebelum ini pernah menghidap penyakit
tumor otak dan memerlukan penjagaan rapi," katanya.
Eow Jin pernah menghasilkan beberapa lagu untuk
penyanyi popular tanah air antaranya Allahyarham Datuk Sudirman Arshad,
Datuk M Nasir dan Rahimah Rahim sebelum disahkan menghidap Alzheimer sejak
2015.
Jika ada yang ingin menghulur sumbangan, bolehlah menghubungi Salmiyah YKAT menerusi talian 019-9883172. - KitaReporters
Gambar Ooi Eow Jin (duduk, kiri) dan anak Raymond Ooi (duduk, kanan), manakala Khaw Lean Kee (berdiri, kiri) - Kredit foto: FB Khaw Ellen