Seni & Sukan 02 Dec, 2020

Majlis ala kesultanan Melayu Melaka! Bagi rai persaraan guru

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb 2019.

Share this

MAJLIS Sanjungan Kasih Seikhlas Budi bagi meraikan persaraan seorang guru di daerah Besut, Terengganu bertemakan Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-14, menarik perhatian dan mengamit kenangan silam. Untuk satu hari, guru itu dirai dan disanjungi ibarat seorang raja atau sultan. : KitaReporters


Kompleks Desa Ukiran Kayu di Kampung Raja, Besut, lokasi majlis sambutan persaraan guru berkonsepkan Kesultanan Melayu Melaka


Lagi cerita-cerita berkaitan cikgu:

https://kitareporters.com/search?search=cikgu


Konsep yang diketengahkan oleh pihak penganjur sememangnya amat unik dan tidak pernah dilakukan oleh mana-mana pihak untuk meraikan persaraan seseorang penjawat awam kerana ia memerlukan prasarana yang cukup untuk menggambarkan suasana dan tempat majlis tersebut.

Bagaimanapun, penduduk daerah Besut amat beruntung kerana mempunyai sebuah kompleks yang dinamakan Desa Ukiran Kayu sebuah bangunan yang mirip istana lama dan sesuai untuk penganjuran program bertemakan alam tradisional. 


Ketibaan Cikgu Mohd Nordin Hussain di pekarangan Desa Ukiran Kayu disambut oleh rakan-rakan berpakaian pahlawan dan dayang


Usaha Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Besut memilih lokasi Desa Ukiran Kayu untuk menganjurkan majlis persaraan seorang pegawainya yang berkonsepkan Kesultanan Melayu Melaka amat tepat dan patut dipuji kerana mengembalikan nilai sejarah salam dalam era dunia moden.

Persaraan seorang guru Mohd Nordin Hussain, 58, yang berlangsung di Desa Ukiran Kayu, Kota Putera, dekat Jertih, Terengganu, pada 30 November 2020 mencatat sejarah bukan sahaja dalam kalangan pendidik malah penduduk daerah itu.

Menariknya, semua 150 peserta jemputan yang terdiri daripada guru dan pegawai di Pejabat Pendidikan Daerah itu dikehendaki memakai pakaian berkonsepkan pahlawan Melayu bagi lelaki dan dayang bagi perempuan.


Mohd Nordin ditemani isteri Zabedah Samat diraikan penuh tradisional


Majlis yang dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, Muie Ngah mengembalikan ingatan tetamu kepada zaman kegemilangan sejarah Kesultanan Melayu kerana keseluruhan acara termasuk pakaian, muzik, persembahan kesenian dan cara makan ditonjolkan pada majlis tersebut. 

Ketibaan Mohd Nordin yang ditemani isterinya, Zabedah Samat, 55 dari kediaman beliau di Kampung Paya Rawa, Besut, ke lokasi dengan menaiki sebuah kereta disambut dengan penuh acara tradisional oleh tetamu.

Sebaik melangkah ke pekarangan Desa Ukiran Kayu pasangan tersebut dipersembahkan dengan demotrasi silat Melayu sambil diiringi dengan tiupan serunai berirama keberangkatan pahlawan. 


Poster persaraan Mohd Nordin Hussain


Mohd Nordin bersama pahlawan dan dayang di atas tangga Balai Rong Seri Desa Ukiran Kayu, Besut


Mohd Nordin kemudian diiringi naik ke Balai Rong Seri untuk istiadat persembahan ucapan oleh tetamu dan semua peserta duduk dalam keadaan bersila, tetapi mengikut SOP yang ditetapkan pihak berkuasa kerana masih berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Pada majlis makan tengah hari, semua jemputan sekali lagi berada dalam mood zaman silam apabila dihidangkan dengan masakan tradisional dan duduk bersila. 


Majlis makan bersila


Mohd Nordin berkata beliau terkejut dengan acara sambutan luar biasa yang diberikan terhadap dirinya dan menganggap ia satu penghormatan besar dalam sejarah hidup beliau dan isteri.

Beliau yang memilih bersara awal  berkata, acara sambutan yang dibuat penganjur satu kejutan kerana tidak menyangka majlis berlangsung dengan penuh gilang gemilang. 

“Saya amat teruja dan bangga kerana bukan mudah untuk penganjuran majlis berkonsepkan Kesultanan Melayu Melaka seperti yang saya alami,” katanya. - KitaReporters


Guru-guru berpakaian pahlawan dan dayang bagi meraikan rakan mereka Cikgu Mohd Nordin

25
7
1
2
0
You will be interested