Seni & Sukan 07 Mar, 2021

Video| Anak-anak muda diajak hargai Masa sebelum terlambat! Seru Yonnyboii, Baal, Amzeeq, Izhar

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

Dari kiri: YonnyBoii, Izhar Ishak, Muhammad Iqbal dan Muhammad Amirul Haziq.


‘Masa itu emas’, pepatah atau bidalan yang tidak asing lagi disebut dan digunakan bagi maksud janganlah kita membuang masa dengan sia-sia kerana masa itu sangat berharga dan tidak ternilainya.

Mesej inilah yang mahu disampaikan oleh empat anak muda indie iaitu Baal, Amzeeq, Izhar serta penyanyi rapper popular, Yonnyboii sehingga dijadikan tajuk lagu mereka, ‘Masa’, sebuah karya yang boleh dikaitkan dengan pelbagai perkara sekeliling yang kita lakukan dalam urusan harian.

Pendek kata, pengurusan masa dalam hidup adalah sangat penting lebih-lebih lagi pada zaman pandemik COVID-19 yang sedang kita hadapi ini.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan Yonnyboii

https://kitareporters.com/search?search=Yonnyboii



“Zaman muda ni zaman kena pulun! Biar tak selalu asalkan ada progres, tujuan saya bawakan lagu ini adalah untuk mengajak anak-anak muda lebih bersemangat untuk mengejar cita-cita dan impian mereka dalam apa jua bidang yang diminati,” ujar Amzeeq atau nama penuhnya, Muhammad Amirul Haziq (gambar atas, kanan), berhubung lagu ‘Masa’.

Menurut Amzeeq, anak-anak muda masa kini lebih suka membuang masa dengan melakukan perkara yang kurang berfaedah lalu menjadikan tujuan lagu ini ditulis adalah untuk lebih menggalakkan mereka bertindak keluar daripada kotak "malas" sementara masih muda.




Dan bagi rakannya, Baal pula, beliau berpendapat lagu 'Masa' sangat bersesuaian untuk dijamu kepada para pendengar kerana ia telah disuntik dengan isi tersurat dan tersirat, sekali gus memberi ikhtibar mahupun nasihat dengan nyanyian.

“Harapan saya dengan lagu 'Masa' ni adalah untuk mengubah persepsi anak-anak muda yang masih mempunyai peluang bagi membentuk kehidupan mereka dengan lebih sempurna kerana mereka mempunyai potensi untuk menjadi pemimpin yang hebat untuk suatu masa akan datang. 

“Walau bagaimanapun, perubahan perlu dilakukan dengan usaha dan saya berharap lagu ini dapat membuka ruang-ruang yang baru dan berbaloi,” kata pemilik nama Muhammad Iqbal  (gambar atas, kiri) ini.



Bagi Izhar Ishak (gambar atas) pula yang baru pertama kali bekerjasama dengan rakan-rakannya itu, dia melahirkan rasa beruntung dapat meluahkan perasaannya melalui ‘Masa’. 

“Mereka begitu baik sekali dan membuat saya selesa untuk bekerja. Ini adalah pertama kali saya bekerjasama dengan mereka dan saya rasa beruntung dapat meluahkan perasaan saya melalui lagu ini, 

Terima kasih Baal dan Amzeeq kerana sudi mengajak saya untuk berkolaborasi bersama Yonnyboii sekali,” kata Izhar.



Pun begitu, keempat-empat anak muda ini memberitahu, lagu 'Masa' tidak ada kena mengena dengan sesiapa pun antara yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia. 

Tambah Izhar, penulisan liriknya hanya menceritakan tentang diri sendiri ketika berada di tempat yang sukar dan menghadapi kekangan hidup susah.

“Harapan saya untuk lagu 'Masa' cukup lah buat saya gembira jika  keluarga, rakan-rakan dan peminat menyukainya apatah lagi jika mendapat sambutan dari peminat hip hop ‘underground’ Malaysia,” jelas Izhar.

'Masa' ciptaan bersama Baal, Amzeeq dengan sentuhan Kmy Kmo serta Fareed Noh kini sudah tersedia dalam semua pelantar pengstriman digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer dan YouTube Music. - KitaReporters

3
0
0
0
0
You will be interested