Seni & Sukan 02 May, 2022

Keluarga Malaysia: Syabas Jiran Wanita KRT Suadamai dan Linaco! Tak lupa mereka yang kesempitan!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this


DALAM kesibukan membuat persediaan menyambut Aidilfitri, Jiran Wanita (Jiranita) Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Suadamai Bandar Tun Hussein Onn (BTHO), Cheras, Selangor, tidak lupa jiran tetangga yang kesempitan.

Menyedari keadaan itu Jiranita terbabit menganjurkan Program Agihan Keperluan Barangan Asas Makanan kepada 50 keluarga berkenaan yang amat memerlukan bantuan bagi membuat persediaan menyambut Adifitri tahun ini.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Jiran Wanita (Jiranita)

Abd Rahim Mohamed menyerahkan sumbangan kepada wakil keluarga sambil diperhatikan Abdul Ghani.


Pengerusinya Adibah Sukir, berkata program itu sebagai meneruskan usaha Jiranita membantu keluarga yang terkesan apabila hilang sumber pendapatan dan pekerjaan berikutan pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak dua tahun lalu.

Menurutnya, ketika pandemik Covid-19 mula melanda negara usaha membantu keluarga yang terkesan hanya dilakukan pada peringkat sekolah menerusi maklumat yang dikumpul daripada murid-murid tetapi agihan persediaan menyambut Aidilfitri itu terus kepada keluarga terbabit.

Jelasnya, program agihan barangan keperluan dapur di samping barangan basah seperti ayam dan daging itu mewujudkan jalinan ukhuwah antara  jiran tetangga dan komuniti apabila masing-masing berkumpul di satu tempat di dewan KRT.


Antara Ahli Jawatankuasa Jiran Wanita yang terbabit menjayakan program itu merakam kenangan bersama Abdul Ghani (tiga dari kanan) dan Abdul Rahim Mohamed.


“Ini juga secara tidak langsung membukti kepada komuniti setempat bahawa kewujudan KRT di satu-satu tempat turut memainkan penting terutama membantu membina semangat kesedaran, kasih sayang sesama insan yang menjadi tuntutan dalam agama.

“Semangat kerjasama sesama tetangga dalam menangani apa jua masalah mendatang dalam konsep jiran prihatin juga mengukuhkan lagi ukhuwah persahabatan yang sudah wujud seperti menyantuni jiran tetangga kita dengan menghulurkan bantuan bagi menyambut hari lebaran,” katanya pada program agihan keperluan barangan asas makanan pada 29 April 2022 lalu.

Turut hadir bagi menyampaikan sumbangan itu Pengerusi KRT Suadamai BTHO, Prof Dato Dr Abd Rahim Mohamed dan bendaharinya, Dato Abdul Ghani Ahmad.


Pengerusi  Jiran Wanita (Jiranita) Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Suadamai, Bandar Tun Hussein Onn (BTHO), Cheras, Selangor, Adibah Sukir menunjukkan daging dan ayam yang diagihkan kepada keluarga kurang mampu di BTHO pada 29 April 2022 lalu.


Adibah berkata, dana bagi menjayakan program berkenaan diperoleh daripada sumbangan jiran tetangga yang menunjukkan keprihatinan serta mereka yang bukan penduduk tetapi menunjukkan jasa baik untuk menginfak membantu dalam kalangan keluarga miskin, asnaf, anak yatim dan ibu tunggal.

Tambahnya, sesetengah mereka yang menginfak itu sudah sedia maklum mengenai kredibiliti Jiranita dalam melaksanakan program bagi membela nasib keluarga komuniti yang ditimpa musibah dan memerlukan bantuan segera.


Aiman (kiri) melakukan gimik penyerahan sumbangan kepada Hamidi.


Sementara itu di Batu Pahat, Johor, Syarikat Linaco Manufacturing Sdn Bhd yang terletak di Kampung Kelicap, Senggarang, menginfakkan barangan keperluan asas seperti santan dan air kelapa asli kepada golongan sasaran B40 sekitar daerah berkenaan pada minggu lalu.

Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Bahagian  Batu Pahat, Johor, Hamidi Mat Tap, berkata sumbangan barangan itu disampaikan oleh Pegawai Unit Korporatnya, Aiman, dan sudah diagihkan kepada keluarga terbabit yang dikenal pasti terlebih dahulu biro berkenaan.

Menurutnya, syarikat berkenaan sentiasa memberi kerjasama kepada biro berkenaan dalam kerja amal kebajikan bagi meringankan bebanan golongan sasaran khusus dalam kalangan keluarga miskin, asnaf dan mereka terkesan pandemik Covid-19 bagi menyambut hari lebaran.

Tambah beliau, sebelum itu ahli biro berkenaan turut terbabit secara langsung membantu Tenaga Nasional Berhad (TNB) memasak lima periuk besar bubur lambuk untuk diagihkan kepada pelanggan TNB dan penduduk sekitar daerah itu.

“Lima ahli persatuan serta kesatuan dalam TNB turut terbabit menggembleng tenaga bagi memasak dan membungkus 1,500 bubur lambuk yang turut diedarkan ke beberapa kilang, masjid, surau serta pusat tahfiz sebagai berkongsi rezeki,” katanya. - KitaReporters


Ahli-ahli persatuan dan kesatuan TNB sertai Biro Kebajikan UMNO Bahagian Batu Pahat bergading bahu membungkus bubur lambuk yang siap dimasak.

38
18
1
8
0
You will be interested