Seni & Sukan 15 May, 2024

Syabas UMT! 6 mahasiswa wakili Malaysia ke kejohanan kapal layar! FISU World University Championship!

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb 2019.

Share this


UNIVERSITI  Malaysia Terengganu (UMT) terus melakar sejarah apabila menjadi wakil tunggal bagi mewakili Malaysia dalam kejohanan sukan pelayaran FISU World University Championship, di Itali.

Menerusi kejohanan itu, enam pelajar yang akan mewakili UMT ke kejohanan tersebut ialah Nur Muhammad Aqil Nadzri, 21; Mohamad Hanif Mohd Shafiee, 20; Nur Zulaikha Mohd Zafarin, 21; Nur Sofea Balqis Kamal Azalan, 21; Nur Ainul Izzati Zil Husham, 23, dan Muhammad Faris Aiman Basri, 22. 

Penyertaan enam  pelajar UMT ke kejohanan peringkat antarabangsa ini akan mengangkat nama negara. Pelajar juga berperanan sebagai duta kecil bagi memperkenal Malaysia pada mata dunia.


Ts Mustapha Sakmud (tengah) bersama pelajar UMT yang menjadi peserta kejohanan kapal layar 


Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata, pihaknya memberi sokongan penuh dan berbangga dengan penyertaan peringkat dunia tersebut dalam misi membawa nama baik negara ke pentas dunia.

“KPT amat menggalakkan pelajar terlibat dengan aktiviti sukan. Pada peringkat universiti kita ada Karnival Sukan Universiti Malaysia (Masum) dan KPT sendiri menyumbang kira-kira 20 peratus atlet negara," katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) menjalankan fungsi Naib Canselor UMT, Prof. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim mengucapkan syabas dan tahniah atas kelayakan menyertai acara yang berprestij itu.

“Pasukan pelayaran UMT telah banyak kali melakar kejayaan dalam beberapa siri pertandingan peringkat dunia termasuk meraih 1st runner up – Kingdom Match and Fleet di Bahrain pada hujung tahun lalu (2023).

“Syabas dan tahniah atas berjaya layak menyertai kejohanan di Itali yang akan berlangsung pada 4 hingga 11 Jun 2024," katanya lagi.



Ketua pasukan Pelayaran UMT ke Itali, Muhammad Faris Aiman berkata beliau bersama pasukan sedang giat menjalani latihan dalam negara sebagai persiapan sebelum berlepas ke Itali pada Jun 2024 nanti. 

Setiap hari beliau bersama rakan sepasukan akan berlatih sehingga empat jam untuk meningkatkan kemahiran serta kecekapan bagi menghadapi pesaing hebat dari negara Eropah, Amerika dan Asia

“Kami akan berdepan cabaran daripada 16 pasukan termasuk Amerika, Belanda, Ireland, Jerman, Jepun, China dan Perancis yang semenangnya memiliki kekuatan tersendiri

“Walaupun sukar kami tetap meletakkan sasaran untuk mendapatkan podium di kejohanan tersebut,” katanya. - KitaReporters

13
9
1
22
0
You will be interested