Seni & Sukan 23 Aug, 2021

Selamat Hari Kemerdekaan! Mari Keluarga Malaysia, Kita Teguh Bersama! Ganding artis lama, baharu!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this


HANYA tinggal beberapa hari lagi, semua "Keluarga Malaysia" berbilang kaum akan menyambut Hari Kebangsaan (Hari Kemerdekaan) yang ke-64 pada 31 Ogos 2021. 

Dan seperti tahun lalu, semangat kemerdekaan masih tidak dapat diraikan secara besar-besaran sebagaimana 62 tahun lalu tetapi sekadar dimeriahkan sederhana mengikut norma baharu.

Pun begitu, yang pasti setiap kali bulan kemerdekaan menjelma, halwa telinga setiap daripada kita juga tidak akan terlepas mendengar alunan lagu Allahyarham Dato Sudirman Arshad, ’31 Ogos’ bahkan lirik lagunya ‘ tanggal 31 bulan lapan lima puluh tujuh’ terngiang-ngiang’ pada telinga semua apatah lagi sering dimainkan stesen radio tempatan.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Hari Kemerdekaan


Tidak syak lagi sampai bila pun lagu itu tidak akan luput ditelan zaman, namun kini dengan perubahan iklim dan trend, lambakan penyanyi daripada generasi muda, banyak lagu berunsur patriotik dicipta oleh mereka.

Terbaharu, bagi menyemarakkan bulan kemerdekaan dalam tempoh norma baharu, syarikat rakaman Rocketfuel Records mengorak langkah menggabungkan artis lama dan baharu dalam sebuah single khas sempena merdeka berjudul ‘Kita Teguh Bersama’.



Mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan dan SOP yang ditetapkan, projek khas tersebut disempurnakan oleh barisan artis popular seperti Hael Husaini, Masya Masyitah, Lil J dan Abigail dengan penampilan istimewa Dayang Nurfaizah.

Walau pun  terpaksa menjalani rakaman dari rumah tetapi terbukti mereka mampu  melaksanakannya demi memperjuangksn semangat sambutan Hari Kemerdekaan.

Pasangan duet yang tidak asing lagi, pernah merangkul pemenang kategori Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Anugerah Bintang Popular Berita Harian Ke-32, Hael Husaini dan Dayang Nurfaizah meluahkan keterujaan mereka dapat berkolaborasi lagi dalam sebuah lagu. 



“Sungguh pun kami sering bekerjasama, namun masih terdapat cabaran bagi menyiapkan projek ini seperti proses rakaman vokal dan video dari rumah dengan kualiti rakaman yang berbeza.

"Tetapi dengan bantuan daripada team Rocketfuel, Alhamdulillah kesemuanya berjalan dengan lancar”, ulas Hael sambil bersetuju dengan pendapat Dayang bahawa menyanyikan lagu ‘Kita Teguh Bersama’ merupakan satu pengalaman yang berharga.

Turut melahirkan perasaan sama, Juara Yippie Start Quest 2020, Masya Masyitah memberitahu, biar pun projek berkenasn harus disiapkan dengan norma baharu apabila segalanya dilaksanakan di rumah sendiri namun ia bukan penghalang untuk memberikan yang terbaik.


Artis rap muda asal Subang Jaya, Lil J, akui projek kali ini ada kelainannya tersendiri kerana lari dari kebiasaan di mana beliau diberi peluang untuk menyanyikannya dalam Bahasa Melayu dan juga Tamil.

“Saya mengambil masa hanya sehari untuk menyempurnakan bahagian saya kerana kami semua difahamkan mempunyai masa yang singkat bagi projek ini, namun ia bukanlah alasan buat saya menghasilkannya secara ala kadar, saya juga harus menjaga kualiti  dan memberikan yang terbaik. Tambahan pula, barisan artis yang terlibat dalam projek ini pun bukanlah biasa-biasa,” katanya.

Dan bagi pendatang baharu, Abigail, peluang yang diberikan diharap mampu menonjolkan bakat nyanyiannya.

“Saya bangga dapat menjayakan projek ini bersama dengan artis-artis berpengalaman yang lain dan saya juga amat berterima kasih kepada pihak pengurusan Rocketfuel kerana terus memberi kepercayaan walaupun saya masih baharu dalam industri muzik, terima kasih buat rakan artis yang lain kerana tidak jemu memberikan kata-kata semangat dan tunjuk ajar kepada saya,” ujar Abigail jujur.



Secara tuntasnya, kesemua artis yang terlibat dalam projek ini berharap lagu 'Kita Teguh Bersama', dapat menaikkan semangat seluruh rakyat Malaysia dalam menghadapi apa jua yang mendatang dan terus bersemangat dalam menyambut Hari Kemerdekaan tanah air tercinta. 

Ukhwah yang terjalin sekian lama dan dikecapi melalui kemerdekaan hendaklah terus dipupuk walaupun tidak dapat diraikan secara meriah seperti tahun-tahun sebelum ini kerana mengambil kira keselamatan dan situasi pandemik COVID-19 yang masih belum pulih sepenuhnya.  

“Semoga lagu ini mendapat tempat di hati setiap pendengar serta memberi semangat buat semua rakyat Malaysia dan dapat meraikan hari bersejarah bersama keluarga tersayang.  Semoga terus tabah menghadapi dugaan COVID-19,” sambung Ketua Rocketfuel Entertainment, Feros Sayna.

Lirik video Lagu ‘Kita Teguh Bersama’ boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Rocketfuel Network. 

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan! - KitaReporters

0
0
0
0
0
You will be interested