Seni & Sukan 01 Jul, 2022

Video| Keistimewaan Stadium Sultan Mizan? Ada ‘sungai’! Boleh tonton sambil berendam, mandi-manda!

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this


TIDAK terdapat pada mana-mana stadium bola sepak di dunia kecuali di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu!

Itulah nada sinis dilemparkan oleh peminat bola sepak ekoran pengalaman segelintir penyokong yang sempat ‘berenang’, ‘berendam’ dan ‘mandi manda’ dalam ‘sungai’ yang terdapat pada kawasan tempat duduk penonton di stadium berkenaan.

Pengalaman itu dilalui semasa mereka hadir menonton perlawanan Liga Super antara pasukan tuan rumah, Terengganu menentang Negeri Sembilan pada Rabu, 29 Jun, 2022, lalu ekoran hujan lebat sebelum sepak mula.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan stadium

Status dimuat naik oleh Ultras Nogori 9 mendapat reaksi sinis daripada penyokong. - Gambar tangkap layar FB Ultras Nogori 9. 


Video dan gambar jelas menunjukkan takungan air di kawasan tempat duduk paling bawah yang membentuk seperti aliran sungai sambil beberapa penonton menunjukkan aksi berendam, berenang serta mandi-manda seolah-olah sedang berkelah!

Kejadian yang dianggap ‘aneh tapi benar’ itu pantas menjadi tular melalui media sosial dengan peminat memberi pelbagai komen yang kebanyakannya bernada sinikal.

Ultras Nogori 9 yang memuat naik video mengenai situasi itu melalui laman Facebooknya, menulis: Memang moden Stadium Sultan (Mizan) Zainal Abidin ni. Ada sungai kat seat penyokong. Silap2 kojap laie penyu mendarat nak bertelur.

"Memang berbaloi-baloi niiii…Tengok bola pun dapat, mandi kolam pun dapat, sambil mandi kolam sambil layan game bola…" 


Keadaan air bertakung di tempat duduk penyokong Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin membolehkan penonton membuat aksi renang. - Kredit video FB Ultras Nogori 9.


Status itu segera mendapat reaksi peminat bola sepak dengan pelbagai komen. Antaranya, Fikri Baharin bertanya, “Stadium akuatik ko ni?”

Sementara itu Awie RedKijang pula menulis: “Beli tiket bola pakej waterpark ye jang.”

Seorang lagi penyokong, Encik Mark memberi reaksi berikut: “Nikmatilah… kami fan Terengganu sentiasa beri yang terbaik untuk tetamu yang datang jauh-jauh…haha.”

Salambsaparudin pula menulis: “Demi menyambut orang jauh datang, siap sediakan pool untuk hilangkan stress.”

“Sekali jalan ni. Stadium & projek ternakan air tawar,” tulis Izham Ismail pula.

Azizi Harun menganggap penonton yang hadir pada perlawanan itu bertuah kerana mendapat pakej dua dalam satu. “2 pakej dalam 1 harga… Memang berbaloi-baloi niiii…Tengok bola pun dapat, mandi kolam pun dapat, sambil mandi kolam sambil layan game bola…”



Insiden itu dianggap sebagai satu lagi tamparan kepada Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang sebelum itu pernah dilanda kontroversi ekoran kejadian bumbung runtuh pada 2009 hanya selepas setahun dibuka.

Namun, ia segera dipertahankan oleh Pengurus Kompleks Sukan Negeri Terengganu (KSNT), A Zulkefli Mohammad yang menganggap apa yang berlaku adalah kejadian biasa.

"Jika hujan lebat, air akan bertakung, situasi ini adalah biasa, bukannya luar biasa, tapi selepas kira-kira 10 minit air dari atas itu akan mengalir ke dalam longkang 

"Padang bola pun air bertakung hanya seketika, inikan pula tempat duduk aras paling bawah penonton itu, lagipun tempat berkenaan adalah salah satu saluran keluar air.

"Harap peminat terutama daripada pasukan lawan tidak membuat sebarang spekulasi yang tidak sepatutnya kerana peminat setia skuad tuan rumah sudah mengetahui dan memahami situasi itu setiap kali hujan lebat melanda," kata Zulkefli, sebagaimana dilaporkan oleh Harian Metro.


Bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin runtuh pada 2009.


Mengulas lanjut, beliau yang juga Timbalan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) Bahagian Infrastruktur dan Kemudahan berkata, pihaknya sentiasa peka dengan keadaan yang berlaku.

"Kita sentiasa memantau keadaan itu termasuk aliran air supaya tidak tersumbat, lagipun ketinggian air tidak menentu, tapi tidak melebihi satu kaki (0.3 meter), namun ia tidak menjadi masalah kepada pengurusan pihak stadium," katanya.

Sementara itu, Sinar Harian melaporkan Pengurusan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin sudah mengenal pasti punca tempat duduk penonton ditakungi air.

Bahagian Infrastruktur dan Kemudahan, Majlis Sukan Negeri Terengganu dalam kenyataan pada Khamis, 30 Jun, 2022, berkata, tindakan susulan akan segera diambil berhubung masalah itu.

"Bagi masalah air bertakung yang tular dalam media sosial, ia berlaku di tempat duduk penonton pelawat. Pentadbiran ini telah mengenal pasti permasalahan dan tindakan susulan akan segera dibuat.

"Pihak pengurusan berusaha ke arah yang lebih baik bagi menyelenggarakan padang,masih ada lagi kelemahan yang perlu diperbaiki dari semasa ke semasa," jelas kenyataan itu.


Insiden penonton 'berendam' dan 'mandi-manda' dalam limpahan air di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin semasa perlawanan Terengganu-Negeri Sembilan pada Rabu, 29 Jun, 2022, tular serta menjadi perbincangan hangat. 


Pada perlawanan itu yang berkesudahan seri 0-0, pengadil Mohamad Zamzaidi Katimin turut terpaksa memberhentikan permainan pada minit ke-14 ekoran hujan lebat serta menangguhkannya selama hampir sejam sebelum menyambung aksi selepas hujan reda.

Untuk rekod, Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin dibina pada 2006 dengan kos RM270 juta dan dirasmikan oleh Sultan Terengganu yang juga Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 10 Mei, 2008. 

Stadium yang mampu memuatkan 50,000 penonton itu merupakan gelangang rasmi kelab bola sepak, Terengganu FC 1. - KitaReporters


Ultras Nogori 9 sentiasa hadir memberi sokongan setiap kali Negeri Sembilan FC turun bermain. - Kredit foto: Ultras Nogori 9. 


Pemain pertahanan Negeri Sembilan, Khuzaimi Piee (merah) mengawal pergerakan penyerang Terengganu, Kpah Sherman pada perlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 29 Jun, 2022 yang berkesudahan seri 0-0. - Kredit foto: FB Negeri Sembilan FC.

13
11
0
17
0
You will be interested