Seni & Sukan 04 Oct, 2020

Haziq AF4 Makan Sirih Ahmad Jais? Saksikan di Istana Budaya!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

ORKESTRA Tradisional Malaysia (OTM) akan terus memartabatkan irama warisan negara dengan mengangkat elemen muzik tradisional dan tari berasaskan unsur asli dan klasik pada 'Konsert Rapsodi Malaysia' yang  bakal berlangsung selama dua malam bermula 23 hingga 24 Oktober 2020 ini di Panggung Sari, Istana Budaya. : KitaReporters


Lagi cerita-cerita berkaitan konsert:

https://kitareporters.com/search?search=konsert


Konsert selama satu setengah jam berkenaan yang akan bermula pukul  8.30 malam membariskan empat penyanyi-penyanyi muda terdiri daripada Khai Bahar, Shiha Zikir, Asmidar dan Haziq AF4.

Kesemua mereka akan mempersembahkan lagu-lagu filem Melayu klasik yang dipilih berdasarkan matlamat memulihara teater tradisional Malaysia sebagai warisan negara dan menyemarakkan lagu tradisi yang diguna pakai di dalam filem Melayu klasik.

“Diiringi tarian oleh artis tari Istana Budaya,  pementasan 'Konsert Rapsodi Malaysia bersama OTM' di bawah pimpinan konduktornya, Mohd Yazid Zakaria ini, diadakan untuk menggalakkan masyarakat supaya lebih menghargai kesenian tradisional tempatan dan menyuburkan semangat perpaduan di antara  masyarakat berbilang bangsa Malaysia,” ujar Ketua Pengarah Istana Budaya, Zaiton Md Desa (tengah) kepada media.


Menurut beliau, pengenalan semula kepada lagu-lagu tradisi dapat memartabatkan seni warisan negara pada peringkat tempatan seterusnya pada peringkat antarabangsa.

“Generasi muda juga akan berpeluang menghayati hiburan seni tradisional di pentas yang mengungguli seni persembahan negara,“ tambah Zaiton.

Pembukaan konsert akan bermula dengan segmen asli iaitu persembahan muzik tradisional Wayang Kulit, Mak Yong dan Mek Mulung, manakala segmen kedua berkonsepkan lagu-lagu bangsawan dan filem Melayu klasik seperti antaranya ‘Jula Juli Bintang 3’ (petikan 4) oleh Shiha Zikir; ‘Perigi Biru’ (Khai Bahar); ‘Syair Panca Delima’ (Asmidar) dan ‘Makan Sirih’ dari Haziq.


Haziq atau nama penuhnya, Hazwan Haziq Rosebi, 32, yang kini nampak penampilannya berbeza sejak bergelar ayah kepada dua cahaya mata. Berbanding ketika zaman bujangnya dan semasa di Akademi Fantasia, Haziq berbadan gempal namun kini berat badannya turun lebih 10 kg.

Apakah Haziq mengalami masalah kesihatan?

“Oh tidak, Saya sekarang sememangnya menjaga kesihatan dan tidak mahu lagi berat seperti dahulu. Saya amalkan puasa ‘intermittent’  dan sering melakukan senaman ringan dan larian, “ tambah Haziq yang mempunyai vokal mirip penyanyi veteran  Ahmad Jais ini.

Tidak hairanlah beliau dipilih mendendangkan lagu Ahmad Jais, “Makan Sirih’ untuk persembahan solonya, manakala bagi lagu duet bersama Shiha Zikir, Haziq bakal mengalunkan lagu ‘Itulah Sayang’ nyanyian asal Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee & Normadiah.


Menyentuh perkembangannya, Haziq bersyukur mendapat tawaran mengadakan persembahan di Istana Budaya setelah lama berehat akibat pandemik COVID-19.

Mengakui pendapatannya dalam bidang seni terkesan, Haziq bagaimana pun mengakui masih mengendalikan perkhidmatan ‘Grab’ apabila masanya terluang.

Bercerita lanjut, katanya, buat masa ini beliau masih mengharapkan tawaran menghasilkan album penuh khususnya dalam menyanyikan kembali lagu-lagu Ahmad Jais.

“Saya pernah ditawarkan untuk merakamkan semula lagu-lagu Ahmad Jais untuk sebuah album tetapi dah 8 tahun berlalu, nampak gayanya tiada rezeki,” ujar Haziq yang masih berharap dapat merealisasikan album sedemikian.

Menurutnya, memahami keadaan pasaran sekarang yang banyak tertumpu pada lagu single, beliau bagaimana pun belum berhasrat merakamkan single waima katanya, ia belum pasti boleh laku memandangkan keadaan ekonomi sekarang tidak menentu.

Apa pun jika korang rindukan lagu Ahmad Jais bolehlah dengar nyanyian Haziq pada Konsert Rapsodi nanti ya. 

Tiket-tiket  berharga dari RM50, RM70, RM90 dan RM150 boleh didapati melalui ejen tiket Ilasso dengan  melayari laman sesawang illasotickets.com bermula  Isnin 5 Oktober 2020 ini. - KitaReporters

3
0
0
0
0
You will be interested