Seni & Sukan 30 Jan, 2022

Keluarga Malaysia: JPKK Jorak Elahi agih cenderahati, limau! Semangat perpaduan Tahun Baharu Cina!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this


Usaha yang dilakukan oleh JPKK Jorak Elahi bertujuan mengukuhkan lagi semangat perpaduan pelbagai kaum.


IBARAT merealisasikan aspirasi Keluarga Malaysia ke arah memupuk dan menyuburkan semangat perpaduan serta kesejahteraan hidup, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Jorak Elahi, Batu Pahat, Johor menyantuni keluarga berbangsa Cina yang akan menyambut Tahun Baharu Cina pada 1 Februari 2022 ini.

Pengerusinya, Hamidi Mad Tap, berkata bersama-sama ahli jawatankuasa JPKK mereka mengagihkan 52 bungkusan cenderahati dan limau kepada jiran tetangga berbangsa Cina di sekitar Kampung Parit Jorak Elahi pada 28 Januari 2022 lalu bagi berkongsi kegembiraan serta menceriakan sambutan Tahun Baharu Cina.

Hamidi Mad Tap (kanan) bersama-sama ahli jawatankuasa JPKK turut menziarah warga emas berbangsa Cina yang uzur.


Menurutnya, langkah itu dilaksanakan sebagai menyahut saranan pemimpin negara di samping menghargai semangat kerjasama dan sikap toleransi pelbagai kaum termasuk masyarakat Cina yang sekian lama menetap di kampung berkenaan.

“Dalam tempoh ini kami boleh hidup secara aman tanpa sebarang syak wasangka malah boleh bergotong-royong dalam aktiviti kemasyarakatan setiap kali dianjurkan dan pada kesempatan bertemu digunakan untuk mengeratkan hubungan perpaduan.

“Saya amat terharu apabila ada majlis keramaian seperti kenduri kahwin orang Melayu mereka yang berbangsa Cina umpamanya tidak segan untuk turut serta membantu apabila mengetahui perkara itu diadakan secara bergotong-royong,” katanya yang juga Ketua Kampung Parit Jorak Elahi.


Hamidi (tengah) bersama-sama ahli jawatankuasa JPKK mengagihkan cenderahati dan limau kepada keluarga berbangsa Cina di Kampung Parit Jorak Elahi, Batu Pahat, Johor pada 28 Januari 2022.


Hamidi berkata, walaupun sumbangan itu tidak seberapa namun diharap dapat meringankan bebanan sesetengah keluarga berbangsa Cina yang turut terkesan dengan pandemik Covid-19 serta bencana alam seperti banjir baru-baru ini. 

Tambahnya, paling penting kegembiraan mereka menyambut Tahun Baharu Cina akan turut terasa kepada masyarakat lain yang berasa bangga apabila dapat berganding bahu dengan JPKK menghulurkan sumbangan menyediakan cenderahati dan limau itu.

Menurut beliau, kunjungan dia bersama-sama ahli jawatankuasa JPKK bagi mengagihkan sumbangan berkenaan turut mencerminkan keikhlasan semua masyarakat dalam memupukkan semangat perpaduan bagi mencipta kehidupan berjiran yang lebih.

“Sebagai ketua kampung saya amat berharap hubungan serta semangat perpaduan yang terjalin dengan baik selama ini menjadi contoh kepada penduduk di kampung sekitar untuk hidup dengan harmoni bersama-sama pelbagai kaum dan bangsa,” katanya. 


Hamidi (kanan) bersama-sama keluarga berbangsa Cina di Kampung Parit Jorak Elahi, yang menerima sumbangan daripada JPKK. - KitaReporters

14
16
0
18
0
You will be interested