Seni & Sukan 30 Nov, 2021

Final Piala Malaysia: JDT boleh menang! KL City boleh buat kejutan! - Khalid Jamlus, Ahmad Yusof

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this

Milik siapa? Ketua pasukan JDT, Farizal Marlias dan pemain berpengalaman KL City, Shukor Adan memperagakan Piala Malaysia yang akan menjadi rebutan kedua-dua pasukan. Turut bersama adalah jurulatih, Benjamin Mora dan Bojan Hodak. - Kredit foto: MFL


Di ATAS kertas, Johor Darul Ta’zim (JDT) adalah pilihan untuk muncul juara pada final Piala Malaysia edisi ke-100 yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa, 30 November, 2021.

Malah, bekas penyerang skuad Kuala Lumpur yang muncul juara secara hatrik pada 1987, 1988 dan 1989, Subadron Aziz, dengan yakin berkata tiada alasan untuk JDT gagal dalam perlawanan akhir itu.

Tapi, perhitungan di atas padang mungkin berbeza kerana lawannya, Kuala Lumpur City FC (KL City FC) bukan 'budak-budak sekolah' yang boleh diperkotak-katikkan. Jangan pandang mereka sebelah mata!

Tatkala ramai menjangkakan JDT tidak berdepan masalah untuk mempertahankan kejuaraan yang mereka menangi pada 2019 lalu, bekas penyerang kebangsaan, Khalid Jamlus pula tidak menolak elemen kejutan boleh berlaku.


Lagi kisah menarik verkaitan Piala Malaysia


Khalid Jamlus


Ya, kata Khalid, secara logik, tidak ada sebab untuk menidakkan kemampuan JDT kerana ia adalah pasukan serba lengkap bukan sahaja daripada barisan pemain malah merangkumi semua aspek yang diperlukan oleh sebuah organisasi bola sepak profesional.

“Kalau kita buat perbandingan pemain secara individu, memang JDT memiliki kelebihan tapi saya tak jangka KL akan menyerah dengan mudah. Ia tidak akan menjadi perlawanan berat sebelah sebaliknya 50-50.

“Kena ingat, Bojan Hodak pernah menjadi jurulatih JDT. Walaupun sekejap dan dah lama tapi sedikit sebanyak beliau faham bagaimana mahu berdepan pasukan itu. Hodak sendiri bukan calang-calang, seorang jurulatih yang bijak mencatur taktikal.

“Malah, dengan semangat untuk menjulang Piala Malaysia, tidak mustahil KL mampu lakukan kejutan ke atas JDT,” katanya. 

Khalid melihat kapten KL City, Paulo Josue akan menjadi watak dan senjata utama Hodak dalam merealisasi perancangannya di atas padang.

“Inilah arkitek KL yang akan menentukan jatuh bangun pasukan itu. Jika dia (Josue) gagal berfungsi dengan baik, maka rosaklah rancangan Hodak,” ujar Khalid.


Paulo Josue (merah) dianggap sebagai arkitek KL City untuk merealisasikan perancangan Bojan Hodak. - Kredit foto: MFL


Ahmad Yusof pilih KL City untuk menjulang Piala Malaysia 2021.


Bagi bekas pemain kebangsaan, Ahmad Yusof, beliau sememangnya mahu melihat KL City menjuarai Piala Malaysia kali ini kerana ia akan mencetuskan suasana yang berbeza.

“Kalau JDT menang, ia dianggap biasa tapi kalau KL juara, sudah tentu perlawanan ini akan dikenang apatah lagi dah 32 tahun KL tak masuk final. Auranya pasti lebih terasa. Malah, berdasarkan prestasi KL musim ini, tidak mustahil mereka mampu melakukan kejutan ke atas JDT,” kata Ahmad. 

Menurut Ahmad, kekuatan utama pasukan warga kota itu adalah pertahanan yang mantap serta serangan balas yang pantas serta kebijaksanaan memanfaat peluang daripada situasi bola mati. 

“Ini adalah tiga elemen yang menjadi senjata mereka. Bojan Hodak pun bukan jurulatih sembarangan, beliau sangat faham bagaimana mahu menghadapi JDT.

“Di atas kertas, ya JDT adalah pilihan tapi saya memilih KL untuk menang. Tidak banyak jaringan, hanya 1-0,” ujar bekas pemain tengah yang pernah menyarung jersi Pulau Pinang dan Pahang itu.


Pasukan JDT sedang menjalani latihan menjelang aksi final Piala Malaysia pada Selasa, 30 November, 2021. - Kredit foto: MFL


Subadron Aziz tidak ragu-ragu untuk memilih JDT muncul juara.


Sementara itu, Subadron tidak ragu-ragu untuk memilih JDT muncul juara walaupun hakikatnya, sebagai bekas pemain Kuala Lumpur, beliau berharap City Boys yang menjulang piala berprestij itu.

“Kita kena berpijak di bumi nyata. Impian dan kenyataan adalah dua perkara berbeza. Kita boleh bermimpi tapi itu bukanlah realitinya.

“Bagi saya, dengan segala fasiliti dimiliki serta wang yang sudah dibelanjakan untuk membawa pemain-pemain terbaik menyertai mereka, JDT tidak ada alasan untuk kalah!

“Tak perlu untuk saya ulas panjang-panjang kerana saya rasa semua orang sedar akan hakikat ini. Walau bagaimanapun, kita tetap mengharapkan satu perlawanan yang menarik kerana ini adalah final,” kata Subadron. - KitaReporters


Kuala Lumpur gigih menjalani latihan bagi menghadapi JDT pada final Piala Malaysia. Kredit foto: MFL

25
19
0
15
1
You will be interested