Seni & Sukan 18 Nov, 2021

Posisi penjaga gol Harimau Malaya: Ayie datang! Pintas senior ke Piala AFF! Jaga-jaga Apek, Yan!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

AZRI Ab. Ghani (kiri) kebal membantu B22 Malaysia layak ke Piala Asia B23 dengan menjuarai Kumpulan J kelayakan di Mongolia. - Kredit foto: FAM 


DIA kebal tanpa dibolosi Laos, Mongolia dan Thailand sepanjang Kelayakan Piala Asia Bawah 23 Tahun AFC di Mongolia pada Oktober 2021 lalu.

Kekentalannya di antara dua tiang gol 2.44 meter x 7.32 meter itu, turut melayakkan Malaysia ke pusingan akhir Piala Asia B23 di Uzbekistan, Jun 2022. 

Baru berusia 22 tahun tetapi penjaga gol Perak FC ini sudah berjaya menambat hati Tan Cheng Hoe.

Satu kejutan apabila Azri Ab Ghani disenaraikan antara 28 pemain oleh ketua jurulatih Harimau Malaya itu bagi menghadapi Piala AFF 2020 (2021) di Singapura dari 5 Disember 2021 hingga 1 Januari 2022. 


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Harimau Malaya

AYIE (1) menangkap kemas bola untuk mematahkan asakan Mongolia di depan gawang Malaysia. - Kredit foto: FAM


"Dia menunjukkan prestasi yang bagus di Mongolia. Selepas mendapat makluman jurulatih skuad B22 negara, saya rasa kami patut berikannya peluang membuktikan kemampuan dengan Harimau Malaya pula. 

"Namun dia sebenarnya sudah dipantau oleh FAM sejak bersama skuad Bawah 19 Tahun kebangsaan bimbingan Bojan Hodak lagi," kata Cheng Hoe ketika mengumumkan senarai 28 pemain ke kem latihan pusat mulai 22 November 2021.

Khairulazhan Khalid atau Yan (Selangor FC) dan Khairul Fahmi Che Mat yang digelar Apek (Melaka United FC), menjadi dua lagi 'benteng akhir' negara pilihan Cheng Hoe kali ini.

Biarpun pemilihan pemain negara masih merupakan hak dan budi bicara ketua jurulatih, Azri seolah-olah mengetepikan penjaga gol yang jauh lebih senior seperti Farizal Marlias dari Johor Darul Ta'zim (JDT) FC.

Pesaing lain termasuk Samuel Somerville dan Kalamullah Al-Hafiz Md. Rowi yang pernah menyertai pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai (Jun 2021) dan siri persahabatan di Amman (Oktober 2021).


KHAIRULAZHAN Khalid atau Yan, menjadi pilihan utama ketika menentang Thailand dalam kelayakan di Dubai dan persahabatan menentang Jordan di Amman. - Kredit foto: FAM


Ayie (julukannya) masih mempunyai peluang untuk cepat menyesuaikan diri dengan rakan lebih senior kerana tarikh pemain mula melapor diri diatur oleh FAM secara beransur-ansur, 22 dan 28 November serta 1 Disember 2021. 

Kebanyakan tonggak Harimau Malaya masih bersama kelab-kelab yang bersaing dalam suku akhir kedua dan menghampiri separuh akhir pertama Piala Malaysia 2021 sedangkan Perak FC sudah terkandas lebih awal.

“Ada pemain-pemain JDT FC melalui musim yang agak panjang selepas Kelayakan Piala Dunia/Asia, Liga Juara AFC, Liga Super dan Piala Malaysia sehingga tiada rehat dan seperti terlebih diguna.

“Jadi kami cuba beri peluang kepada pemain-pemain lain supaya dapat kumpulan yang besar pada pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia (Jun 2022),” kata Cheng Hoe, mengulas ketiadaan nama Farizal.


TAN Cheng Hoe (kanan) dan Khairul Fahmi Che Mat atau Apek yang dibolosi Uzbekistan lima kali pada 9 Oktober 2021. - Kredit foto: FAM


KALAMULLAH Al-Hafiz Md. Rowi, penjaga gol PJ City FC yang belum sempat mengecapi penampilan antarabangsa walaupun ke Amman. - Kredit foto: FAM 


Namun Kalamullah, pemain PJ City FC yang tidak sempat diturunkan menentang Jordan dan Uzbekistan di Amman, diletakkan dalam senarai menunggu dan berpeluang ke Piala AFF sekiranya kecederaan atau penyakit melanda mahupun hal peribadi melanda mana-mana penjaga gol itu.

Sebagai contoh kepada pemain-pemain yang junior seperti Ayie kata Cheng Hoe, pasukan negara masih memerlukan seorang pemimpin padang yang sebagus Aidil Zafuan Abd. Radzak. 

Bek tengah yang mula menyarung 'belang Harimau Malaya' sejak 2007 itu, telah membuktikan kemampuannya sebagai kapten ketika di Amman. - KitaReporters


FARIZAL Marlias (1) dikhuatiri terlalu penat buat Harimau Malaya kerana kerap diturunkan oleh JDT FC. - Kredit foto: FAM 


SKUAD PELATIH PIALA AFF 2020 (2021)

Penjaga gol: Khairul Fahmi Che Mat (Melaka United FC), Khairulazhan Khalid (Selangor FC), Azri Ab. Ghani (Perak FC).

Benteng: Aidil Zafuan Abd. Radzak, Shahrul Saad (JDT FC), Rizal Ghazali, Ariff Farhan Md. Isa (KDA FC), Syahmi Safari (Selangor FC), Arif Fadzilah Abu Bakar (Terengganu FC), Quentin Cheng Jiun-Ho (Penang FC), Junior Eldstal (Chonburi FC, Thailand), Dominic Tan (Police Tero FC, Thailand), Dion-Johan Cools (FC Midtjylland, Denmark).

Perantara: Baddrol Bakhtiar, Fayadh Zulkifli Amin (KDA FC), Mukhairi Ajmal Mahadi (Selangor FC), Akram Mahinan, D. Kenny Pallraj (KL City FC).

Sayap: Safawi Rasid, Akhyar Abdul Rashid, Mohamadou Sumareh (JDT FC), Faisal Abdul Halim (Terengganu FC).

Penyerang: Guilherme de Paula, Syafiq Ahmad (JDT FC), Darren Lok, Kogileswaran Raj Mohana Raj (PJ City FC), Shahrel Fikri Fauzi (Selangor FC), Luqman Hakim Shamsudin (KV Kortrijk, Belgium).

Senarai menunggu: Kalamullah Al-Hafiz Md. Rowi (PJ City FC), Rodney Celvin Akwensivie (KDA FC), Mohamad Hakimi Abdullah (Terengganu FC). Empat pemain akan digugurkan daripada senarai 28 orang ini, pada 2 Disember 2021.


AIDIL Zafuan Abd. Radzak (7) masih mendapat kepercayaan Tan Cheng Hoe biarpun kurang membarisi kesebelasan utama JDT FC sekarang. - Kredit foto: Jordan Football Association (JFA)

8
7
0
12
0
You will be interested