Seni & Sukan 12 Jun, 2022

Video| Stadium Nasional bergema, gegak gempita! Tapi sayang Harimau Malaya kecundang! Ayuh bangkit!

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this

Tifo ciptaan Ultras Malaya sebagai tanda sokongan kepada pasukan Malaysia pada perlawanan menentang Bahrain di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu, 11 Jun, 2022. - Kredit foto: Rodly Fadly.


SUDAH lama penulis tidak menjejakkan kaki ke stadium untuk menyaksikan perlawanan bola sepak. Kali terakhir adalah dua puluh tahun lalu, tepatnya pada 25 Mei, 2002, untuk menonton perlawanan persahabatan antara Malaysia menentang Brazil di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Brazil yang ketika itu dalam persiapan menghadapi Piala Dunia 2002 dibarisi bintang-bintang seperti Ronaldo, Ronaldinho, Roberto Carlos, Rivaldo dan Kaka jelas berada pada kelas tersendiri apabila mengalahkan Malaysia 4-0. Itu cerita 20 tahun lalu. 


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Stadium Nasional Bukit Jalil

Perdana Menteri, Ismail Sabri turut hadir memberi sokongan kepada skuad Harimau Malaya. - Kredit foto: FAM.


Pada Sabtu, 11 Jun, 2022, buat pertama kali selepas 20 tahun, penulis berkunjung semula di SNBJ, untuk sama-sama memberi sokongan kepada Harimau Malaya yang turun menentang Bahrain pada perlawanan Kumpulan E, Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023. 

Seawal pukul 6:30 petang penulis bersama dua rakan serta puluhan ribu penyokong sudah berada di depan SNBJ walaupun perlawanan hanya bermula pada 9:00 malam. 

Meskipun ketika itu hujan turun dengan lebatnya, namun ia tidak menjadi halangan kepada kami. Masing-masing berada dalam keadaan basah kuyup, kesejukan namun semangat tetap membara.


Nyanyian lagu 'Inilah Barisan Kita' bergema di seluruh pelusuk Stadium Nasional Bukit Jalil dan menaikkan semangat patriotik penyokong dan pemain. - Kredit video: Rodly Fadly.


Ternyata apabila melangkah masuk ke dalam stadium, penulis dapat merasai auranya. Setiap sudut stadium dipenuhi penyokong, mereka bersorak, menyanyi, bertepuk tangan, dipimpin oleh sekumpulan penyokong yang menamakan diri mereka Ultras Malaya sehingga bergema seluruh stadium. Seramai 63,925 penonton hadir menyaksikan perlawanan itu.

Gema pekikan seperti ‘Malaysia’, disusuli dengan lagu ‘Inilah Barisan Kita’ yang membelah seluruh genap stadium meresap masuk ke sanubari, membangkitkan semangat patriotik penulis sehingga tanpa sedar penulis turut sama menyanyikan lagu itu dengan nyaring.

Bila lagu kebangsaan, ‘Negaraku’ dimainkan, penonton dengan bangga berdiri serta turut menyanyi dengan bersemangat.

Sambil itu penulis tidak lupa merakam video dan gambar lalu terus dikongsikan dengan saudara-mara serta sahabat-handai. Begitulah keterujaan penulis, sesuatu yang sudah lama tidak penulis nikmati. Tiba-tiba semangat bola sepak yang selama ini seolah-olah sudah mati kembali hidup dalam jiwa penulis. 

Itulah penangannya bila kita berada dalam lautan puluhan ribu manusia di stadium berbanding menonton perlawanan melalui kaca televisyen. Auranya ternyata berbeza.



Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang turut hadir memberi sokongan, sudah pasti bangga dengan apa yang dilihatnya pada malam itu apabila ‘Keluarga Malaysia’ yang menjadi aspirasi beliau diterjermahkan oleh puluhan ribu penyokong. Ternyata sukan, khususnya bola sepak berjaya menyatupadukan rakyat tanpa mengira perbezaan kaum, agama dan budaya! 

Sepanjang perlawanan, penyokong tidak putus-putus memberi sokongan walaupun pada ketika Malaysia sedang ketinggalan. Malah, mereka tidak berganjak, menunggu sehingga wisel penamat ditiupkan oleh pengadil, Sadullo Gulmurodi dari Tajikistan sebelum bangun dari tempat duduk masing-masing.


Penyokong melaungkan sorakan semangat kepada pasukan Harimau Malaya sepanjang perlawanan menentang Bahrain yang berkesudahan Malaysia tewas 1-2. - Kredit video: Rodly Fadly.


Sebagaimana kita maklum, Malaysia akhirnya tewas 1-2 kepada Bahrain. 

Pada perlawanan itu Malaysia mendahului melalui jaringan Mohamadou Sumareh pada minit ke-54 sebelum dibalas oleh lawan menerusi Ali Abdula Haram. Kesilapan penjaga gol, Farizal Marlias menjatuhkan Ali Jaafar Madan dalam petak penalti membawa padah apabila Abdulla Yusuf Helal mudah menyempurnakan tendangan penalti yang diberikan kepada mereka.

Namun sesuatu yang dapat penulis lihat ialah semangat penyokong-penyokong Harimau Malaya tidak luntur dek kekalahan itu. Ya, mereka sedikit kecewa terutama bila kita tewas kerana kesilapan sendiri namun mereka tetap berbangga dengan pasukan pimpinan Pan-gon.

Malah sudah pasti kebanyakan mereka akan kembali ke SNBJ pada Selasa, 14 Jun, 2022 ini untuk terus memberi sokongan apabila Malaysia turun menentang Bangladesh pada perlawanan terakhir kelayakan ini bagi menentukan sama ada kita layak ke Piala Asia 2023 atau sebaliknya. 

Ayuh Harimau Malaya, bangkit! - KitaReporters


Pemain-pemain Malaysia jelas kecewa dengan kekalahan 1-2 kepada Bahrain namun penyokong terus memberi sokongan kepada mereka. - Kredit foto: FAM

 

 

14
15
0
8
0
You will be interested