Seni & Sukan 02 Feb, 2022

KRT Bandar Jertih amal konsep Keluarga Malaysia! Contoh terbaik bukti perpaduan, keharmonian!

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb [email protected]

Share this


Keluarga Ong Kee Cheng menyambut Ahli Jawatankuasa JPKK dan Persatuan Penduduk yang berkunjung ke rumahnya di RAKR Seberang Jertih sempena Tahun Baharu Cina


KONSEP Keluarga Malaysia yang dicetuskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bukan sekadar hiasan slogan, sebaliknya pelbagai pihak menyambut baik ungkapan itu dengan mempraktikkannya dalam amalan dan aktiviti kemasyarakatan

Sesuai dengan keharmonian dan perpaduan penduduk pelbagai kaum di negara ini sudah tentu konsep Keluarga Malaysia memerlukan semangat kerjasama dan sokongan seluruh rakyat untuk menjayakannya sama ada melalui program sosial anjuran Badan Bukan Kerajaan (NGO) atau agensi dan jabatan kerajaan.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Keluarga Malaysia

Ong Kee Cheng bersama isteri Sow Guat Kee melayani tetamu Melayu yang datang menyambut Tahun Baharu Cina di rumah mereka RAKR Pelagat Tiga, Seberang Jertih



Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Bandar Jertih, Terengganu, turut mengambil tanggungjawab untuk memupuk perpaduan dan meningkatkan semangat kejiranan dalam kalangan komuniti setempat.

Sambutan Tahun Baharu Cina yang diraikan oleh masyarakat Tionghoa menjadi teras kepada aktiviti yang dilaksanakan oleh KRT berkenaan yang berkongsi budaya dan adat mengikut acuan setempat.


Ahli Jawatankuasa KRT Bandar Jertih dari pelbagai kaum menyertai majlis makan malam


KRT tersebut yang meraikan ulang tahun Ke-37 pada 15 Januari 2022 ini menjadi NGO tertua di negeri Terengganu masih releven dengan penganjuran program kemasyarakatan dan mengekalkan identiti sebagai KRT yang dianggotai masyarakat pelbagai kaum di negeri itu.


LUA KOK CHEONG


Bendaharinya, Lua Kok Cheong berkata, usaha yang dilakukan oleh KRT berkenaan sejak awal penubuhan sehingga kini sedikit sebanyak membantu usaha kerajaan mengekalkan keharmonian masyarakat majmuk di negeri itu.

Katanya, jika ingin melihat perpaduan kaum antara Melayu dan Cina, KRT tersebut boleh dijadikan contoh terbaik kerana selain Ahli Jawatankuasanya mewakili kaum Melayu,Cina, India dan Ibam, ia juga berjaya memupuk perpaduan komuniti di negeri itu.

Tidak hairanlah, katanya, setiap kali ada sambutan perayaan, penduduk daerah Besut saling kunjung mengunjung sebagai tanda persahabatan dan kejiranan.  

“Usaha yang disemai oleh KRT melalui pelbagai program kini sudah diikuti oleh masyarakat apabila ada amalan kunjung mengunjung ke rumah masing-masing,” katanya. 



Ini diperakui oleh penduduk, Chong Aii Suan, 41, dari Kampung Bukit Kenak, dekat Jertih apabila ada rakan dalam kalangan bukan Melayu turut menghanatar hidangan nasi dagang untuk keluarga beliau.

“Syukur dan terharu sangat bila kawan-kawan mengingati kita.. Tq kasih seorang hamba Allah ni, walau berlainan agama dan bangsa tak jadi masalah pon dalam persahabatan,” tulis Chong Aii Suan menerusi Facebook miliknya pada Isnin, 1 Februari 2022.


Penduduk Besut mewakili pelbagai kaum duduk semeja menghadiri majlis makan malam


Sementara itu, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Persatuan Penduduk Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) Seberang Jertih, berkongsi pengalaman apabila keluarga Tionghoa  Ong Kee Cheng  yang tinggal di penempatan perumahan tersebut turut mengundang Ahli Jawatankuasa kedua-dua badan tersebut pada hari pertama sambutan Tahun Baharu Cina bagi meraikan sambutan perayaan tersebut. - KitaReporters


Jawatankuasa Jiran Wanita KRT Bandar Jertih menyantuni komuniti Cina mengagihkan sumbangan barangan dapur

18
12
2
11
0
You will be interested