Seni & Sukan 09 Jun, 2022

Video| Pengembaraan kenangan! Konsert Kembara Panorama Jingga: 1444 Hijrah! Ubat kerinduan peminat!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

Kumpulan Kembara. Kredit foto: Instagram @kembara1404.


Bila halwa telinga dialunkan dengan lagu ‘Ekspres Rakyat’, tidak syak lagi pancaindera lainnya akan turut tertumpu pada kelibat sifu muzik, Dato M Nasir bersama kumpulan pemuzik asalnya dari Singapura, Kembara.

Terakhir, kumpulan Kembara yang ditubuhkan pada 1981 tetapi bubar pada 1985 sempat muncul dengan sebuah konsert di kota Kuala Lumpur pada tahun 2014 yang meninggalkan 1001 kenangan,

Lapan tahun bukan jangka masa yang sekejap untuk sebuah rindu yang meranum. Sudah pasti kerinduan terhadap lagu-lagu rakyat serta perjuangan mereka masih membara di hati peminat.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan sifu Datuk M Nasir


Sehubungan itu, Shiraz Projects Sdn Bhd yang terkenal sebagai penganjur konsert artis-artis ternama tidak melepaskan tanggungjawabnya melunaskan kerinduan peminat Kumpulan Kembara dengan membawakan Konsert 'Kembara Panorama Jingga: 1444 Hijrah' dijadualkan berlangsung pada 31 Julai 2022, bertempat di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). 

Bakal bermula pada pukul 8.30 malam, konsert yang menghimpunkan tenaga dan kehebatan M. Nasir (vokal), Zoul (gitar utama, vokal), Rahman Suri (bes), Shahrum Basiron (dram) dan Md Shah Othman (keyboard) itu akan mengheret penonton ke suatu dimensi masa bersama lagu-lagu berjiwa besar mereka. 



Pun begitu. persoalannya kenapa konsert diberi nama 'Kembara Panorama Jingga : 1444 Hijrah' agaknya?

“Para peminat setia pasti tahu namun untuk sebuah kepastian dan ‘surprise’ yang lebih menyenangkan, penonton wajib datang ke konsert ini kelak,” jawab Shirazdeen Karim selaku Ketua Pengarah Eksekutif Shiraz Projects, memberikan ‘hint’ tentang sesuatu yang bakal terjadi di konsert itu kelak. 

Menurut Shirazdeen, sudah lama pihaknya mengimpikan untuk bekerjasama dengan kumpulan yang terkenal dengan lagu-lagu popular lain seperti 'Hati Emas' dan ‘Kepadamu Kekasih’ ini dan akhirnya bakal terlaksana juga pada Julai ini.

“Perbincangan dan perancangan konsert ini sudah bermula sebelum pandemik lagi tetapi kami akur dengan keadaan yang melanda. Untuk tahun ini, kami sangat bersemangat untuk membawakan lagu- lagu Kembara berkumandang di dewan berprestij iaitu Dewan Plenari. 

'Pastinya Kembara akan memberikan sebuah persembahan yang bertenaga dengan untaian lagu-lagu mereka yang cukup nostalgik dan ikonik untuk para pendengar,” tambah Shirazdeen yang lebih mesra disapa Shiraz.



Tiket-tiket berharga RM860 (Meet and Greet), RM460 (Diamond), RM360 (Platinum), RM260 (Gold), RM200 (Silver) dan RM160 (Bronze) akan mula dijual pada 2pm, 10 Jun 2022.

“Peminat-peminat Kembara juga boleh membeli T-shirt eksklusif apabila membeli tiket konsert dalam laman web www,myticket.asia," sambung Shiraz sambil berharap peminat Kembara khususnya dapat melepaskan kerinduan mereka selama ini.

Melihatkan sokongan yang diberikan kepada selebriti tanah air yang muncul dengan pelbagai konsert tahun 2022 ini, Shiraz yakin konsert terbaharu anjurannya ini memang ditunggu-tunggu. 

“Jadi, jangan lepaskan momen dan lakaran sejarah yang bakal tercipta kelak, tandakan kalendar anda dengan konsert hebat ini,” tambah Shiraz sambil memberitahu 'Konsert Kembara Panorama Jingga: 1444 Hijrah' cuma akan tampil untuk satu malam sahaja.

Melahirkan penghargaan kepada  PENJANA, KKMM dan MyCreative, Shiraz akui agak sukar untuk melaksanakan konsert dalam skala besar pada kala industri baru beransur pulih dari pandemik COVID-19 tanpa kerjasama dan sokongan tiga pihak terbabit. - KitaReporters


M. Nasir bersama Shiraz.

5
10
0
12
0
You will be interested