Seni & Sukan 19 May, 2025

Perlu kembalikan perejam kembar! Bagi tamatkan kemarau 34 tahun takraw! Ke King's Cup, Sukan SEA!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, stringer dan sub-editor tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, DNA Takrawnomi, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. Pegawai Teknikal Antarabangsa Sepak Takraw Sukan Pantai Asia Muscat, Oman 2010, Sukan SEA Hanoi, Vietnam 2022 dan Piala Dunia Sepak Takraw Istaf Bihar, India 2025. E-mel: timmediasepaktakraw@yahoo.com

Share this

 

AZLAN Alias (kanan) berentap dengan Sutthikiart Panseankaew yang turut gemar menujah tapak (tap) dan merejam perlahan tetapi berhelah. - Kredit foto: ST 


SUDAH tiba masanya skuad sepak takraw negara mewujudkan perejam kembar yang memberikan dwifungsi kepada apit kanan dan apit kirinya.

Masing-masing perlu bertindak sebagai perejam dan pengumpan pada bila-bila masa dan bukan lagi dibebankan khusus kepada seseorang sahaja terutama apit kanan.

Malah bukan lagi kepada acara regu sahaja bahkan sistem double killer atau striker ini boleh dipraktikkan terhadap beregu.

Thailand sudah membuktikannya apabila menyambar dua daripada empat gelaran iaitu beregu dan berpasukan pada Piala Asia Sepak Takraw Astaf 2025 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur yang berakhir 18 Mei 2025.

Sirisak Anuloon yang peranan utamanya pengumpan, beberapa kali berjaya membutirkan mata Si Gajah Putih dalam keadaan genting dan menyokong perejam utama, Boonkoom Tipwong dan Tanaphon Sapyen yang berdepan Noraizat Nordin/Aidil Aiman Azwawi selain simpanan, Redwan Hakim Muhammad.

Sirisak juga bergandingan dengan Tanaphon sekali lagi yang mengapit tekong Sittipong Khamchan dalam memastikan kemenangan 2-0 Thailand terhadap Malaysia menerusi perlawanan regu kedua final berpasukan yang menumpaskan Haziq Hairul Nizam, Noraizat dan Farhan Adam, 13-15, 15-13, 15-4.

Terdahulu gandingan utama tuan rumah, Syahir Rosdi (Zarif Marican Ibrahim Marican), Azlan Alias dan Amirul Zazwan Amir turut tewas 11-15, 15-12, 15-17 kepada Jakkrit Thinbangbon, Sutthikiart Panseankaew dan Wuttinun Kamsanor.


NORAIZAT Nordin (kanan) merembat bola dengan lipat Maniam ke kawasan Thailand yang dipagari Tanaphon Sapyen. - Kredit foto: PSM 


Di posisi tekong, Malaysia tampak sudah boleh bersandarkan pemungut mata cepat menerusi servis Syahir dan Haziq. Namun, perejam kembar sebenarnya bukanlah asing bagi pasukan kebangsaan kita.

Pada era 80-an muncul Raja Sepak Takraw Asia, Adnan Saidin yang melakukannya dengan Raziman Hassan masing-masing di posisi apit kiri dan kanan yang pencapaian terhebat mereka ialah juara Piala Raja Thailand 1985 di Bangkok.

Raziman kemudian beralih ke kiri untuk digandingkan dengan apit kanan, Ku Halim Ku Musa yang menganggotai skuad juara Piala Raja Thailand 1988 dan Sukan Asia Beijing 1990 serta Sukan SEA Manila 1991 (kali akhir mengalahkan Thailand dalam sejarah acara berpasukan).


SEBUAH regu Malaysia era 80-an yang memiliki tiga perejam (dari kanan) yang turut bertindak sebagai pengumpan, Sha'ari Hashim, Darus Mahmood dan Raziman Hassan serta tekong Noor Rani Adnan. - Kredit foto: infotakraw


Jika ‘Kembar Siam’ ada dalam alaf baharu sekarang, era emas sepak takraw Malaysia itu juga pernah menyaksikan ‘Kembar Melayu’ seperti Salim Mohd. Yusof dan Zainal Abidin Othman mahupun Sha’ari Hashim dan Darus Mahmood.

Sistem perejam kembar ini dikatakan menuntut kemahiran tinggi kedua-dua pengamalnya terutama kaki kanan dan kiri mereka perlu sentiasa ‘hidup’ dengan kehadiran bola. 

