Seni & Sukan 29 Jun, 2022

Video| Kebangkitan filem tempatan! Filem Mat Kilau kutip lebih RM18j dalam 5 hari! jadi fenomena!

@fauzan uda ahmad
Bekerja dengan Utusan Malaysia dari 1985 hingga 1996. Menjadi wartawah hiburan, koresponden di Jakarta, Indonesia dan Ketua Meja Hiburan. juga bertugas dengan beberapa media lain

Share this


Filem ‘Mat Kilau - Kebangkitan Pahlawan” kini menjadi satu fenomena dan lambang kebangkitan masyarakat Malaysia kembali berminat menonton filem Melayu

GSC Cinemas selaku penayang utama filem ‘Mat Kilau’ mencatat kutipan RM18 juta pada hari kelima tayangan setakat jam 12 malam Isnin, 27 Julai 2022. Perkara itu dikongsi menerusi hantaran dalam Instagram rasmi GSC Cinemas.

"Sokongan luar biasa daripada rakyat Malaysia terhadap filem kita. Kutipan terus menggila biarpun pada hari biasa. Jangan berhenti di situ. Teruskan sokongan anda... Terima kasih Malaysia!" tulisnya.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan



Kutipan tiket memberangsangkan itu menyebabkan filem ‘Mat Kilau’ mengatasi sejumlah filem asing yang punya nama besar yang ditayang bersamaan seperti ‘Jurassic World’, ‘Top Gun Maverick’, ‘The Black Phone’, ‘Elvis’ dan ‘Vikram’



Sementara itu, pengarah filem Mat Kilau, Syamsul Yusof menganggap kutipan yang dicapai setakat ini adalah luar biasa.

"Melihat kepada senario untuk filem Mat Kilau, kebanyakan ulasan daripada masyarakat yang belum dan sudah menonton mereka memberikan komen dan maklum balas yang sangat positif. 

"Saya sangat bersyukur sebagai penulis filem ini juga kerana mereka menerima baik naskhah epik yang mengangkat tokoh Melayu kita iaitu Allahyarham Mat Kilau.

"Jadi ini satu usaha bersama bukan saja saya sebagai pengarah, pelakon, pasukan dan penerbit, tapi juga disokong kuat oleh penonton Malaysia sendiri. Jadi kita sama-sama harus berbangga dengan kejayaan ini dengan kutipan pada saya luar biasa.

"Jadi kalau mengikut komen dan buah mulut orang, insya-Allah kutipan filem ini akan terus bertambah," katanya. 



Tidak hanya dalam kalangan peminat, filem ‘Mat Kilau’ turut mendapat pujian penggiat filem tanah air seperti Datuk Afdlin Shauki. Malah beberapa tokoh turut memberi komen membina antaranya bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Filem terbitan Studio Kembara ini menampilkan barisan pelakon hebat seperti Datuk Adi Putra (Mat Kilau), Wan Hanafi Su (Tok Gajah iaitu ayah Mat Kilau), Beto Kusyairy (Wahid), Khir Rahman (Usup), Fattah Amin (Awang) dan Johan As'ari (Yassin).

Tidak ketinggalan Datuk Rahim Razali, Namron, Shaharuddin Thamby, Ellie Suriaty, Farah Ahmad dan aktor aksi handalan Indonesia, Yayan Ruhian sebagai Toga.


Shamsul di lokasi mengarah filem 'Mat Kilau' - Kredit foto: IG shamsulyusoffilem

Kekal pada tangga teratas, filem ini mendahului karya lain termasuk Hollywood dalam carta pecah panggung seperti ‘Top Gun Maverick’, ‘The Black Phone’, ‘Elvis’ dan ‘Vikram’.

Perkongsian pelbagai video dalam aplikasi TikTok dan ragam penonton yang berbusana Melayu klasik ketika berkunjung ke pawagam, dilihat antara faktor mencetuskan keterujaan orang ramai membeli tiket, apatah lagi dalam fasa peralihan endemik dengan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) di pawagam. 

Mengulas sambutan memberangsangkan itu, Syamsul melihat reaksi penonton persis istilah 'kebangkitan' dalam judul filem berkenaan.

"Terbukti penonton kita khususnya orang Melayu tidak mengetepikan filem tempatan. Sebenarnya, mereka menunggu filem yang menepati cita rasa dan berkualiti," katanya yang bersyukur dengan pencapaian itu.



Syamsul mengaku kejayaan filem ‘Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan’ setakat ini membakar semangatnya untuk terus berkarya. 

"Ini membakar semangat untuk terus menghasilkan filem yang menepati cita rasa orang kita. Itulah prinsip yang saya pegang selama ini dalam berkarya buat penonton Malaysia.

"Alhamdulillah, penonton dan penggemar filem tempatan tidak mensia-siakan karya yang mereka nampak ada sesuatu dan boleh pergi jauh," katanya. 

Syamsul tidak menafikan penangan watak Mat Kilau hingga seolah-olah 'demam' pahlawan itu melanda negara.

"Saya tidak terlalu fokus kepada media sosial. Namun, ramai yang cakap filem ini sudah 'trending' dalam Twitter dan platform lain sejak tiga hari lalu.

"Malah, pelbagai ragam dapat dilihat dalam TikTok apabila ramai sanggup memuat naik klip video berkaitan filem ini," katanya.


Kredit foto: FB Tun Syary Hazwarni Mardiah


Syamsul juga tersentuh apabila ramai warga emas sanggup datang ke pawagam menonton karyanya.

"Ini pencapaian luar biasa. Ada yang beritahu, ayah dan ibu yang sudah lama tidak menjejakkan kaki ke pawagam, meminta anak membawa mereka. Saya sangat tersentuh hati. 

Mengenai semangat penonton berbusana Melayu klasik ketika berkunjung ke pawagam, Syamsul berkata: "Situasi ini seolah-olah melihat bagaimana peminat Star Wars sanggup mengenakan kostum watak dalam filem terbabit.

"Ini suatu senario luar biasa dan tak pernah terjadi dalam penerbitan filem Melayu sebelum ini.

"Perkara ini jadi kebanggaan saya dan penerbit, Studio Kembara. Ini kebangkitan yang rakyat Malaysia, penonton filem tempatan dan pembikin cerita," katanya.



Filem Mat Kilau dibikin dalam suasana 1892 ketika kolonial British menduduki tanah di Pahang. British mengaut hasil bumi Pahang milik orang Melayu dan mencampuri urusan adat dan agama orang Melayu. 

Tidak membiarkan kebiadaban British di bumi Pahang berleluasa, Mat Kilau, Tok Gajah dan sahabatnya bangkit menentang British. Kebijaksanaan Mat Kilau dan Tok Gajah merancang penentangan menyebabkan British mengalami tekanan dan kerugian hingga berlakunya pertempuran sengit.

Filem yang menelan kos RM8 juta dan mengambil masa penggambaran kira-kira 100 hari itu mendapat sambutan pelbagai golongan dari golongan berusia atas 50-an. Malah ada penonton yang memakai pakaian Melayu lengkap seperti pahlawan.

Dengan kos pembikinan RM8 juta dan hasil kutipan perlu dibahagi separuh dengan pemilik pawagam dan cukai, filem ‘Mat Kilau’ perlu mencapai kutipan tiket sekurang-kurangnya RM17 juta untuk mendapat sedikit untung.

Syamsul kini menjadi pengarah yang mampu menghasilkan sejuta filem box office meniru kejayaan ayahnya Datuk Yusoff Haslam. - KitaReporters


9
12
0
10
0
You will be interested