Seni & Sukan 15 Dec, 2022

Jom belajar jawi! Asah kembali tulis jawi bersama Mawi Jawi! Saksikan gelagat selebriti tulis jawi!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

Segmen 'Geng Romantis' bersama pasangan suami isteri selebriti dikendalikan oleh Mawi dan isteri, Ekin.


SEJAK abad ke-14, tulisan jawi telah menjadi tulisan rasmi oleh nenek moyang kita berbanding abjad rumi yang wujud sejak kurun ke-17 sehingga sekarang. 

Namun dengan pembangunan pesat dan sistem pendidikan yang sering berubah, pengajian  Jawi seolah terpinggir apatah lagi apabila satu-satunya akhbar berbahasa Jawi iaitu ‘Utusan Melayu’ dihentikan penerbitannya pada 1 Januari 2003 dengan cetakan terakhirnya dikeluarkan sehari sebelumnya iaitu pada 31 Disember 2002. 

Tiada lagi bacaan akhbar tulisan jawi yang boleh dijadikan rujukan.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan tulisan jawi

Antara yang hadir pada sidang media secara maya.


Begitu pun, bagi mereka yang pernah mempelajari Jawi, mungkinkah masih fasih membaca atau menulis dengan lancar?

“Tulisan jawi saya dah tumpul lama..,” kata pelakon Yatt Hamzah manakala Amar Baharin dan isteri, Amyra Rosli pula berpendapat tulisan jawi mengenangkan kembali pada waktu persekolahan ketika belajar jawi dahulu dan perlu diketengahkan kembali.

Mereka berpendapat sedemikian ketika ditemui  pada sidang media program ‘Mawi Jawi’ secara maya, yang akan memulakan siarannya  pada setiap hari Khamis, jam 7.30 malam mulai 15 Disember 2022 secara eksklusif dalam saluran Astro Oasis (106) serta turut boleh distrim menerusi On Demand dalam Astro Box dan aplikasi Astro Go untuk pilihan yang fleksibel.

Amar Baharin dan Amyra Rosli antara tiga pasangan dalam segmen ‘Geng Romantis’ melibatkan pasangan selebriti suami isteri yang bersaing dengan Yana Samsudin dan suami, Fadzil Zahari serta  pasangan Ardell Aryana dan Nadzmi Adhwa di mana segmen ini dikendalikan Mawi bersama isterinya, Ekin

Manakala Yatt Hamzah berada dalam kumpulan Geng Usrah bersama pelakon Anita Baharom serta usahawan wanita, Aisyah Hijanah.



Seperti nama programnya sendiri, ‘Mawi Jawi’ yang dihoskan oleh juara Akademi Fantasi musim ketiga, Mawi bersama penyampai radio Zayan, Anas Tahir, terbitan MWE Sdn Bhd ini merupakan sebuah program berkonsepkan game show yang melibatkan barisan selebriti, influencers (pempengaruh) serta para asatizah dalam permainan-permainan yang menggunakan tulisan jawi sebagai medium. 


Masi dan Anas (kanan) bersama Geng Sukan terdiri daripada Razman Roslan (tengah), Muqlis Borhan (dua dari kiri) dan Azlan Mubin.


Turut hadir pada sidang media secara maya bersama Mawi dan Anas selain Yatt Hamzah, Amar Baharin dan Amyra Rosli terdiri daripada Fara Fauzana, Anita Baharom, pemain bola sepak, Razman Roslan serta pendakwah, Mohamad Amirul Amin atau PU Amin yang mengikutinya siaran maya melalui telefon bimbitnya secara langsung dari  bumi Mekah,

Menampilkan tiga tetamu jemputan setiap minggu yang diwakili oleh selebriti dan personaliti terkenal mengikut persamaan karier masing-masing sebagai peserta, setiap daripada mereka akan bermain dua pusingan permainan dalam jawi untuk meraih markah. 



Senarai penuh peserta yang bertanding mengikut kumpulan nama geng pada 8 episod kesemuanya.


Dalam pusingan pertama, para peserta akan mencari perkataan tersembunyi atau teka silang kata bergantung kepada episod. Mereka perlu mencari sebanyak perkataan yang mereka boleh dalam masa 80 saat secara serentak di Papan Word Search yang disediakan. 

Markah akan dikira dengan jumlah perkataan betul yang paling banyak dari setiap peserta manakala kumpulan markah daripada pusingan pertama akan dibawa ke permainan pusingan kedua di mana para peserta perlu menulis dalam jawi. 

Setiap peserta akan ditunjukkan sebaris ayat yang sama dalam rumi. Kemudian mereka akan mula menulis ayat yang diberikan dalam tulisan jawi. 

Mereka yang menulis perkataan jawi dengan betul akan mendapat markah yang lebih. Pada akhir permainan, peserta yang mendapat jumlah markah tertinggi akan dinobatkan sebagai pemenang. 



Menarik tak? Nak tahu artis mana yang kekok dalam penulisan jawi? Tentu gamat program ni kan?

Walau bagaimanapun, sekiranya para peserta mendapat jumlah markah yang sama pada akhir permainan, pemenang akan ditentukan dengan satu pusingan pantas di mana para peserta dikehendaki menulis perkataan yang diberikan oleh pengacara secara spontan dalam tulisan jawi dalam masa 30 saat sahaja. 

Peserta yang terpantas dan betul akan dipilih sebagai pemenang.


Nadirah Karim.


“Menerusi program ‘Mawi Jawi’ ini, kami berharap para penonton serta rakyat Malaysia mampu menerokai kehebatan dan keagungan tulis Jawi serta menjadikan kaedah permainan-permainan sebegini sebagai jalan untuk mendidik anak-anak muda dalam menguasai tulisan Jawi dalam kehidupan harian mereka,” ujar Nadirah Karim Pengurus Saluran Astro Oasis.

Menurut Nadirah, sebagai sebuah platform yang berkemampuan untuk memartabatkan dan mengangkat keagungan sesuatu bahasa, Astro Oasis mengambil peluang ini untuk mengembalikan kesempurnaan penggunaan tulisan Jawi dalam aktiviti harian setiap umat Islam dengan cara yang lebih mudah dan menyeronokkan. 

“Program ini juga menampilkan barisan selebriti dan personaliti ternama yang pelbagai karakter untuk melahirkan sedikit gelak tawa dan hiburan yang baharu di kaca televisyen,” akhiri Nadirah.

Jom, kita asahkan kembali bacaan dan tulisan Jawi yang seperti kata Yatt Hamzah dah lama tumpul kan? - KitaReporters


10
12
0
11
0
You will be interested