Seni & Sukan 01 Sep, 2025

Video| Insomniacks kembali Seperti Dulu! Single terbaharu! Surat cinta istimewa buat peminat setia!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

Jadual Insomniacks, kumpulan pop rock sensasi tempatan, semakin padat selepas kejayaan besar yang diraih pada konsert jelajah Echoes of a Dream di Kuala Lumpur  pada 12 Julai 2025 lalu. 

Fenomena sama turut berulang di Capitol Theatre, Singapura pada 16 Ogos 2025, di mana kesemua tiket habis ke barisan terakhir. 



Kejayaan itu mengesahkan kedudukan Insomniacks yang kini dianggotai Syed Mir Iqbal (Iqie), Wan Arif Iskandar (Iskandar) dan Danial Lee Hashim (Danial), kesemuanya berusia 28 tahun, sebagai salah satu nama terbesar dalam industri muzik tempatan. 

Bukan itu sahaja, cenderahati rasmi kedua-dua konsert juga laris di lokasi hingga habis stok, satu lagi bukti sokongan padu peminat. 

Malah, bagi memenuhi permintaan yang tinggi, barangan cenderahati ditawarkan secara dalam talian di umusic.my, termasuk barangan rasmi Insomniacks.


Kumpulan Imsoniacks dianggotai (dari kiri) Danial, Iqie dan Iskandar.


Kini, Insomniacks bukan sahaja memecah rekod jualan tiket, malah turut bersedia untuk menghadirkan karya baharu yang dinanti-nantikan.

Kejayaan memecah rekod penstriman tertinggi di Carta RIM pada tahun 2024 tidak melunturkan semangat mereka, sebaliknya menjadi pemangkin untuk terus berkarya.

Momentum kejayaan ini diteruskan dengan pelancaran single terbaharu berjudul ‘Seperti Dulu' yang dilancarkan secara rasmi pada 29 Ogos 2025. 

Lagu tersebut yang telah dipersembahkan buat pertama kali di Singapura, digambarkan oleh Insomniacks sebagai 'surat cinta' istimewa buat peminat yang menjadi tulang belakang mereka sejak awal.

“Lagu ini sebenarnya surat cinta kami buat semua yang menyokong Insomniacks sejak mula. Tak kira di mana mereka berada dalam hidup, kami nak ingatkan bahawa setiap momen bersama itu tetap akan kami hargai,” kata Insomniacks.



Dari segi kreatif, lirik ‘Seperti Dulu’ ditulis bersama oleh anggota kumpulan, manakala komposisi oleh Iqie dan susunan muzik bersama Taja menjadikan lagu ini sebagai hasil kerja berpasukan yang penuh kejujuran.

'Seperti Dulu’ menampilkan sentuhan nostalgia yang membangkitkan kembali era muzik awal Insomniacks, memberi rasa dekat dengan perjalanan mereka dari dulu sehingga kini.

Selepas pelancaran rasmi, kumpulan ini akan meneruskan momentum dengan siri promosi ke Jakarta, Indonesia pada penghujung September, sekali gus meluaskan pengaruh muzik mereka ke pasaran antarabangsa. - KitaReporters


19
15
0
14
0
You will be interested