Seni & Sukan 02 Oct, 2025

FAM vs FIFA| Malaysia kena main? Kerana kuat sokong Palestin? Percaturan geopolitik, tangan ghaib?

@ahmad syahir kassim
Dulu wartawan kini moJo. Boleh emel ke [email protected]

Share this
Keputusan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), selepas menjatuhkan hukuman berat ke atas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), mencetus spekulasi dan perdebatan dalam dunia maya.


Catatan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengenai isu kewarganegaraan pemain warisan Malaysia.

Carta aliran proses permohonan FAM untuk memperoleh kelulusan pemain warisan dari FIFA.

Badan induk dunia itu telah mengenakan denda RM1.8 juta serta menggantung tujuh pemain warisan selama setahun atas dakwaan menggunakan dokumen tidak sah.

FIFA menggantung tujuh pemain warisan babitkan Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel daripada sebarang aktiviti bola sepak selama 12 bulan. 

Bagi penyokong tempatan, keputusan tersebut disifatkan sebagai pelik. Bukankah dokumen yang dikemukakan telah lama diperiksa, disemak malah diluluskan oleh FIFA?
“Kalau sudah lulus, mengapa tiba-tiba kata palsu?” catat pengguna Facebook, Mazlan Syafie. 
Persoalan itu mencerminkan keresahan ramai pihak yang mula mempersoal kredibiliti FIFA. 
Badan induk yang sering melaungkan integriti dan ketelusan dilihat berlawanan dengan sejarah silamnya yang penuh dengan isu rasuah.
Sejarah hitam 2015 masih segar. Lebih 40 pegawai FIFA ditahan di Zurich, Switzerland kerana rasuah, termasuk beberapa naib presiden.  Skandal tersebut digelar sebagai 'hari paling gelap dalam bola sepak moden'.

“Kalau mereka boleh biarkan rasuah berpuluh-puluh juta dolar, apa jaminan keputusan terhadap Malaysia ini benar-benar bersih?” dakwa seorang penganalisis sukan tempatan.

FAM sendiri menegaskan dokumen pemain warisan adalah sah. Bukti daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bertarikh 19 September 2025 jelas menunjukkan semua proses mengikut undang-undang Perlembagaan Persekutuan.

'Cross-verification' turut dilakukan dengan Argentina, Brazil dan Sepanyol. Rekod kelahiran nenek moyang pemain disahkan, meskipun dokumen asal tulisan tangan tidak ditemui kerana faktor usia arkib.

“Ini prosedur biasa, banyak negara amalkan kaedah sama. Bila JPN keluarkan salinan rasmi, itu sudah cukup kuat sebagai bukti. Jadi kenapa FIFA boleh menafikannya?” tegas sumber dalaman kerajaan.


Presiden Kehormat FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin (kanan) bertemu dengan Gianni Infantino di Zurich. - Kredit foto: Astro Arena.

Apa yang menambahkan pelik, FIFA mengumumkan hukuman ini secara terbuka sebelum proses rayuan bermula. Dari segi prosedur, langkah itu tidak normal.

Biasanya, keputusan hanya diumumkan selepas rayuan habis. Tindakan 'hukum dulu, rayu kemudian' seolah-olah mahu menjatuhkan imej Malaysia di mata dunia.

Lebih merumitkan, perhatian kini terarah kepada komposisi Jawatankuasa Disiplin FIFA. 

Ahlinya termasuk Nguyen Thi My Dung dari Vietnam, yang pernah berkhidmat dengan Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF).

Vietnam pula merupakan lawan Malaysia dalam kelayakan Piala Asia 2027. Walaupun secara rasmi setiap ahli mesti neutral, namun tetap timbul persepsi konflik dan kepentingan. 

“Macam mana nak kata tiada pengaruh, sedangkan Vietnam pesaing kita?” dakwa seorang penyokong Harimau Malaya di media sosial.

Nama Indonesia turut disebut. Presiden FIFA, Gianni Infantino, baru-baru ini bertemu Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, di New York. Pertemuan itu berlangsung ketika Sidang Agung PBB.

Infantino dalam kenyataan rasminya memuji kepimpinan Prabowo dan Presiden PSSI, Erick Thohir. Malah Indonesia diberi penghargaan FIFA Forward Gold Award atas pembangunan bola sepak mereka.

