
ZAIM Razali kembali mendapat tempat skuad negara bagi King's Cup setelah terlepas Piala Asia Astaf yang turut mempertanding acara kuadran dan berpasukan. - Kredit foto: RTC
APIT kiri negara, Zaim Razali yang tidak terpilih ke Piala Asia Astaf, Mei 2025 lalu, kembali mendapat kepercayaan untuk dipertaruh ke Kejohanan Sepak Takraw Dunia Istaf Piala Raja Thailand Ke-38 di Hatyai, Songkhla pada 22 hingga 27 Julai 2025 ini.
Jepun (julukannya) tersenarai bersama-sama tiga lagi pengumpan, Aidil Aiman Azwawi, Norfaizzul Razak dan Farhan Adam dalam skuad 12 pemain Malaysia yang akan menyertai acara berpasukan, kuadran (berempat) dan kuadran campuran kejohanan yang turut popular digelar ‘King’s Cup’ ini.

KHIDMAT perejam berpengalaman luas antarabangsa seperti Afifuddin Razali (14) amat ditagih Rimau Rejam pada King's Cup 2025 dan Sukan SEA Ke-33, Thailand. - Kredit foto: PSM
Senarai pemain yang diperoleh KitaReporters, turut membariskan Syahir Rosdi, Haziq Hairul Nizam, Zarif Marican Ibrahim Marican dan Zulkifli Razak sebagai tekong, manakala apit kanan atau perejam terdiri daripada Azlan Alias, Afifuddin Razali, Shahalril Aiman Halim dan Noraizat Nordin.
Kecuali Zaim, kesemuanya anggota skuad naib juara berpasukan dan beregu, juara regu dan kuadran Piala Asia Astaf di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur namun tiada tempat ke King’s Cup 2025 buat seorang lagi pengumpan senior, Amirul Zazwan Amir atau digelar Ayong.
Zaim, 29, turut beraksi pada King’s Cup 2024 di Korat yang menyaksikan Malaysia muncul naib juara berpasukan, menjuarai regu dan mara ke separuh akhir kuadran campuran yang juga penampilan akhirnya bersama pasukan kebangsaan.

NORAIZAT Nordin (kanan) bakal bertembung semula Tanaphon Sapyen (2) dalam King's Cup Ke-38 di Haytai setelah kecundang dalam final berpasukan dan beregu Piala Asia Astaf 2025. - Kredit foto: PSM
Barisan kali ini juga menampilkan Afifuddin, 33, yang membantu menjuarai kuadran Piala Asia pada 12 Mei 2025 lalu dengan menewaskan Jepun 15-8, 15-11 bersama-sama Shahalril atau digelar Abang, Norfaizzul (Uda) dan Ayong namun musuh tradisi, Thailand memilih untuk tidak menyertainya.
Perejam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kelahiran Kelantan ini hanya dipanggil menyertai Program Podium 2025 sejak Mac 2025 lalu setelah kali akhir membantu mengalungi Malaysia, dua pingat perak berpasukan dan antara regu Sukan Asia Hangzhou 2023.
Kehadiran dan pengalamannya begitu ditagih terutama dalam kuadran memandangkan Piala Dunia Istaf di Bihar, India merakamkan kegagalan mengejut gandingan Noraizat atau digelar Ijat, Abang, Aidil dan Ayong ke suku akhir apabila dijinakkan Vietnam 12-15, 5-15 pada 21 Mac 2025 lalu.
Mereka di samping simpanan, Fetri Azwadi dan Uda tersingkir hanya gara-gara perbezaan mata tipis dalam perebutan dua tempat teratas Kumpulan B sekalipun menewaskan Perancis 15-6, 15-7 dan Myanmar 10-15, 17-14, 15-13 yang kemudiannya muncul naib juara keseluruhan setelah ditundukkan oleh Thailand.

AMIRUL Zazwan Amir (kanan) yang cuba menangkis servis Thailand, tidak tersenarai dalam skuad 12 pemain Malaysia ke Hatyai. - Kredit foto: PSM
Walau bagaimanapun laluan Malaysia dalam Kumpulan A kuadran di Haytai terlebih dulu beranjau dan berduri apabila menantinya ialah tuan rumah atau digelar Si Gajah Putih, Myanmar dan Korea Selatan selain Singapura.
‘Kumpulan Maut’ ini menghimpunkan empat kuasa utama sepak takraw dunia dengan hanya menawarkan dua tiket ke separuh akhir untuk bertemu juara dan naib juara Kumpulan B yang berkemungkinan antara Vietnam, Jepun dan India.
Malah cabaran kuadran jauh berbeza kerana selain servis hanya dilancar dari luar gelanggang dan begitu jarang mampu memperoleh mata mudah.
Rejaman pula agak sukar dimatikan dengan cepat kerana perlu berdepan dua atau kadangkala tiga dan empat pengadang serentak sekali gus mencipta rali permainan yang lebih panjang.

