Seni & Sukan 22 May, 2022

Nantikan konsert Siti Nurhaliza pada 2023! Rindu anjur show skala besar! Tak nak berebut-rebut!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

Siti Nurhaliza bersama pengurusan dan barisan artis-artis yang hadir.


Penyanyi tersohor, Dato Seri Siti Nurhaliza, 43, melahirkan perasaan rindunya untuk menganjurkan konsert berskala besar setelah dua tahun tidak berkesempatan disebabkan pandemik COVID-19.

“Memang rindu nak mengadakan konsert besar-besaran apatah lagi sekarang ini sudah dibenarkan tetapi buat masa ini memadai dahulu dengan persembahan secara ‘showcase’ yang lebih ‘intimate’," ujar Siti Nurhaliza atau popular dengan panggilan Tok Ti  ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Universal Music Malaysia 2022 dengan kerjasama Def Jam Recordings Malaysia serta Celebrity 360 di sebuah hotel terkemuka di Petaling Jaya pada 20 Mei 2022.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan peganjuran konsert



Menurut Siti, buat masa terdekat ini beliau akan mengadakan ‘showcase’ iaitu ‘An Evening With Siti Nurhaliza’ secara intim, elegan dan eksklusif dengan peminat-peminatnya.

“Siti akan umumkan apabila tarikh dan lokasinya sudah diperoleh,” tambah beliau sambil merancang untuk menghasilkan single terbaharu dalam masa terdekat manakala konsert besar-besaran mungkin akan dirancang pada tahun hadapan (2023).

“Biarlah artis-artis lain dahulu membuat konsert, tak perlu Siti berebut-rebut untuk menganjurkannya tergesa-gesa walaupun memang Siti amat rindu untuk bertemu peminat semua apatah lagi pada konsert berskala besar kerana di situlah Siti boleh terus mempamerkan kreativiti dalam persembahan,” ujar Tok Ti yang menyampaikan lagu raya terbaharunya, ‘Lip Lap Raya’ pada majlis rumah terbuka anjuran Universal Music Malaysia (UMM) berkenaan.


Siti mempersembahkan lagu raya 'Lip Lap Raya' dan gambar bawah antara artis-artis yang hadir,


Turut menghiburkan suasana raya terdiri daripada artis-artis Universal Music Malaysia dan Def Jam Recordings Malaysia antaranya seperti Dolla, Insomniacks, The Gadys, Razzuan Rosli, Yonnyboii, Siqma, Asyraf Nasir, Kmy Kmo & Luca Sickta berserta artis edaran mereka seperti Wanie Kayrie (Rocketfuel Entertainment) dan artis terbaharu RedRecords, Airliftz.  


Kumpulan penyanyi wanita baharu, The Gadys tidak melepaskan peluang bergambar bersama Tok Ti.


Dalam pada itu, majlis menyaksikan pengumuman pelancaran Masyhur oleh Pengarah Urusan UMM, Kim Lim (gambar bawah, tiga dari kiri) sebuah sublabel Islamik di bawah payung Universal Music Malaysia serta program pencarian bakat terbaharu mereka melalui Masyhur yang dipanggil Masyhur Redefined dengan kerjasama Faithful Music.

Siri laman sesawang itu akan menampilkan Faizal Tahir (gambar bawah, dua dari kanan) sebagai juri utama di samping juri-juri selebriti sebagai mentor kepada pemuda-pemudi Malaysia yang ingin memulakan langkah dalam industri muzik. 

Para peserta akan menjalani bengkel serta cabaran mingguan untuk menguji kemahiran kreatif mereka dalam menghasilkan karya asli, menulis serta mencipta lagu dan juga persembahan pentas. 



Untuk keluaran 2022, Masyhur memperkenalkan karya-karya baharu oleh Fattah Amin (‘Hamba’ featuring Kmy Kmo, ‘Kiriman Agung’ dan ‘Sinar Selawat’), Mestica & Dato Hattan (‘Istikharah’) serta album kompilasi ‘Zikir Rintihan Hati’ dengan kerjasama Begood Music. 

Selain Masyhur Redefined dan keluaran muzik terbaharu sublabel itu untuk tahun 2022, Masyhur juga telah berkongsi inisiatif 2021 mereka iaitu ‘Kongsi Rezeki’, sebuah siri 6 bahagian dalam laman YouTube bersama Beegood Music yang menampilkan semangat sukarelawan dan kepentingan hubungan pembinaan-komuniti di kalangan rakyat Malaysia. - KitaReporters


9
10
0
17
0
You will be interested