Kalau lawan menyerang mana-mana arah pun, pertahanan mereka dalam mengadang rejaman di udara atau menangkis di lantai begitu sukar ditembusi.


AMIRUL Zazwan Amir (kanan) membantu Malaysia menjuarai kuadran namun hanya bergelar naib juara berpasukan. - Kredit foto: PSM


Hassan Sulaiman (Allahyarham) dikatakan sebagai jurulatih negara yang memperkenalnya dan perancang utama pasukan yang merampas Piala Raja Thailand pada 1985 malah dengan mengalahkan Thailand ‘A’ dan ‘B’ berturut-turut.

Justeru kepada empat pengumpan atau apit kiri kita – Amirul, Farhan, Aidil Aiman Azwawi dan Norfaizzul Razak mahupun yang tidak tersenarai ke skuad Piala Asia, Zaim Razali, kutiplah pengajaran daripada kekalahan final beregu dan berpasukan serta seteru yang juga ‘guru’ anda, Thailand!

Memang peranan utama anda menangkis servis dan serangan lawan serta mengapungkan bola untuk disudahi dengan catatan mata oleh Azlan, Noraizat, Afifuddin Razali dan Shahalril Aiman Halim.


SIRISAK Anuloon, apit kiri atau pengumpan yang sekali-sekala merejam membolosi kubu Malaysia. - Kredit foto: ST


Namun untuk memecahkan tembok kecundang 34 tahun itu dan berdepan lawan sehebat Si Gajah Putih, kalian perlu mencari lebih daripadanya, mendalami ilmu serangan dan menggilap kemahiran merejam malah tidak salah kalau mengembalikan taktik tandukan sebagai senjata sampingan yang mengejut.

Bangkitlah segera daripada dibuai perayaan kejuaraan regu pada 15 Mei 2025 dengan menumpaskan Sittipong (Jakkrit), Varayut (Sutthikiart) dan Yodsawat Uthaijaronsri 15-12, 15-9 kerana ada dua lagi misi antarabangsa yang menggamit skuad negara.

Jika dua kali anda telah gugur di ibu kota sendiri, adakah laluannya lebih mudah dalam Kejohanan Dunia Piala Raja Thailand (King's Cup) Ke-38 di Hatyai dari 22 hingga 29 Julai 2025 dan Sukan SEA Ke-33 di Nakhon Pathom (venue sepak takraw) dari 7 hingga 19 Disember 2025?


BARISAN negara naib juara Piala Asia Astaf 2025 kempunan menamatkan kemarau gelaran berpasukan selama 34 tahun. Apit kiri (mulai enam hingga sembilan dari kiri) - Amirul Zazwan Amir, Farhan Adam, Aidil Aiman Azwawi dan Norfaizzul Razak. - Kredit foto: PSM 


Seyogia diingatkan bahawa barisan jurulatih pimpinan Supot Tumpracha dan dianggotai Prawet Intra, Somporn Jaisinghol dan Suphaloek Kimthong hanya membawa segelintir tonggak senior ke Piala Asia Astaf di Kuala Lumpur ini iaitu Sittipong, Varayut dan Tanaphon yang turut menjulang Piala Dunia Istaf 2024 juga di Titiwangsa.tta

Akui Supot kepada KitaReporters, mereka hanya bereksperimen di Kuala Lumpur dengan turut membuka debut antarabangsa kepada Jakkrit, Chutchanan Suwannarat, Nichakul Seehakai, Boonkoom dan Wuttinun serta Sirisak.   

Thailand sebenarnya masih menyimpan tentera utamanya yang jauh lebih berpengalaman seperti Siriwat Sakha, Pornthep Tinbangbon (abang Jakkrit), Kritsanapong Nontakote, Thawisak Thongsai, Jirasak Pakbuangoen, Phutawan Sopa dan Rachan Viphan serta Marukin Phanmakon.

Tahukah anda juga bahawa kali akhir Malaysia memenangi pingat emas sepak takraw di bumi Si Gajah Putih ialah pada Sukan SEA Bangkok 1975 – era bola rotan dan sistem kiraan 15 mata yang terlalu lama untuk berganjak jika tanpa servis yang tidak seperti sekarang! - KitaReporters


SUPOT Tumpracha (kiri) mengemudi Si Gajah Putih merangkul gelaran kedua mereka, Piala Asia Astaf 2025 selepas Piala Dunia Istaf 2024 juga di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur. - Kredit foto: ST 

10
14
0
15
0
You will be interested