Seni & Sukan 07 May, 2025

Anak seni sehingga ke hujung usia! Pemergian Shopia Ibrahim tinggalkan legasi seni! Sentiasa dikenang!

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this

Pemergian Sophia Ibrahim meninggalkan legasi seni yang akan dikenang sepanjanjang zaman.


SENIWATI veteran Sophia Ibrahim yang meninggal dunia pada malam Isnin 5 Mei 2025 lalu dalam usia 77 tahun adalah legenda seni yang mengukir nama sebagai pelakon dan penyanyi, mewarnai dunia seni tanah air untuk beberapa dekad sejak mula aktif pada tahun 60-an.

Pemergiannya di sebuah hospital swasta di Ampang, Selangor kira-kira pukul 7.15 malam akibat serangan asma. Memetik anak Allahyarham, Mohd Khairi Yaakob, ibunya meninggal kerana batuk teruk dan sukar bernafas.

Allahyarham yang dilapor sesak nafas ketika menghadiri program di sebuah hotel di Ampang, dibawa ke sebuah hospital swasta di mana arwah mengembuskan nafas terakhir. Allahyarham meninggalkan empat anak dan lima cucu.


Selain berlakon, Sophia adalah juga seorang penyanyi. Kerjaya ini dilakukan seling seli dengan lakonan.


Pemergian Sophia, atau nama sebenarnya Safiah Ibrahim, adalah kehilangan seorang lagi insan dalam keluarga seni yang terkenal.

Adik Allahyarham, pelakon dan penyanyi Latif Ibrahim meninggal dunia pada 20 Februari 2012 pada usia 60 tahun. Seorang lagi adik Sophia ialah penyanyi popular, Datuk Khadijah Ibrahim (Khaty), 65 tahun. Anak Sophia, Mohd Khairi Yaacob, dikenali dengan nama Hairee Kool, pula ialah penyanyi kumpulan Kool.

Bakat seni Sophia, anak kelahiran Singapura, dan adik-adik serta anak diwarisi daripada datuk Sophia, Aman Belon atau Abdul Rahman Salim, pelakon bangsawan terkenal yang mempunyai grup bangsawan sendiri pada tahun 50-an.


Tiga beradik insan seni. Sophia (kiri), Khadijah@Kathy dan Latif Ibrahim.


Era Aman Belon sezaman dengan kumpulan bangsawan Wayang Kasim, Bangsawan Zanibar Roya Theaterical Company of Singapore, dan Yap Chow Tong Opera. 

Antara pelakon bangsawan ketika itu ialah Khairuddin Thairo dan Wan Yet Al-Kaf.

Sophia, anak sulung daripada 10 beradik, dilahirkan pada 20 Januari 1948. Lahir dalam keluarga anak wayang membentuk dirinya sebagai pelakon. Kebanyakan filem lakonannya ialah di Studio Merdeka, Hulu Kelang.


Gambar perkahwinan Sophia Ibrahim dengan Yaacob pada 1966.


Sophia Ibrahim pelakon jelita pada era kegemilangannya tahun 60-an.


Antara filem lakonan Allahyarham di Studio Merdeka ialah ‘Jambatan Maut’ (1963), ‘Ragam P Ramlee’, ‘Hujan Darah’, ‘Jauh di Mata’ (semuanya tahun 1964), ‘Dajal Suci’ dan ‘Bumiputra’ (1965), ‘Gadis Langkawi’ (1966) dan ‘Dr. Rushdi’ arahan P. Ramlee (1970).


Filem Dr. Rushdi arahan P. Ramlee membariskan bintang utama P. Ramlee, Sarimah dan Sophia Ibrahim.


P. Ramlee dan Sophia Ibrahim dalam satu adegan filem Dr. Rushdi keluaran Merdeka Filem Hulu Kelang.


Filem lakonan Allahyarham dengan syarikat filem tempatan lain ialah ‘Puteri Impian’ (1997), ‘Iman Alone’ dan ‘Puteri Impian 2’ (1998), ‘Cinta 200 Ela’ (2002), ‘Pontianak Harum Sundal Malam’ (2004), ‘Budak Kripto’ (2021) dan ‘Imam’ (2023).

Allahyarham juga banyak membintangi drama TV dan telefilem termasuk ‘Siti Hajar’ (1994), ‘Duri-Duri Bandar Raya’ (1992), ‘Tanah Kubur’ (2011), ‘Sara Sajeeda (2013) dan ‘Juliet’ (2022).

Allahyarham juga aktif sebagai penyanyi. Kerjaya ini diselang seli dengan kesibukannya sebagai pelakon.

Menurut Kathy, kebelakangan ini jadual harian kakaknya ketat. Allahyarham banyak menghabiskan masa bertemu kaum keluarga dan rakan-rakan, seolah-olah ingin mengucapkan selamat tinggal.

Allahyarham Sophia meninggalkan legasi seni yang akan sentiasa dikenang, terutama dalam kalangan peminatnya. 


Hairee Kool (baju hitam) menabur bunga di atas pusara ibunya, Sophia Ibrahim, selepas selesai pengkebumian di Raudhatul Sakinah, Batu Muda, Gombar pada pagi Selasa 6 Mei 2025.


Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah,Batu Muda, Gombak pukul 10.30 pagi Selasa 6 Mei. 

Sebelum itu jenazah dibawa dari hospital ke Surau Al Hijrah, Taman Bolton, Batu Caves untuk dimandi dan disolatkan.

Kira-kira 100 orang hadir memberi penghormatan terakhir pada upacara pengebumian, yang merangkumi kaum keluarga, sanak saudara dan sahabat handai serta rakan artis. Semoga Allah cucuri rahmat dan ampuni dosa Allahyarham. - KitaReporters

 

 

  

7
10
0
10
0
You will be interested