Seni & Sukan 25 Oct, 2025

Video| Dharma berharap dapat bertemu Al-Sultan Abdullah! YASA sumbang bantuan! Periksa kesihatan!

@fauzan uda ahmad
Bekerja dengan Utusan Malaysia dari 1985 hingga 1996. Menjadi wartawah hiburan, koresponden di Jakarta, Indonesia dan Ketua Meja Hiburan. juga bertugas dengan beberapa media lain

Share this
Pelakon veteran Dharma Harun Al-Rashid, 68, menerima panggilan telefon daripada Pengerusi Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Khadijah Ibrahim, 66, yang akan datang ke rumahnya (Dharma) pada Jumaat 17 Oktober 2025 lalu.


Dharma menganggap kedatangan Khadijah adalah sebagai kenalan lama untuk melihatkan perkembangan terkininya. 

Pada masa yang ditetapkan, Khadijah muncul bersama Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez, 72, dan beberapa tetamu yang tidak dikenalinya.

Dharma tergamam apabila Khadijah memberitahu para tetamu itu adalah daripada Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA)  yang diketuai Pengurus Besarnya, Fakrul Islam Juhali.  

Turut serta dalam kunjungan itu ialah Pengarah Klinikal YASA, Dr. Azfar Hussien dan Pakar Perubatan Keluarga, Dr. Rosmaliza Kamaruddin. 


Fakrul Islam Juhali memberi kata-kata semangat kepada Dharma.

Selain memberi sumbangan kewangan, YASA turut membawa doktor yayasan untuk melihat tahap kesihatan terkini Dharma.

Sumbangan (YASA) di bawah inisiatif “Santuni Warisan YASA: Kasih Untuk Pejuang Seni”. 

Sumbangan tersebut merupakan limpah kurnia dan keprihatinan Sultan Pahang melalui YASA yang sentiasa komited memperjuang kesejahteraan rakyat, khususnya golongan asnaf, warga emas dan artis veteran.

Selain bantuan kewangan, pasukan perubatan YASA turut melaksanakan pemeriksaan kesihatan menyeluruh bagi memastikan Dharma menerima rawatan terbaik dan berterusan.

Dharma menerima rawatan daripada Dr. Azfar Hussien  dan Dr. Rosmaliza Kamaruddin.

Langkah ini sejajar dengan komitmen YASA dalam melaksanakan pendekatan kebajikan secara holistik yang merangkumi aspek kesihatan, sosial dan moral. 

Dharma kata beliau pernah bersua muka dengan Al-Sultan Abdullah ketika zaman kegemilangannya dan menyifatkan baginda seorang pemimpin berhemah tinggi dan melayan rakyat dengan baik.

Dharma berharap setelah sihat akan dapat bertemu dengan Tuanku Sultan secara langsung.


Dharma mula dikenali melalui filem pertama lakonannya ‘Adik Manja’ pada 1980. Namun sejak beberapa tahun kebelakangan tahap kesihatan Dharma menurun sehingga menjejas peluang untuk berlakon dan melakukan kerja di belakang tabir.

Sebelum  ini, produser  prolifik A Aida pernah berjanji jika berjaya membawa watak dengan baik dalam drama ‘Ayah’, Aida akan memberi Dharma peluang berlakon bagi tempoh setahun  dalam drama bersiri atau telefilem keluaran rumah produksi A Aida Production. - KitaReporters

3
13
0
17
0
You will be interested