Seni & Sukan 02 Jun, 2021

Filem francais Mamat Khalid meletup lagi! Kampong Pisang Musikal Raya raih RM1j dalam 4 hari!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this


BUAH tangan terbaharu penerbit dan pengarah prolifik, Mamat Khalid bersama filem francaisnya ‘Kampong Pisang' sekali lagi mencipta kejayaan apabila 'Kampong Pisang Musikal Raya Istimewa’ kutip melebihi RM1 juta dalam tempoh 4 hari sejak ditayangkan dalam Astro First pada 27 Mei 2021 lalu.

Walau bagaimanapun, pencapaian itu kurang sehari daripada kutipan sama yang diperoleh filem terdahulu ’18 Puasa Di Kampong Pisang’ apabila ia meraih RM1 juta dalam masa tiga hari tayangan sahaja.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Mamat Khalid


Filem terbitan Astro Shaw dan produksi Enjit-Enjit Semut ini seperti biasa mendapat respons memuaskan daripada penonton yang mengakui setiap karya arahan Mamat atau nama sebenarnya, Mohamad Mohamad Khalid tidak pernah mengecewakan.

Rata-rata komen yang dikongsi netizen dalam laman sosial memuji filem muzikal yang ditampilkan dapat menyerikan ‘mood’ raya dan pelbagai lagilah reaksi penonton.

Ada yang kata, jenaka yang dipersembahkan mampu membawa penonton lari seketika daripada tekanan dan kebosanan berdepan tempoh PKP gara-gara pandemik COVID-19 ini.

Kecuali penyanyi rock, Dato Awie yang kembali sebagai teraju utama, penonton tidak menyangka barisan pelakon lain seperti Bell Ngasri, Mat London, Nazeera Sardi dan Dewa Sapri mempunyai bakat dalam nyanyian.

Tambahan pula adanya watak-watak baru yang ditampilkan oleh pelakon dan penyanyi Kaka Azraff, Siti Elizad Sharifuddin, Raja Azmi serta Imuda menambahkan lagi ‘perisa’ pada filem muzikal ini.



Lebih menarik apabila 10 buah lagu yang popular dan ‘evergreen’ seperti antaranya ‘Selamat Hari Raya’, ’Cahaya Di Aidilfitri’, ‘Halaman Asmara’, ‘Belaian Jiwa’, ‘Kekasih Awal dan Akhir’ mampu menyingkap nostalgia berhari raya di kampong halaman.

“Saya mahu mengembalikan memori lebaran di kampong memandangkan tahun ini juga negara menyambut Aidilfitri dalam Perintah Kawalan Pergerakan,” ujar Mamat Khalid berhubung karya terbaharunya itu.



Melahirkan penghargaannya kepada Astro Shaw yang sentiasa meletakkan kepercayaan kepadanya untuk mengetengahkan karya-karya yang dihasilkan Mamat tidak lupa mengucapkan jutaan terima kasih kepada penonton serta barisan pelakon, kru dan semua yang terlibat di atas hasil usaha kerasnya dalam menjayakan ‘Kampong Pisang Muzikal Raya Istimewa’.

“Sokongan padu daripada semua pihak ini menjadi penyuntik semangat untuk saya terus menghasilkan lebih banyak karya-karya berbeza dan menarik. Insyallah, nantikan pada masa akan datang, ” tambah Mamat.



'Kampong Pisang Musikal Raya Istimewa' mengisahkan seluruh penduduk Kampong Pisang bersama-sama mengerjakan aktiviti masak-masak pada sehari sebelum raya. 

Husin kembali ke kampung bersama kekasih baru Nelly sehingga Cik Chun cemburu dan merajuk kerana cintanya ditolak. Manakala Barkoba dikejutkan dengan kehadiran bekas kekasih yang pernah tinggalkannya dahulu kerana berkahwin dengan lelaki berpangkat pengurus kilang. 

Pak Din pula sedih kerana anaknya tiba-tiba tidak dapat pulang ke kampung untuk beraya bersamanya. Cik Purnama membawa beg pakaian dan tilam ke mana-mana kerana kesunyian. 

Pak Karim dan Kak Som hiba kerana ini kali pertama beraya tanpa anak mereka yang telah tiada. Serta Daud M yang perlu bekerja di malam raya bagi penghantaran barang-barang buat penduduk kampong Pisang yang membeli barang dalam talian. 


Awie dan Kaka akan membawa lagu 'Halaman Asmara' nyanyian asal Awie dan Ziana dalam filem 'Kampong Pisang Muzikal Raya' ini.


Seperti biasa, jika anda masih belum berpeluang menontonnya, boleh sahaja melanggannya sekarang apatah lagi bagi mengisi masa lapang di rumah dalam tempoh PKP gelombang ketiga ini.

Menyaksikannya dalam Pawagam di Rumah sendiri melalui saluran 480 dengan hanya membayar RM15, anda boleh menontonnya berulang kali selama 48 jam sehingga puas bergelak ketawa tak gitu? Yang malas menghadap peti televisyen boleh melayannya dalam Astro Go atau On Demand. 

Mampukah ‘Kampong Pisang Muzikal Raya Istimewa’ mencapai kutipan melebihi RM5 juta dalam tempoh tujuh minggu yang diraih oleh filem terdahulu, ’18 Puasa Di Kampong Pisang’?

Kita tunggu laporannya kelak ya. - KitaReporters


1
0
0
0
0
You will be interested