Seni & Sukan 18 Aug, 2025

Chen Long jadi contoh! BAM kembali ambil atlet seawal usia 13 tahun? Seperti terbukti di China!

@ahmad syahir kassim
Dulu wartawan kini moJo. Boleh emel ke [email protected]

Share this

BAM kembali menekankan pengambilan atlet seawal usia 13 tahun ke program pembangunan kebangsaan dalam usaha melahirkan generasi pemain yang lebih berkualiti. Presidennya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, langkah itu penting selepas menyaksikan skuad remaja negara gagal membawa pulang sebarang pingat di Kejohanan Badminton Remaja Asia 2025 di Solo. - KitaReporters


Tengku Zafrul Abdul Aziz.


PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) kembali menekankan pengambilan atlet seawal usia 13 tahun ke program pembangunan kebangsaan dalam usaha melahirkan generasi pemain yang lebih berkualiti.
Presidennya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, langkah itu penting selepas menyaksikan skuad remaja negara gagal membawa pulang sebarang pingat di Kejohanan Badminton Remaja Asia 2025 di Solo, Indonesia pada Julai 2025 lalu. 
“Saya sudah bentangkan kepada majlis. Sekarang saya beri mereka masa untuk menilai, dan saya akan terus berbincang dengan mereka. 

"Memang ada pro dan kontra, tetapi bagi saya masuk akal untuk kita bermula semula dan memberi tumpuan kepada pemain lebih muda,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis BAM di Bukit Kiara pada Sabtu 16 Ogos 2025.

Akademi Badminton Malaysia di Bukit Kiara, Kuala Lumpur.


Langkah ini sebenarnya bukan perkara baharu. Sebelum ini, BAM pernah menyerap pemain seawal usia 13 tahun, namun pendekatan itu dihentikan dan fokus beralih kepada pemain berusia 16 tahun. 
Kesannya, pemain tiba pada peringkat senior dengan asas yang agak lewat untuk menyaingi gergasi dunia.
Cadangan kali ini muncul selepas BAM melihat perlunya kembali kepada akar umbi - bermula lebih awal, pemain mempunyai empat hingga lima tahun untuk membina teknik, ketahanan fizikal dan mentaliti kompetitif sebelum naik ke skuad elit.
Menariknya, pendekatan ini sejajar dengan model pembangunan China yang sudah terbukti melahirkan ramai juara dunia. Di sana, bakat mula dikesan seawal usia tujuh hingga sembilan tahun di sekolah sukan dan akademi wilayah.
Contoh terbaik ialah Chen Long, legenda badminton China. Beliau memasuki sekolah sukan Jingzhou pada usia tujuh tahun, kemudian menyertai pasukan Xiamen sebelum dipanggil ke skuad kebangsaan pada usia remaja. 
Hasilnya, Chen Long muncul juara dunia dua kali (2014, 2015) dan memenangi pingat emas Olimpik Rio 2016.
Kisah Chen Long membuktikan pengesanan awal dan latihan intensif yang konsisten mampu melahirkan pemain lengkap di gelanggang antarabangsa.

Chen Long


Bagi Malaysia, ia bukan sekadar soal umur, tetapi juga struktur pembangunan. BAM perlu menubuhkan pusat latihan satelit mengikut zon – Utara, Selatan, Timur dan Borneo – agar bakat luar Lembah Klang tidak terpinggir.

China sudah lama mengamalkan sistem pasukan wilayah yang berfungsi sebagai ‘feeder’ ke skuad kebangsaan. Malaysia boleh mencontohi model itu dengan memastikan standard latihan dan jurulatih setara di setiap pusat.
Peranan jurulatih juga menjadi penentu. Tidak cukup sekadar pengalaman, mereka mesti dilengkapkan dengan modul moden, sains sukan, analisis data dan teknologi prestasi. Tanpa jurulatih berkualiti, pelan sehebat mana pun akan gagal diterjemah.
“Jurulatih juga menekankan perkara sama, anda tidak boleh mengharapkan hasil segera jika tidak mempunyai asas pembangunan akar umbi yang kukuh,” ujar Zafrul lagi.
Selain jurulatih, disiplin latihan turut menjadi faktor. Pemain China terkenal dengan jadual latihan ketat sehingga lapan jam sehari, membentuk bukan sahaja skil teknikal tetapi juga mentaliti juara.
Malaysia mungkin tidak sesuai meniru sepenuhnya kerana risiko 'burnout', namun latihan intensif tetap perlu disokong dengan aspek pemulihan, nutrisi dan psikologi sukan. 

Akademi badminton di China mula melatih bakat muda seawal usia tujuh tahun.
Aspek pertandingan juga tidak boleh dipandang ringan. BAM perlu memperbanyakkan liga remaja kebangsaan supaya pemain berusia 13 hingga 15 tahun sentiasa bersaing dalam suasana kompetitif.
Pada masa sama, mereka perlu lebih kerap dihantar ke kejohanan antarabangsa peringkat junior, bukan hanya menunggu kejohanan Asia atau Dunia. Pendedahan berperingkat-peringkat itu membina keyakinan dan adaptasi terhadap tekanan luar negara.
Mentaliti juga membezakan Malaysia dengan China. Pemain muda China dibentuk dengan falsafah bermain demi negara, manakala Malaysia masih berdepan cabaran menanam jiwa kental ini sejak akar umbi.
Justeru, program psikologi sukan wajib diperkenal sejak awal. Pemain muda perlu tahu bagaimana mengawal tekanan, mengekalkan fokus dan membina jiwa kompetitif.
Langkah menyerap atlet berusia 13 tahun hanya akan berhasil jika disokong dengan ekosistem menyeluruh – daripada jurulatih, pusat latihan, sistem pertandingan sehinggalah kepada sokongan keluarga dan penaja.
Tanpa pelan lengkap, Malaysia akan kembali berdepan masalah lama – pemain berbakat tetapi gagal mengekalkan prestasi pada peringkat senior.

Para pelatih muda di China diterap dengan disiplin yang tinggi dan semangat juang demi negara.


BAM juga perlu melibatkan Kementerian Pendidikan, dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menyokong kerjasama antara sekolah, akademi dan pusat latihan kebangsaan.

Pada masa sama, penaja perlu diyakinkan untuk melabur dalam pembangunan jangka panjang kerana hasilnya mungkin hanya dapat dilihat selepas lima sehingga 10 tahun.
Jika semua elemen ini digabungkan, cadangan Tengku Zafrul untuk memulakan semula pada usia 13 tahun mampu menjadi permulaan kepada era baharu badminton Malaysia.
Malaysia mungkin tidak akan meniru bulat-bulat sistem China, tetapi mengambil inspirasi daripada kisah Chen Long sudah cukup untuk membuktikan bahawa bakat yang diasah awal boleh menjadi juara dunia.
Sekiranya berjaya, langkah ini boleh membuka jalan kepada Malaysia bukan sekadar menghasilkan pemain berkualiti, malah akhirnya melahirkan juara Olimpik pertama negara. - KitaReporters

14
16
0
13
0
You will be interested