KEMENANGAN tipis 1-0 Malaysia ke atas Palestin di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada Isnin, 8 September 2025 bukan sekadar ujian persahabatan, tetapi simbol keyakinan baharu Harimau Malaya menjelang pusingan kelayakan Piala Asia AFC 2027.

Joao Figueiredo meledak gol kemenangan buat pasukan kebangsaan.
Keputusan itu juga hadir hasil keberanian jurulatih Peter Cklamovski mempertaruh tonggak tempatan di benteng pertahanan, sekali gus membuktikan skuad negara tidak hanya bergantung pada pemain naturalisasi atau warisan.
Shahrul Saad, Harith Haiqal Adam Afkar dan Dominic Tan tampil mantap mengawal pertahanan dengan Quentin Cheng menyokong di sisi kanan.
Gol tunggal perlawanan hadir seawal minit kedua menerusi penyerang naturalisasi, Joao Figueiredo, namun kemenangan itu dipertahan hasil disiplin pertahanan dan ketangkasan Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.

Peter Cklamovski.
Cklamovski menegaskan mengenai keyakinannya terhadap semua pemain menjadi resipi kemenangan tersebut.
“Saya percayakan semua pemain, terutama pemain tempatan. Mereka berikan komitmen tinggi sepanjang latihan dan menterjemahkan kepercayaan itu dengan permainan konsisten,” katanya.
Jurulatih dari Australia itu melakukan rombakan besar dengan tujuh pertukaran berbanding kemenangan 2-1 ke atas Singapura, Rabu lalu 4 September 2025, sekali gus menguji keampuhan skuadnya.
Beliau mengakui rombakan itu sedikit menjejaskan rentak, namun memuji semangat pemain yang tetap mampu mengekang Palestin, pasukan di ranking ke-98 dunia.
“Babak pertama dan kedua nyata detik terbaik buat skuad negara. Cuma pada 20 minit terakhir kami agak bergelut kerana lawan meningkatkan tempo,” Cklamovski.

Shahrul Saad (tengah) menjadi nadi penting di barisan pertahanan negara.
Kemenangan itu amat bermakna kerana kali terakhir Malaysia menewaskan Palestin ialah pada 2011 di Bukit Jalil dengan keputusan 2-0.
Sebaliknya pada 2015, Harimau Malaya dimalukan 6-0 di Amman dalam kelayakan Piala Dunia FIFA -- kekalahan yang kekal pahit dalam ingatan penyokong.
Justeru, kejayaan kali ini membuktikan Malaysia sudah keluar daripada bayang-bayang lama dan tidak lagi mudah diperlekeh pasukan Asia Barat.

Ahmad Syihan Hazmi beraksi cemerlang di gawang gol.
Wira sebenar perlawanan ialah Ahmad Syihan yang dipilih sebagai pemain terbaik selepas menafikan beberapa percubaan berbahaya Palestin yang dibimbing oleh Ihad Abujazar.
Penjaga gawang itu menekankan peranan komunikasi bersama pertahanan.
“Kami saling berkomunikasi untuk pastikan posisi betul dan barisan pertahanan tersusun. Berdasarkan cara ini, kami ikut strategi jurulatih dengan baik,” katanya.
Ahmad Syihan turut memuji kesungguhan rakan sepasukan yang bermati-matian terutama ketika 20 minit terakhir.
“Kesungguhan yang dipamerkan amat baik. Saya tabik semua pemain dan lebih yakin mengemudi gawang selepas aksi ini,” tambahnya.
Namun beliau berharap rakan sepasukan usah terlalu berasa selesa dengan kemenangan tersebut.
“Kita tidak boleh berpuas hati. Fokus utama kita adalah layak ke Piala Asia 2027, jadi kita perlu terus perbaiki kelemahan,” katanya.

Harith Haiqal tenang mengawal asakan pasukan lawan.
Dari sudut taktikal, Malaysia menunjukkan variasi permainan -- dengan gol pantas Figueiredo dan pertahanan tempatan yang kental.
Harith Haiqal menonjol dengan kematangan, Shahrul kekal sebagai ketua pertahanan, manakala Dominic tampil tenang menyerap tekanan udara Palestin.
Ini membuktikan bakat tempatan mampu menyaingi pasukan besar jika diberi kepercayaan, bukan sekadar pelengkap kepada pemain naturalisasi.
Pun begitu, ada aspek perlu diperbaiki seperti tumpuan pada hujung perlawanan serta keberanian mengawal tempo di bahagian tengah.
Serangan juga memerlukan variasi tambahan agar tidak terlalu bergantung pada gol awal atau serangan balas semata-mata.

Quentin Cheng (kiri) berjaya mengucar-kacirkan benteng Palestin.
Kemenangan ini menjadi tonik penting sebelum baki tiga aksi kelayakan Piala Asia 2027 yang akan menentukan kedudukan Malaysia dalam kumpulan.
Jadual berbaki ialah menentang Laos di tempat lawan pada 9 Oktober 2025 dan di laman sendiri lima hari kemudian.
Ia kemudian disusuli perlawanan berdepan Nepal di gelanggang lawan pada 18 November 2025 dan menutup aksi peringkat Kumpulan F menentang Vietnam di tempat lawan pada 31 Mac 2026.
Pertembungan menentang Vietnam dijangka paling getir, namun kemenangan besar 4-0 pada pertemuan pertama di Bukit Jalil memberi kelebihan psikologi. Jika mampu mencuri sekurang-kurangnya satu mata di Hanoi, peluang layak semakin cerah.

Barisan kesebelasan utama skuad Harimau Malaya.
Secara realistik, tiga kemenangan penuh akan menjamin Malaysia muncul juara kumpulan dan layak secara automatik.
Menerusi disiplin, konsistensi dan keyakinan yang kian meningkat, Harimau Malaya semakin hampir melakar sejarah baharu di pentas Asia. - KitaReporters
Tags: