BAGI yang pertama kali melihat Yonnyboii, pasti akan berkata, Mamat ni lain macam saja. Kalau dilihat secara luaran, kita akan mendefinisikan Yonnyboii sebagai seorang yang pendiam dan berada dalam dunia tersendiri (tak ambil kisah sekeliling). : KitaReporters
Yonnyboii yang sering dipandang pelik adalah insan seni serba boleh. - Kredit foto: IG Yonnyboii
Lagi cerita-cerita berkaitan
Namun pepatah ada berkata, jangan menilai seseorang berdasarkan luaran kerana ada ketikanya apa yang dilihat oleh mata kasar tidak semestinya benar. Biarpun ada yang berpendapat Yonnyboii pelik tapi tahukah mereka bahawa penyanyi itu memiliki penyakit Kecelaruan Hiperaktif Kurang Daya Tumpuan (ADHD).
Biarpun beliau dilihat ‘kurang’ dalam satu segi tapi dari sudut lain, kebolehan Yonnyboii melebihi orang yang memandang rendah terhadap dirinya.
Yonnyboii muncul dengan lagu Salahku 3.0 versi baharu.
Yonnyboii bukan sekadar boleh menyanyi, malah beliau juga mampu menghasilkan lagu-lagu yang menarik dan karyanya itu menjadi permintaan ramai rakan artis. Meskipun masih baharu dalam bidang ini, namun nama Yonnyboii sebaris dengan komposer tersohor lain.
Buktinya, tiga lagu dendangan dan ciptaannya iaitu Sakit (duet bersama Zynakal), Kelabu (duet bersama Azlan Typewriter) dan X Missing You (kolaborasi bersama Dayang Nurfaizah, Faizal Tahir dan Tuju K-Clique) berjaya tersenarai di pentas Separuh Akhir Muzik Muzik ke-35.
Pemilik nama penuh, Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin yang aktif melancarkan lagu demi lagu pada tahun ini, bakal tampil dengan single, Salahku dalam versi baharu.
Salahku yang menjadi runut bunyi untuk drama Budak Tebing yang disiarkan di slot Lestary TV3, April 2020 sehingga hari ini masih mendapat sambutan peminat muzik Malaysia.
Video lirik rasmi lagu ini yang dimuat naik sejak April 2020 telah mencapai lebih 3.3 juta tontonan. Manakala video muzik rasmi Salahku pula berjaya menjana lebih 6 juta tontonan sejak dilancarkan pada Ogos 2020.
Lagu Salahku sebelum ini pernah menjadi runut bunyi untuk drama Budak Tebing.
Jika dikira dengan jumlah tontonan video persembahan ‘live’ dan video tidak rasmi berkaitan lagu ini dalam saluran-saluran YouTube, lagu ciptaan dan dendangan Yonny ini sebenarnya sudah menjana belasan juta tontonan di YouTube. Ini tidak termasuk dengan jutaan kali lagunya dimainkan dalam platform penstriman muzik digital.
Bagi mengekalkan kelangsungan lagu ini Yonny mempertaruhkan versi baharu lagu ini yang diberi judul sebagai Salahku 3.0.
“Lagu Salahku saya cipta pada Jun 2019 dan saya sengaja buat dalam dua versi iaitu versi demo berdurasi dua minit yang pernah dikongsikan dalam media sosial saya tahun lepas dan versi penuh berdurasi empat minit yang dilancarkan pada April tahun 2020 ini.
“Untuk versi terkini, Salahku 3.0, saya cuba mempamerkan sisi berbeza dari segi gubahan muzik serta jiwa lagu itu sendiri. Dalam versi terkini, lagu ini bukan sahaja diberi gubahan yang lebih segar, malah lirik lagu ini juga dirombak sedikit bagi menyuntik semangat dan jiwa berbeza kepada lagu ini.
“Walaupun perubahannya nampak kecil namun ia membawa makna yang sedikit berbeza. Saya menyerahkan kepada peminat untuk menilai apa yang cuba saya sampaikan menerusi versi terbaharu ini,” katanya tentang lagu Salahku 3.0 versi terkini yang berdurasi 3:15 minit itu.
Beliau yang sebelum ini muncul dengan lagu Boleh Bla pada September 2020 berharap Salahku 3.0 mendapat sambutan hangat seperti versi sebelum ini.
Karya Yonnyboii mencari pilihan ramai penyanyi.
Melihat kepada perjalanan seni Yonnyboii yang masih baharu itu, boleh dikatakan namanya naik secara mendadak dalam bidang seni. Yonnyboii berjaya mengukir nama menerusi karya dan bukan cerita kontroversi.
Siapa sangka rezeki Yonnyboii semakin menjadi-jadi, biarpun pada awalnya orang memandang rendah kepadanya. Ciptaan Yonnyboii merupakan trend muzik masa kini.
Lagu Salahku 3.0, terbitan Universal Music Malaysia dengan kerjasama Def Jam Malaysia, boleh
didapati dalam platform digital seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music, JOOX,
iTunes, KKBox dan juga Deezer sejak 6 November 2020. Begitu juga dengan video lirik
lagu ini juga boleh ditonton dalam saluran
YouTube Universal Music Malaysia. - KitaReportes