Seni & Sukan 26 Dec, 2020

Karya mural Azmi Hussin! Inspirasi ngauman Si Harimau Kumbang

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

DI MANA yang selayaknya untuk memperingati dan mengiktiraf malah mengingatkan generasi baharu dan akan datang tentang jasa dan pencapaian wira-wira sukan bola sepak negara sekali gus satu sumber inspirasi buat mereka? Sekadar bahan bacaan dalam buku sejarah, akhbar dan majalah serta Internet? : KitaReporters 


ALI Bakar Abu Bakar (dari kiri) tersenyum simpul dalam 'misai garangnya' manakala Pang Siang Hock dan Shukor Saleh merenung tepat, hasil karya Me di dinding Stadium Bandaraya, Pulau Pinang. - Kredit foto FB Azmi Hussin.


Lagi kisah-kisah bersejarah bola sepak: 

https://kitareporters.com/search?search=bola+sepak 


Atau tersimpan sekian lama hingga bersarang lelabah di muzium menanti pelawat bertandang atau tidak syak lagi tempat peristiwanya dirakam dan keringat mereka ditumpahkan - stadium? 

Stadium Bandaraya, Pulau Pinang mungkin antara tempat yang tepat dalam merintis langkah itu hasil kreativiti seorang artis karikatur dan kartunis, Azmi Hussin, 36, sebagai penghormatan kepada legenda bola sepak negeri dan negara supaya tidak lekang dan luput ditelan masa.


KREATIVITI lakaran karikatur Me sering menarik minat para pelancong asing. - Kredit foto FB Azmi Hussin.


Enam jagoan iaitu Allahyarham Namat Abdullah, Allahyarham Ali Bakar Abu Bakar, Datuk Shukor Saleh, Datuk M. Kuppan, Pang Siang Hock dan Mohd. Faiz Subri dipotret dalam mural Azmi di dinding stadium tersebut selepas lima hari sepasang tangannya melakar. 

“Saya melakarnya seorang diri dengan menggunakan cat yang berasaskan air. Ada lapan tong cat Nippon Paint itu yang setiap satunya bermuatan 1 liter. 

“Saya dapat tender Majlis Bandaraya Pulau Pinang untuk memperindah stadium itu. Idea memuralkan legenda bola sepak ini tercetus selepas tengok mural (mendiang) Diego Maradona (legenda juara Piala Dunia 1986 bersama Argentina yang meninggal dunia, 26 November 2020 lalu) dalam Instagram.


POTRET mural Namat Abdullah yang meninggal dunia pada 17 Disember 2020 lalu. - Kredit foto FB Azmi Hussin. 


Dimulakan pada 21 Disember 2020 lalu, kerahan minda dan sentuhan kreatif tangan Me (julukan Azmi) ini akhirnya mampu membawa setiap pemilik mata yang memandangnya  mengimbas dan merasai kembali aura kehebatan dan kegemilangan pasukan Pulau Pinang - juara Piala Malaya dan Malaysia pada 1953, 1954, 1958 dan 1974. 

Di Stadium Bandaraya ini, kehebatan pasangan bersaudara Pang Siang Hock dan Siang Teik serta Kuppan pernah disaksikan dalam era 50-an hingga 60-an, manakala Namat & Co. yang turut dianggotai adiknya, Shaharudin, Ali dan Shukor memenangi Piala Malaysia selepas menewaskan Perak 2-1 dalam perlawanan akhir. 

Kuppan kemudian menyarung jersi pasukan negara yang meraih pingat emas Sukan SEAP Rangoon 1961 sebelum menaiki podium sama sebagai jurulatih skuad Sukan SEA Kuala Lumpur 1977. 

Siapa yang tidak kenal Namat dan Ali, bek kanan dan perantara Malaysia yang kali pertama menjejak Sukan Olimpik di tengah-tengah peristiwa ‘Black September’ di Munich pada 1972 mahupun Shukor yang layak ke Moscow 1980 selain membawa pulang pingat gangsa Sukan Asia Tehran 1974? 

Stadium ini juga menjadi saksi Faiz menjaringkan ‘gol yang melawan hukum fizik’ dengan menewaskan penjaga gol Pahang, Nasril Nourdin menerusi sepakan bebas dalam perlawanan Liga Super untuk merangkul Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016.


POTRET mural legenda bola sepak Pulau Pinang (dari kiri), Mohd. Faiz Subri, M. Kuppan dan Namat Abdullah. - Kredit foto Azmi Hussin.


ME (kanan) bersama Lat. - Kredit foto FB Azmi Hussin. 


Me ialah artis karikatur sepenuh masa sejak 2013 dengan kebanyakan pelanggan lakaran potretnya dengan harga RM10 sekeping ialah kalangan pelancong asing. 

Mengasah bakat hanya secara belajar sendiri tanpa sebarang pendidikan formal seni lukis, dia juga gemar menggunakan kopi atau bijirannya sebagai bahan lakaran karya.   

Peminat kartunis Datuk Lat (Kampung Boy) ini juga pernah menghasilkan siri buku komik berjudul ‘Tanjung Life’, ‘Little Mamak’ dan ‘Lost In Bagan’ pada 2015, 2016 dan 2017 selain dimasukkan dalam Buku Rekod Malaysia bagi karikatur paling banyak dilukis sepanjang 24 jam. 

Kini turut menjadi kartunis akhbar dwibahasa, Buletin Mutiara, Azmi yang berasal dari Butterworth, Pulau Pinang sebelumnya pernah bekerja sebagai juruteknik dan anggota polis tambahan.


 

KOMIK Tanjong Life dan Little Mamak karya Me. - Kredit foto FB Azmi Hussin.


 

 

1
0
0
0
0
You will be interested