Seni & Sukan 24 Jun, 2024

Zuhri, Faisal dan Najmi! Trio tekong negara! Memburu Si Gajah Putih pada Sukan Universiti ASEAN!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this


ZUHRI Zain sempat bermain regu penentuan final regu berpasukan Piala Dunia Istaf 2024 yang ditewaskan Thailand 12-15, 12-15 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur pada 26 Mei 2024.  - Kredit foto: ST


LEBIH kurang sebulan selepas kejayaan pasukan negara dalam dua acara Piala Dunia Sepak Takraw Istaf di Kuala Lumpur, kini tiba pula giliran skuad Universiti Malaysia mencontohinya pada Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024.

Namun ‘blocking’ utama skuad kendalian Zulkarnain Arif dan Ahmad Sufi Hashim ini apabila sepak takraw AUG Ke-21 berlangsung dari 2 hingga 6 Julai 2024 di Universiti Brawijaya, Malang, Indonesia pastilah juara bertahan, Universiti Thailand.  

Zulkarnain yang juga penolong jurulatih negara, menyerapkan seorang tekong skuad naib juara regu berpasukan Piala Dunia itu, Zuhri Zain ke AUG 2024 di samping dua lagi tekong yang pernah menganggotai skuad kebangsaan, Faisal Fuad dan Najmi Syahfiq Anuar.


UNIVERSITI Malaysia yang merangkul pingat perak regu berpasukan dan dua pingat gangsa antara regu serta beregu AUG 2022 di Ubonratchathani, Thailand. Zulkarnain Arif, Ahmad Sufi Hashim dan pengurus pasukan, Razizi Midin (tiga hingga lima dari kiri). - Kredit foto: UT


Skuad negara menjuarai acara antara regu dan beregu Piala Dunia Istaf pada 22 Mei 2024 namun kempunan kejuaraan regu berpasukan dengan kekalahan 2-1 kepada musuh tradisi yang digelar Si Gajah Putih dalam final di Stadium Titiwangsa.

Zuhri dan Faisal juga membantu Malaysia meraih dua pingat perak Sukan SEA Vietnam 2022 pada penampilan sulung antarbangsa mereka manakala Najmi ketika siri perlawanan ujian menentang Universiti Pathumthani di Kuala Lumpur pada April 2023.


FAISAL Fuad ketika beraksi dalam acara regu berpasukan AUG 2022 menentang Thailand. - Kredit foto: UT 


Mereka juga adalah antara sembilan pemain Universiti Malaysia yang mengalungkan sebutir pingat perak regu berpasukan dan dua pingat gangsa antara regu dan beregu AUG 2022 di Ubon Ratchathani.

Mereka ialah Nur Haziq Norali, Amir Syahiran Fuzi, Khairul Hafifi Tajudin, Aiman Hakim Zakari, Nazhan Noor Zamri dan Ahmad Badrie Amin Azmi manakala muka baharu termasuk Azim Azizul, Wan Firdhaus Wan Omar, Imran Fazli, Haikal Huzaimi Razak dan Faris Syahmi Jamsari.  


PEREJAM Universiti Putra Malaysia (UPM), Nur Haziq Norali (kanan) kembali dipertaruh Universiti Malaysia ke AUG 2024 di Malang dari 2 hingga 6 Julai 2024. - Kredit foto: VSL 


Berbanding hanya tiga acara di Ubon Ratchathani, sebanyak empat pingat emas sepak takraw akan menjadi rebutan di Malang kali ini iaitu dalam acara regu berpasukan, antara regu, beregu dan yang baru diperkenal, kuadran (berempat).

AUG 2022 menyaksikan Universiti Malaysia ditumpaskan Universiti Thailand dalam perlawanan terakhir liga sepusingan regu berpasukan, 0-3 (13-21, 12-21), (11-21, 12-21), (21-15, 13-21, 14-21) malah disekat tuan rumah dalam separuh akhir antara regu dan beregu AUG 2022.

Ketika itu Universiti Thailand membariskan dua perejam, Varayut Jantarasena, Tanaphon Sapyen dan seorang pengumpan, Poramet Siriswat yang kemudiannya membantu Si Gajah Putih menjuarai regu berpasukan Piala Dunia Istaf pada 26 Mei 2024.


KHAIRUL Hafifi Tajudin, apit kanan Universiti Malaysia yang bakal beraksi dalam tiga acara AUG 2024 - regu berpasukan, antara regu dan beregu. - Kredit foto: UT

17
12
0
10
0
You will be interested