Situasi tersebut dilihat sebagai 'double standard; Indonesia dipuji, Malaysia dihukum. Kedua-duanya berlaku hampir serentak.


Tunku Mahkota Ismail memuat naik keratan media menerusi laman sosial.

Amerika Syarikat dilihat memihak kepada Israel untuk menyertai Piala Dunia 2026.

Pencetus revolusi Harimau Malaya yang juga Pemangku Sultan Johor (TMJ), Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim menunjukkan surat JPN sebagai bukti sahih, sambil menyindir; “Who was in New York?”

Sindiran itu dianggap sebagai isyarat bahawa ada lobi politik di belakang tabir. Ketika Malaysia lantang menyuarakan isu Palestin dan Israel di PBB, adakah tekanan antarabangsa itu sampai ke gelanggang bola sepak?

“Slogan FIFA ‘politik jangan campur sukan’ itu hanya teori. Realitinya, bola sepak memang jadi alat geopolitik,” kata seorang pensyarah sains politik dari Universiti Malaya.

Contoh sudah ada. Rusia digantung selepas konflik Ukraine. Afrika Selatan pernah digantung kerana dasar apartheid, tetapi isu Israel–Palestin tidak diberi tindakan sama.

Dalam konteks ini, Malaysia dilihat jadi mangsa keadaan. Kelantangan diplomasi kita di PBB mungkin tidak disenangi sesetengah kuasa besar, lalu ruang tekanan disalurkan melalui FIFA.

“Lumpuhkan pasukan melalui isu teknikal, jatuhkan moral pemain, pecahkan keyakinan penyokong. Ini strategi perang psikologi,” kata seorang bekas pegawai AFC yang enggan dinamakan.


Keratan laporan KitaReporters berkaitan tindakan FIFA yang mendenda FAM.


Peminat pula melihat isu tersebut sebagai ujian maruah negara. Jika Malaysia tunduk, mesejnya jelas bahawa kuasa luar boleh menekan negara sesuka hati. 

Jika kita lawan dengan bukti kukuh, dunia akan melihat Malaysia berani kerana benar.

Tunku Mahkota Ismail menegaskan FAM mesti segera membuat rayuan, malah baginda percaya bukti JPN cukup kuat untuk dipertahan.

Namun jika rayuan tetap gagal, itu bermakna masalahnya bukan lagi dokumen. Ia sudah masuk ke medan politik antarabangsa.
“Malaysia tidak boleh diam. Kita mesti lawan di padang dan di meja rundingan,” titah Tunku Mahkota Ismail. 

Apa pun keputusannya dalam tempoh beberapa hari mendatang, isu ini membuktikan satu perkara; dalam dunia bola sepak moden, politik, kuasa dan geopolitik tidak mungkin dipisahkan.

Malaysia kini, sama ada suka atau tidak berada tepat di tengah-tengah gelanggang percaturan tersebut.


Malaysia menyuarakan kelantangan mengajak dunia untuk mengambil tindakan tegas terhadap Israel.

Keratan laporan mengenai kerajaan negeri Johor memberi sumbangan kepada Palestin.

Dalam pada itu, Erick yang juga Menteri Pemuda dan Olahraga (Menpora) menafikan tuduhan bahawa Indonesia terbabit dalam hukuman FIFA terhadap FAM dan tujuh pemain warisan skuad Harimau Malaya.

Beliau menjelaskan pertemuan Prabowo dan Infantino di New York berkisar tentang masa depan bola sepak Indonesia, termasuk rancangan pembentukan Akademi FIFA.

"Presiden bercakap tentang bola sepak Indonesia, bukan mengenai negara lain," tegas Erick yang lebih mesra disapa Etho.

Menurutnya, FIFA dalam perancangan mengadakan program pembangunan akar umbi dengan kejuaraan dunia lapan sebelah bawah 15 tahun.
Erick menekankan, Indonesia tidak pernah campur tangan dalam urusan negara lain.
"Kami ingin bola sepak Indonesia maju, badminton bagus, pencak silat mendunia. Tapi kami tidak ikut campur isu negara lain," katanya. - KitaReporters
Laporan berita mengenai dakwaan dwistandard FIFA yang memaparkan foto Infantino (kanan) dan Thohir.

16
11
0
12
0
You will be interested