Seni & Sukan 21 Jun, 2021

Berita Terkini| Sindiket Love Scam: Ibu tunggal ditipu RM1j! 2 tahun sulam cinta secara maya!

@news editor 1
Semua kenyataan media/press releases boleh di emel ke editor@reporters.com

Share this

KETUA Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Shafee Abd Samad berkata, mangsa mula jatuh hati dengan suspek selepas berkenalan melalui Instagram sejak April 2019. - Kredit foto: Utusan Malaysia


SEORANG ibu tunggal kerugian hampir RM1 juta selepas lebih dua tahun menyulam cinta secara maya seorang lelaki daripada sindiket Love Scam dalam kejadian di Alma, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Akibat termakan pujukan lelaki memperkenalkan diri sebagai “William Schang” dan mengaku menetap di Amerika Syarikat (AS), mangsa yang juga seorang kerani berusia 58 tahun menyerahkan wang simpanannya dan wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM927,400.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Shafee Abd Samad berkata, mangsa mula jatuh hati dengan suspek selepas berkenalan melalui Instagram sejak April 2019.

“Mereka kemudian bertukar nombor telefon dan menjalinkan hubungan cinta walaupun tidak pernah berjumpa secara bersemuka.

“Suspek kemudian mengadu mempunyai masalah kewangan dan meminta bantuan untuk membiayai urusan perniagaan cari gali petroleum miliknya di AS dan berjanji memulangkan semula wangnya dengan komisen tinggi,” katanya seperti dipetik oleh Bernama pada Isnin, 21 Jun 2021.

Shafee berkata, kerana mempercayai pujuk rayu dan janji manis, mangsa telah melakukan 50 transaksi sejak 9 April 2019 hingga Februari lalu ke dalam lima akaun tempatan membabitkan wang berjumlah RM927,400.

Beliau menambah menyedari ditipu selepas gagal menghubungi lelaki terbabit selepas memindahkan semua wang berkenaan, wanita itu bergegas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah.

 “Kami masih menjalankan siasatan lanjut termasuk mengesan pemilik akaun digunakan sindiket tersebut untuk menipu mangsa dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu,” katanya. - KitaReporters


Lagi berita-berita terkini dalam KitaReporter

Gambar hiasan... MANGSA melakukan 50 transaksi ke lima akaun tempatan membabitkan wang berjumlah RM927,400.

0
2
2
1
2
You will be interested