Seni & Sukan 20 Jun, 2025

Video| Kasih Tersayang serlah kematangan! Shatirah Amanda lebarkan sayap seni! Hasilkan lagu sendiri!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: farizaum@yahoo.com

Share this


Siapa sangka, heroin filem ‘Mar Rak’ dan wajah yang sering menghiasi drama TV, Shatirah Amanda, kini serius nak bina nama dalam dunia nyanyian pula! 

Menjelang usianya 25 tahun, Amanda kini tampil dengan karya yang cukup dekat di hati, single terbaharu berjudul "Kasih Tersayang”. Ini bukan sekadar lagu biasa, sebab kali ni Amanda sendiri yang cipta melodi dan tulis liriknya. 

Nampak sangat dia dah betul-betul fokus hendak tunjuk bakatnya sebagai penyanyi!

Lagu pop "Kasih Tersayang," ini sebenarnya luahan hati Amanda tentang makna cinta yang luas – bukan cuma untuk awek atau pakwe je, tapi juga untuk keluarga, kawan baik, malah binatang peliharaan kesayangan sekali pun.

Kiranya, lagu ni memang jadi wadah untuk Amanda kongsi rasa dan pengalaman dia dengan peminat yang dah lama ikut perjalanan seninya.

Keputusan untuk memberi tumpuan penuh kepada bidang nyanyian jelas terlihat dalam dedikasi Shatirah menghasilkan karya pertamanya sebagai pencipta lagu.

Malah, lagu ini menjadi wadah untuk beliau berkongsi perasaan dan pengalamannya dengan para peminat yang sentiasa mengikuti perkembangan seninya sejak penglibatannya sebagai finalis Top 12 ‘Dewi Remaja’ edisi 2019.



Meskipun sering menerima tawaran lakonan, termasuk watak dalam drama popular seperti "Bunga Salju" dan "Bila Takdir Melarang Cinta," pemilik bernama penuh, Tengku Shatirah Amanda Tengku Ahmad Badrulddin ini tidak menyesal menolak beberapa tawaran demi memberikan fokus penuh kepada kerjaya nyanyiannya.

“Saya tidak menolak berlakon selamanya kerana aktiviti saya sebelum ini lebih banyak menonjolkan diri sebagai pelakon. Kalau ada watak yang sesuai dan tidak ganggu jadual nyanyian, saya terbuka. Tapi sekarang fokus utama saya adalah membina nama dan dikenali sebagai penyanyi,” tambah Shatirah yang lebih mesra disapa Amanda.

Menurutnya, lagu ciptaannya itu bertujuan untuk mencabar stereotaip masyarakat tentang cinta waima beliau berpendapat, kasih abadi wujud dalam pelbagai bentuk dan tidak terhad kepada situasi romantik semata-mata. 


Ia sejajar dengan kematangannya sebagai pencipta karya yang inklusif dan dekat di hati semua lapisan pendengar.

Berkongsi pengalaman menerbitkan lagu ini, Amanda menyatakan rasa terujanya kerana "Kasih Tersayang" adalah hasil ciptaan beliau yang pertama sebagai pencipta lagu namun mengakui agak berdebar untuk melihat reaksi peminat muzik tanah air.

Pun begitu, Amanda nyata tidak pernah berputus asa dalam memperjuang kariernya sebagai penyanyi di mana kini beliau merupakan artis eksklusif di bawah naungan syarikat SA International. 



"Saya sangat yakin dengan masa depan saya bersama SA International. Saya berazam untuk bekerja lebih keras dan menghasilkan karya bermutu tinggi yang relevan dengan industri muzik semasa,” tambah Amanda yang dikatakan mempunyai wajah iras penyanyi Juliana Banos.

Untuk rekod, Amanda pernah tampil dengan tiga single solo sebelum ini iaitu 'Gula Gula Cinta', 'Bayanganmu Di Hatiku' dan 'Bicara' tetapi khabarnya mengakui kurang selesa dengan genre yang dibawa memandangkan hati dan jiwanya dirasakan tidak sebati dengan rentak balada. 

Selepas itu beliau menghasilkan pula single keempatnya, 'Langit Bukan Limit' (2023) bersama komposer Mas Dewangga bergenre hip hop dan juga menyanykan lagu OST bagi drama 'Kasih Nelisa' berjudul, 'Pasrah Padamu'.

Sambung pelakon berasal Kelantan ini menutup bicara, “Saya berharap lagu terbaharu  saya kali ini membuka lebih banyak peluang, termasuk untuk melebarkan sayap ke peringkat antarabangsa satu hari nanti.” - KitaReporters


7
8
0
15
0
You will be interested