Seni & Sukan 10 Jan, 2024

Pernah kena strok! Buat Esma Daniel lebih sayangi diri! Kini berlari bukan untuk laju tapi dinikmati!

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. 📧: [email protected]

Share this


Pada 16 Januari 2024 ini usia pelakon Esma Daniel sudah memasuki 55 tahun. Namun, orangnya masih segak dan aktif berlakon.

Menyedari hakikat fasa umurnya itu pelbagai penyakit boleh datang bertamu, Esma dilihat semakin aktif bersenam dan berlari.

Pada November 2023 lalu, Esma pernah diserang strok sebaik sahaja berjaya menamatkan aktiviti larian yang disertainya ketika itu. Serangan tersebut mengakibatkan bahagian tubuh sebelah kirinya lemah sehingga tidak mampu berdiri. Akhirnya dia dimasukkan ke hospital.



Setelah sembuh, Esma kembali menyambung aktiviti kesukanannya itu malah dilihat makin aktif. 

Menurut Esma dalam Instagramnya, setelah melalui peristiwa hitam itu, dia kini lebih menyayangi dirinya. Malah dia juga menyedari kesilapannya dalam melakukan aktiviti senaman yang betul, bersesuaian dengan usia.

Kalau sebelum ini dia mengukur aktiviti lariannya dengan kadar kelajuan. Namun, kini dia sedar cara itu silap. Kini dia berlari bukan untuk mengejar kelajuan tetapi untuk dinikmati. Malah dia juga sudah berhenti merokok!



“Lima kilometer bawah pace empat pernah aku banggakan tiga tahun dahulu. Ketika itu motivasi larian lebih kepada pace yang laju tanpa mengira apa pun risiko walaupun usiaku sudah mencecah umur lebih 50 tahun.

“Namun apabila diriku diserang strok dua bulan yang lalu, aku sedar ia satu peringatan buat diriku untuk lebih menyayangi diri dengan menikmati larian supaya menjadi motivasi larian yang baharu. Aku sangat bernasib baik kali ini,” tulisnya beserta tanda pagar larian untuk dinikmati, stroke survivor dan berhenti merokok.

Perkongsian tersebut bukan sahaja mendapat perhatian netizen dan rakan artis tetapi juga media sosial milik Public Health Malaysia (PHM). Tegas PHM, bekas pesakit strok wajib berhenti merokok!



“Selepas kena serangan strok atau serangan jantung, wajib berhenti merokok. Jika tidak berhenti merokok, risiko strok yang lebih teruk akan berlaku,” tulis PHM.

Ingatlah, ketika umur kita sudah memasuki 40 tahun, berwaspada dan jangan lupa lakukan pemeriksaan kesihatan sekali dalam setahun. Jangan ingat kita sihat dan tiada penyakit, kita tidak melakukan pemeriksaan kesihatan. 

Kebanyakan penyakit kronik datang tanpa memberi ‘salam’. Justeru, berhati-hatilah! - KitaReporters


12
15
0
12
0
You will be interested