Seni & Sukan 17 Feb, 2021

Video| Bunga Isme, Noraniza Idris bagaikan Intan Payung! Satu lagi kolaborasi baharu dan lama

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this


ORANG selalu kata, jika tiada yang lama, tiada yang baharu. Begitu juga bunyinya peribahasa ‘orang tua-tua lebih dahulu makan garam’ membawa maksud yang dewasa itu lebih pengalaman dan perlu dihormati lagi dicontohi. Apa kaitannya? 

Barangkali andaian demikian tepat ditujukan kepada kolaborasi yang menyaksikan penyanyi muda rap, Bunga  Isme digandingkan dengan artis veteran Noraniza Idris dalam lagu ‘Intan Payung”. 


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan Bunga Isme:

https://kitareporters.com/search?search=bunga+isme




Bayangkan Bunga Isme atau nama sebenarnya, Noor Ayu Fatini, 21, yang mencipta nama sebagai satu-satunya penyanyi rap wanita mengenakan baju kurung sambil berhijab serta berkasut sukan disatukan dengan Ratu Pop Etnik Malaysia, Noraniza Idris, 52, yang boleh diibaratkan sebaya ibunya?

"Saya sangat teruja dan merasa bertuah kerana diberi peluang untuk berkolaborasi dengan Kak Ani dalam "Intan Payung”, ‘ ujar Bunga yang menggelarkan Noraniza sebagai Kak Ani lagi.

Menurut Bunga Isme kehadiran Noraniza Idris menyerikan lagi lagu ‘Intan Payung’ sekali gus menaikkan lagi nuansa Melayu lagu ini dengan gaya nyanyian tradisional Melayunya.




Sementara itu, menjengah ke laman sosial Noraniza Idris, penyanyi ini sempat mempromosikan lagu mereka berdua bersama peminat secara 'live' dengan Bunga. 

Sudah tentu kerjasama antara yang lama dan yang baharu ini satu norma baharu sesuai dengan kehendak generasi moden ketika ini sebagaimana Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah pun sudah bekerjasama dengan penyanyi muda, Wany Hasrita (Belenggu Cinta) mahu pun  terbaharu bersama duo rap terkenal, Luca Sickta & Kmykmo melalui lagu ‘Neraca’.



Intan Payung’ merupakan lagu duet terbaharu Bunga selepas muncul sebagai rakan kolaborasi dalam beberapa projek lain sebelum ini seperti lagu ‘Dup Dup’ Bersama Aizat Amdan, lagu ‘Kampung Aku Lit’ bersama Lil J dan Kidd Santhe, serta single terbaharu Aziz Harun berjudul ‘Dua Puluh Dua Puluh’.

Ciptaan bersama Bunga dan penerbit muzik, pencipta lagu dan penyanyi rap, Luca Sickta dengan susunan muzik diberikan elemen gamelan yang sememangnya sememangnya cukup dikenali di atas kecenderungan Luca mengangkat seni muzik Melayu dalam karya-karya popularnya,  seperti ‘Gong Nekara’, ‘Zuhud’ dan ‘7 Nasihat’. 

Sementara lirik ditulis oleh Bunga pula menceritakan tentang peri pentingnya mempunyai ketahanan diri dalam menghadapi cabaran menuju kejayaan.



Diilhamkan oleh perjalanannya sendiri dengan orang sekeliling, Bunga  berpegang kepada kata-kata bahawa kisah kejayaan yang terbaik selalunya bermula dengan kegagalan. Tidak ada manusia yang ditakdirkan dilahirkan hanya untuk mencapai kejayaan tanpa sebarang usaha. Semua orang kena berjuang dalam perjalanan ke puncak kejayaan. 

“Untuk mencapai impian kita itu, usaha yang gagal, tersadung, terhalang, atau membuat perubahan arah yang radikal adalah kunci kepada kejayaan. Kegagalan mendewasakan dan menjadikan kita lebih baik daripada semalam serta lebih baik dalam apa yang kita lakukan,” Bunga berpendapat.

Dengan lagu berkenaan, Bunga  cuba mengatakan bahawa manusia tidak harus  putus asa apabila hidup yang dirancang tidak berjalan lancar. 

“Belajarlah dari kegagalan dan teruskan perjalanan. Kejayaan semakin hampir, jadi jangan berputus asa! Saya harap lagu ini menjadi lagu kehidupan generasi saya yang masih mencari jalan untuk masa depan yang lebih baik, ” tambah Bunga mengenai makna di sebalik lagu ‘Intan Payung’.

Lagu 'Intan Payung”  terbitan Warner Music Malaysia ini sudah boleh didengar di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox , Deezer, Joox dan juga Apple Music termasuk melalui YouTube video lirik rasminya. - KitaReporters


 

1
0
0
0
1
You will be interested