Kredibiliti FAM menjadi persoalan dalam kalangan peminat sukan tanah air.
Malah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang turut berdepan tindakan denda belum mahu mengibar bendera putih untuk menempuh perjalanan panjang dan penuh risiko ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Kredibiliti FAM menjadi persoalan dalam kalangan peminat sukan tanah air.
Di sebalik isu panas itu, tawaran pencetus revolusi Harima Malaya, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk menanggung kos rayuan memberi FAM ruang untuk bersiap dengan lebih teliti. “Saya tanggung semua, bukan duit rakyat,” tegas baginda yang juga pemilik kelab, Johor Darul Ta'zim (JDT) FC.Namun langkah ini juga menimbulkan persoalan besar: Mampukah Malaysia membuktikan integriti pemain dan sistemnya di pentas antarabangsa?FIFA pada 3 November 2025 mengekalkan denda 350,000 Swiss franc (RM1.8 juta) kepada FAM, manakala tujuh pemain digantung 12 bulan dan denda 2,000 Swiss franc (sekitar RM10,800) setiap seorang atas kesalahan melanggar Artikel 22 Kod Disiplin FIFA berkaitan pemalsuan dokumen.Tujuh pemain terbabit adalah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
Masa depan tujuh pemain warisan bakal ditentukan di CAS.
Bagi banyak pihak, hukuman ini bukan sekadar angka, tetapi ujian kredibiliti bola sepak negara.
FAM memilih untuk menuntut 'motivated decision' sebelum melangkah ke CAS, menunjukkan mereka tidak terburu-buru menerima nasib, sebaliknya mahu menilai fakta secara menyeluruh sebelum mempertahankan nama pemain dan institusi.Namun, CAS bukan medan mudah dan bekas Setiausaha Agung FAM, Azzuddin Ahmad memberi amaran: “CAS bukan jaminan untuk kurangkan hukuman. Malah mereka boleh menambah berat hukuman jika mendapati kes tidak kukuh.”Risiko itu jelas. CAS mempunyai kuasa penuh menilai fakta serta dokumen dan kelemahan ketara boleh menambah beban hukuman sedia ada. FAM perlu bersiap menghadapi kemungkinan paling sukar.Di sebalik risiko itu, pentas timbang tara juga membuka peluang untuk membersihkan nama pemain, menunjukkan sebarang kesalahan bukan kerana niat jahat dan memperkukuh sistem naturalisasi yang mencetuskan persoalan dalam kalangan peminat sukan tanah air.
Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Dengan Tunku Ismail menanggung kos, FAM boleh menumpukan tenaga kepada hujah dan bukti, tanpa dibebani isu kewangan. Ini memberi ruang lebih stabil untuk menyiapkan kes dengan strategi tersusun dan profesional.Bagi pemain terbabit, CAS adalah pentas terakhir untuk mempertahan reputasi dan masa depan kerjaya mereka, malah ini juga adalah peluang untuk membuktikan bahawa mereka tidak bersalah.Buat penyokong, proses ini memberi gambaran bahawa bola sepak Malaysia bergerak ke arah profesionalisme. Walaupun melalui detik penuh ketidaktentuan, usaha FAM mempertahan integriti memberikan keyakinan bahawa isu ini tidak diselesaikan secara terburu-buru.Perjalanan menuju CAS bukan sekadar tentang hukuman tujuh pemain atau denda FAM. Ia ujian integriti pentadbiran bola sepak negara, peluang menilai sistem dalaman dan ukuran sejauh mana Malaysia mampu bersaing secara telus di arena antarabangsa.Langkah FAM menilai kelemahan dalaman juga penting. Proses ini memaksa mereka menilai standard dokumentasi, verifikasi dan pengurusan naturalisasi yang sebelum ini mungkin tidak cukup ketat.
CAS menjadi gelanggang terakhir buat FAM dan tujuh pemain warisan negara.
Dengan Tunku Ismail di belakang mereka, FAM boleh fokus pada strategi dan bukti tanpa gangguan kewangan.
Ini satu strategi menang-menang yang jarang berlaku dalam landskap bola sepak tempatan, di mana kos biasanya menjadi halangan utama.Risiko tetap wujud dan keputusan CAS boleh berpihak atau tidak. Namun, perjalanan ini adalah peluang untuk memperbaiki sistem, memperkukuh pentadbiran serta mengembalikan keyakinan penyokong.Akhirnya, perjalanan ke CAS bukan hanya rayuan pemain. Ia simbol keazaman, risiko dan harapan bola sepak Malaysia untuk bangkit lebih kuat daripada kontroversi. Berdasarkan kenyataan FIFA sebelum ini, FAM mempunyai tempoh 21 hari dari tarikh pengumuman alasan penuh keputusan Jawatankuasa Rayuan iaitu pada 18 November 2025 untuk membawa kes itu ke itu CAS.Ini bermakna tempoh tersebut berbaki kurang dua minggu lagi yang bakal berakhir pada 9 Disember 2025.Justeru debaran menuju episod seterusnya di CAS kini menjadi cerita yang ditunggu seluruh negara. - KitaReporters
Tags:
#bola sepak
#mahkamah
#sukan
#Tunku Ismail Sultan Ibrahim
#Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)
#Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA)
#Tunku Mahkota Johor (TMJ)
#pemain bola sepak
#pemain warisan
#pemalsuan dokumen
#Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS)
#mahkamah sukan
#bersihkan nama
#kos mahkamah