Seni & Sukan 28 Sep, 2022

Keluarga Malaysia berpakaian tradisional! Majlis penutupan program Sambutan Bulan Kemerdekaan SPiRa!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this


BERPAKAIAN tradisional berwarna-warni pelbagai bangsa serta kaum Keluarga Malaysia di beberapa negeri menjadi acara kemuncak majlis penutupan program Sambutan Bulan Kemerdekaan Sekolah Kebangsaan Pintas Raya (SKPR) atau SPiRa, Parit Raja, Batu Pahat, Johor yang diadakan pada 20 September 2022 lalu.

Majlis bertambah meriah dan ceria apabila bukan setakat murid-murid sahaja berpakaian tradisional itu tetapi juga membabitkan guru semua kelas yang beraksi santai dengan pelbagai gaya ibarat dalam satu Keluarga Malaysia.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pakaian tradisional

Murid SPiRa dari semua kelas turut memakai pakaian tradisional yang menambahkan lagi kemeriahan majlis penutupan program itu.


Guru Penolong Kanan 1 SPiRa, Anuar Ahmad, berkata program itu yang mula dilancarkan pada 15 Ogos 2022 itu bukan setakat untuk menghayati erti kemerdekaan negara malah ke arah memupuk semangat perpaduan kaum serta hidup dalam harmoni untuk disemaikan sejak di bangku sekolah rendah lagi seperti dihajati dalam asprasi Keluarga Malaysia.

Menurutnya, apabila saranan disyorkan kepada semua warga SPiRa supaya berpakaian tradisional pada majlis penutupan ia dipersetujui ramai serta mendapat sambutan mengalakkan kerana langkah itu mencerminkan kehidupan harmoni di Malaysia bagaikan satu keluarga.

“Usaha ini juga secara tidak langsung berjaya dalam memupuk semangat patriotism dalam kalangan murid dan guru SPiRa  serta meningkatkan kesedaran warga sekolah tentang konsep serta rentetan sejarah kemerdekaan Negara Malaysia di samping mengingati perjuangan pelbagai pihak yang berusaha gigih untuk meraih kemerdekaan. 


Seorang guru bersama murid yang memperagakan pakaian tradisional Melayu yang turut diadili dalam pertandingan yang diadakan.


“Selain berpakaian tradisional ini pelbagai pertandingan yang dianjurkan sepanjang program pada peringkat sekolah diharapkan dapat mencungkil bakat, potensi dan jati diri murid yang mungkin mampu untuk mengharumkan nama baik SPiRa ke peringkat yang lebih  tinggi,” katanya.

Anuar berkata, dengan berpakaian tradisional itu guru dan murid bergabung tenaga untuk menjayakan acara yang diadakan dengan gaya tersendiri dan secara tidak langsung menambahkan lagi kemeriahan majlis penutupan program berkenaan.

Jelasnya, paling penting usaha dilakukan SPiRa itu adalah bagi melahirkan murid yang cemerlang dalam kurikulum dan kokurikulum serta menyediakan bakal pemimpin yang bersedia dari aspek mental, fizikal dan emosi untuk memimpin masa depan negara.


Anuar Ahmad (tengah), bersama-sama sebahagian guru yang memakai pakaian tradisional pelbagai bangsa dan kaum dalam Majlis Penutupan Sambutan Bulan Kemerdekaan SPiRa pada 20 September 2022.


Menurut beliau, membentuk individu yang bertanggungjawab terhadap  diri, keluarga, masyarakat, bangsa, agama dan negara perlu dilakukan sejak sekolah rendah lagi kerana daripada itu dapat menyemai nilai-nilai murni kepada murid selaras dengan  tuntutan agama.

“Mencungkil bakat dan potensi murid juga selaras dengan aspirasi Keluarga Malaysia yang diuar-uarkan kerajaan supaya semua rakyat berasa bertanggungjawab melahirkan generasi masa depan yang cintakan negara supaya keamanan serta keharmonian dikecapi sekarang terus terpelihara,” katanya. - KitaReporters


Murid dari sebuah kelas SPiRa turut mempamirkan gaya tersendiri dalam pertandingan yang diadakan itu.


Sebuah lagi pasukan berpakaian tradisional dari kelas SPiRa turut menyahut cabaran.

20
15
0
16
0
You will be interested