Seni & Sukan 15 Nov, 2021

Mukhairi miliki pakej lengkap! Hebat, berkarisma! Bakal Kapten Harimau Malaya - Abu Bakar Fadzim

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this

Mukhairi Ajmal kian menyerlah bersama Selangor FC. - Kredit foto: Selangor FC 


Nama kelab Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) sudah hilang dari peta liga bola sepak Malaysia ekoran penjenamaan semula sebagai Perak II dan berstatus kelab sokongan (feeder club) kepada Perak FC namun nama itu pasti akan kekal dalam hati pemain muda Selangor FC, Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi.

Ini kerana kelab kerdil itulah yang memberi peluang kepada Mukhairi Ajmal memperagakan bakat serta kebolehan pada 2019 sehingga memikat pasukan gergasi, Selangor FC untuk menyuntingnya.

Sejak menyertai The Red Giants pada 2020, kemampuan Mukhairi Ajmal makin terserlah sehingga diberi lilitan lengan sebagai kapten skuad Bawah 22 Tahun yang berjaya menempah tiket ke pusingan akhir Piala Asia 2022 Bawah 23 Tahun.

Pemain yang genap berusia 20 tahun pada 7 November, 2021 juga turut mendapat panggilan pertama menyertai skuad Harimau Malaya untuk dua aksi persahabatan menentang Jordan dan Uzbekistan di Amman, Jordan pada Oktober 2021 lalu.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan skuad B22 Tahun

Abu Bakar, jurulatih yang berjaya mengesan serta menggilap bakat Mukhairi Ajmal ketika bersama PKNP pada 2019. - Kredit foto: PKNP.


Perkembangan Mukhairi Ajmal jelas turut menggembirakan Abu Bakar Fadzim, bekas jurulatih PKNP yang bertanggungjawab mengilap bakat pemain itu ketika bersama kelab berkenaan.

Tanpa niat mengambil kredit atau mendabik dada, Abu Bakar berkata, beliau mengesan bakat luar biasa pemain kelahiran Sungai Lembing, Pahang itu ketika dia menyertai skuad Piala Presiden PKNP pada 2019.

“Skuad utama PKNP sentiasa menjadi rakan sepelatih skuad Piala Presiden. Ketika itulah saya mula terpikat dengan bakat Mukhairi yang baru menyertai skuad remaja PKNP selepas menamatkan pelajaran di Sekolah Sukan Tengku Mahkota Ismail (SSTMI), Johor.

“Sebagai pemain tengah, dia memiliki pakej lengkap kerana mempunyai kawalan bola yang baik, visi yang tinggi, kepantasan serta mampu menjaringkan gol.

“Satu perkara lagi yang membuatkan saya terpikat dengan Muhairi adalah keberaniannya bersaing dengan pemain yang lebih senior. Walaupun ketika itu baru berusia 18 tahun, namun dia mempunyai hati yang besar dan kelihatan cukup matang dalam permainannya.


Mukhairi Ajmal menunjukkan kematangan walaupun baru berusia 18 tahun ketika mewakili PKNP.


“Atas faktor itu, saya terus menyerapkan dia dalam skuad utama PKNP untuk pertandingan Piala Malaysia pada tahun itu dan memberi peluang dia bermain dalam semua perlawanan. 

“Walaupun kami akhirnya dikalahkan Kedah (agregat 5-2) pada peringkat suku akhir, namun Mukhairi membuka mata banyak pihak malah dia menjaringkan satu gol dalam perlawanan di Alor Setar. 

“Saya ada terbaca melalui media sosial, selepas perlawanan itu, penyokong-penyokong meminta Kedah supaya segera menandatangani Mukhairi untuk musim 2020 tapi akhirnya Selangor yang lebih cepat mendapatkannya,” ujar Abu Bakar.

Mukhairi diserap dalam skuad Selangor II pada 2020 namun musim ini (2021), jurulatih kelahiran Jerman, Karsten Neitzel yang membimbing Selangor FC menyerapkan pemain itu ke dalam skuad utama.

Bagi Abu Bakar, Mukhairi membuat pilihan yang tepat dengan menyertai Selangor apatah lagi ia bersesuaian dengan polisi pasukan itu yang berani memberi peluang kepada pemain-pemain muda. 

Walaupun belum mendapat tempat dalam kesebelasan utama namun pendedahan yang diperolehi bersama The Red Giants sepanjang musim ini makin mematangkan permainan Mukhairi Ajmal.


Pendedahan bersama Selangor makin mematangkan permainan Mukhairi Ajmal. - Kredit foto: Selangor FC


Malah kepercayaan yang diberikan oleh jurulatih skuad Bawah 22 Tahun negara, Brad Maloney dengan melantik Mukhairi sebagai ketua pasukan membuktikan pemain itu turut memiliki kualiti kepemimpinan yang tinggi.

“Saya tidak terkejut apabila Maloney melantik Mukahiri sebagai kapten kerana dia memang memiliki ciri-ciri yang diperlukan oleh seorang ketua pasukan. Dia mampu memimpin pasukan di dalam padang melalui permainannya juga kesungguhannya.

“Saya melihat Mukhairi bukan sahaja sebagai bintang masa depan, malah bakal menjadi ketua pasukan skuad Harimau Malaya pada suatu hari nanti. Dia mempunyai kualiti itu.

“Cuma, saya berharap, Mukhairi dapat mengekalkan sikap rendah dirinya, juga terus bekerja keras kerana ini baru permulaan kariernya. Perjalanan masih jauh dan lebih mencabar,” kata Abu Bakar. - KitaReporters


Mukhairi Ajmal bersaing dengan pemain Thailand, Korrawich Tasa pada aksi kelayakan Piala Asia 2022 Bawah 23 Tahun di Mongolia, 31 Oktober 2021.

16
9
0
9
0
You will be interested