Seni & Sukan 30 Jun, 2024

Juri rompak kemenangan dan tali pinggang ABC Adli Hafidz! Si Budak Emas tumpas! Rattawut juara baharu!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

ADLI Hafidz Mohamed Pauzi (kanan) sudah mengharungi 15 pertarungan profesional dan hanya tewas dua kali setakat ini. - Kredit foto: IG AHMF 


NAMA sahaja keputusan sebulat suara juri.

Sedangkan hakikatnya merekalah yang bersikap berat sebelah dan menjadi faktor terlucutnya tali pinggang Kejuaraan Benua Light Heavyweight Majlis Tinju Asia (ABC) daripada Adli Hafidz Mohamed Pauzi.

“Saya ditolak lawan (Rattawut Thongaram dari Thailand) tiga empat kali dan dijatuhkan dengan sengaja namun tiada pemotongan mata daripada pihak juri,” kata petinju professional kelahiran Johor Bahru, Johor ini.


POSTER pertarungan Adli Hafidz Mohamed Pauzi dan Rattawut Thongaram di Bangkok. - Kredit foto: IG AHMP


Kekalahan pertarungan light heavyweight 10 pusingan di Spaceplus, Bangkok, Thailand pada 27 Jun 2024 itu mencalarkan rekod Adli kepada 13-2.

“Saya memang menjangka mampu memenanginya namun dirompak dengan keputusan berat sebelah juri.

“Pengulas pertarungan itu sendiri pun menyatakan kemenangan sepatutnya berpihak kepada saya,” katanya yang digelar ‘Golden Boy’ (Budak Emas).


ADLI Hafidz (kiri) menanti untuk melepaskan tumbukan balas daripada asakan Rattawut. - Kredit foto: IG AHMP


Adli, 35, walau bagaimanapun tetap mengambil kekalahan mengejut itu dengan positif dan berjanji untuk bangkit semula pada perlawanan seterusnya dengan mengukir kejayaan baharu.

"Saya mohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia. Keputusan tidak memihak seperti yang diharapkan. 

"Saya sudah buat yang terbaik namun keputusan yang meragukan, merencatkan perjalanan itu," katanya, dipetik daripada laman Instagramnya, adligoldenboy. 


SEKALIPUN darah mengalir daripada dahi ke pipinya, Adli Hafidz tidak sesekali gentar untuk bertinju demi Malaysia. - Kredit foto: IG AHMP 


Dia muncul juara light heavyweight Benua ABC selepas menumpaskan petinju Thailand, Tanawat Ketsiri menerusi tumbukan penumbang (KO) pusingan keempat juga di Spaceplus pada 28 Disember 2023.

Petinju ini turut pernah mengalungi Malaysia pingat perak light heavyweitht (81 kilogram) Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 setelah pengadil menghentikan pertarungannya dengan John Marvin dari Filipina dalam pusingan pertama. - KitaReporters


ADLI Hafidz Mohamed Pauzi sudah kehilangan tali pinggang kejuaraan Light Heavyweight Benua ABC namun bertekad untuk bangkit semula dengan kejayaan. - Kredit foto: IG AHMP

14
6
0
15
0
You will be interested