AFIFUDDIN Razali (14), Uda (9), Ayong (8) dan Abang yang menewaskan Jepun untuk menjuarai kuadran Piala Asia Astaf tetapi belum teruji dengan gandingan Vietnam, Myanmar mahupun Thailand. - Kredit foto: PSM

KEDUDUKAN undian acara kuadran Divisyen Perdana King's Cup 2025. - Kredit foto: Istaf

KEDUDUKAN undian acara berpasukan Divisyen Perdana King's Cup 2025. - Kredit foto: Istaf
Bagi berpasukan, Myanmar dan Korea Selatan sekali lagi menjadi rintangan besar skuad negara dengan sasaran penting pastilah mara separuh akhir sebagai juara Kumpulan B biarpun Jepun dan Laos masih tidak kurang liatnya.
Thailand, juara bertahan King’s Cup sejak 1989 dijangka tidak bermasalah besar untuk melepasi Brunei, Vietnam, India dan Singapura sekali gus menjuarai Kumpulan A.
Edisi final ke-37 lalu menyaksikan Malaysia yang tanpa Syahir - tekong regu emas Piala Asia 2025 dan Piala Dunia Istaf Kuala Lumpur 2024 kerana cedera, ditewaskan oleh tuan rumah 0-2 ( 15-4, 3-15, 11-15) dan (13-15, 9-15).
King's Cup turut bakal jadi kayu pengukur persediaan awal terutama negara-negara rantau Asia Tenggara menjelang Sukan SEA Ke-33 di Nakhon Pathom, Thailand dari 9 hingga 20 Disember 2025 ini. - KitaReporters

AKSI servis kidal tekong Malaysia, Haziq Hairul Nizam (kanan) dalam final berpasukan King's Cup 2024 yang dijuarai Thailand 2-0 di Korat. - Kredit foto: ST
REKOD PERTEMUAN BERPASUKAN MALAYSIA-THAILAND SEJAK 2023
* Sukan SEA Ke-32, Kemboja (11 Mei 2023, Phnom Penh): Thailand kalahkan Malaysia 2-1 (21-13, 17-21, 18-21), (24-25, 21-15, 21-14), (21-8, 21-12)
* Kejohanan Dunia Istaf Piala Raja Thailand Ke-36 (16 Julai 2023, Korat): Thailand kalahkan Malaysia 2-0 (21-18, 21-9), (21-14, 21-14)
* Sukan Asia Ke-19, Hangzhou (29 September 2023, Jinhua): Thailand kalahkan Malaysia 2-0 (21-15, 21-12), (21-13, 21-18)
* Piala Dunia Istaf (26 Mei 2024, Kuala Lumpur): Thailand kalahkan Malaysia 2-1 (15-9, 11-15, 13-15) (15-8, 15-5), (15-12, 15-12)
* Kejohanan Dunia Piala Raja Thailand Ke-37 (8 September 2024, Korat): Thailand kalahkan Malaysia 2-0 (4-15, 15-3, 15-11), (15-13, 15-9)
* Piala Asia Astaf (18 Mei 2025, Kuala Lumpur): Thailand kalahkan Malaysia 2-0 (15-11, 12-15, 17-15), (13-15, 15-13, 15-4).

HANYA dua kali Malaysia pernah merampas Piala Raja Thailand (1985 dan 1988) yang diperkenalkan pada 1984 ini bagi menggantikan Piala Persatuan Sukan Thailand (TSA).

RIMAU Rejam mengekalkan majoriti pemain Piala Asia Astaf 2025 dengan Afifuddin Razali (14) dipertaruh bagi kuadran King's Cup 2025, manakala tidak terpilih ke Hatyai selain Amirul Zazwan Amir (8) ialah Khairul Aman Rosdi (11), Redwan Hakim Muhammad (30) dan Fetri Azwadi (7). - Kredit foto: PSM