Seni & Sukan 06 Jan, 2026

Video| Ning Baizura disangka hamil? Perjelas isu baby bump! Kongsi kesedaran tentang pramenopaus!

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. 📧: [email protected]

Share this

Penyanyi bersuara soprano, Ning Baizura, 50, mencuri perhatian warganet apabila tampil menjelaskan perubahan fizikal yang dialaminya kebelakangan ini, sekali gus membuka ruang perbincangan mengenai fasa pramenopaus (perimenopause) yang dilalui kebanyakan wanita berusia 40-an dan ke atas.



Menerusi satu video yang dimuat naik dalam akaun TikTok rasminya, @ningbaizuraofficial, pada penghujung Disember 2025, Ning menjawab secara santai namun berinformasi terhadap komen-komen netizen yang menyangka dia mempunyai ‘baby bump’ (bonjolan perut wanita hamil).

Dalam nada bersahaja dan diselitkan humor, Ning menjelaskan bahawa perubahan tersebut bukanlah tanda kehamilan, sebaliknya berpunca daripada kembung badan (bloated) dan water retention, simptom biasa yang sering dialami wanita yang memasuki fasa pramenopaus.



Sebagai figura seni yang sudah lebih tiga dekad mewarnai industri hiburan tanah air, Ning bukan sekadar dikenali dengan vokal lunak dan lagu-lagu malar segar, malah sering dipuji kerana keberaniannya bersuara mengenai isu wanita, kesihatan dan penerimaan diri.

Pramenopaus atau perimenopause merupakan fasa peralihan sebelum menopaus sepenuhnya, di mana hormon wanita mula berubah secara tidak menentu. 

Antara simptom biasa termasuklah kitaran haid tidak teratur, perubahan emosi, keletihan, kembung perut, peningkatan berat badan, ‘hot flushes’ dan gangguan tidur. Namun begitu, tahap dan kesannya berbeza bagi setiap individu.



Kesedaran mengenai fasa ini masih rendah dalam kalangan masyarakat, menyebabkan ramai wanita berasa keliru, takut atau malu untuk berkongsi pengalaman mereka. 

Justeru, perkongsian Ning disifatkan ramai sebagai langkah berani dan sangat diperlukan.

Dalam video yang dikongsi, Ning menjawab segala salah faham peminat terhadap perubahan fizikalnya.

“Assalamualaikum. Hai semua. Dua tiga hari lepas (penghujung Disember 2025), saya ada baca komen kelakar. Komen kata, ‘Eh, eh nampak macam Ning ada baby bump.’ 

"Saya gelak sebab saya ni dah 50 tahun dan saya memang sedang melalui fasa menopaus. Kalau tak faham, pergilah cari apa maksudnya. Jangan bimbang,” jelasnya. 

Dia turut menegaskan perubahan fizikal itu hanyalah kesan kembung badan.

“Saya sebenarnya bloated. Sebab nampak macam ada apabila pakai baju. Saya pun tak suka pakai korset. Tapi tak apa, terima kasih juga. Love you,” ucapnya.



Nada tenang dan positif yang ditampilkan oleh Ning nyata menenangkan ramai wanita yang turut melalui situasi sama, sekali gus menghilangkan stigma terhadap perubahan tubuh wanita berusia.

Ruangan komen video tersebut dibanjiri dengan pelbagai reaksi netizen, bukan sahaja menyokong Ning, malah berkongsi pengalaman peribadi masing-masing mengenai pra-menopaus dan menopaus. 

“Dia umur 50 baru pramenopaus. Aku baru 38 period dua hari je dah pramenopaus. Macam mana ni. Tunggang-langgang betul hidup,” kongsi salah seorang netizen.

Komen tersebut menunjukkan realiti bahawa ada wanita yang mengalami simptom pramenopaus lebih awal daripada usia kebiasaan.



Sementara itu, ada juga netizen yang menjelaskan ia tidak mustahil kalau Allah sudah tetapkan.

“Dik Ning, kalau kun fayakun, Allah nak bagi, tak mustahil. Semua daripada Allah.”

Menjawab komen tersebut dengan penuh adab dan kesedaran diri, Ning membalas:

“Insya-Allah kan, kun fayakun. Alhamdulillah, tapi saya tahu badan saya. Hehehe. Memang water retention, bloated. Terima kasih ya.”



Tidak kurang juga yang menyuarakan kebimbangan mengenai keselamatan fasa perimenopause.  “Perimenopaus tu bahaya sebab tiba-tiba ada?” 

Menjawab persoalan itu, Ning tampil memberikan penjelasan yang sangat informatif. 

“Tak bahaya. Itu biasa untuk semua wanita. Kita jumpa pakar sakit perempuan, jadi kita buat persiapan termasuk rawatan homeopati yang natural. 

"Alhamdulillah, setiap enam bulan saya akan check dengan pakar sakit puan. Kita orang perempuan harus ‘embrace’ semua ni secara terbuka. Kita mesti tahu badan dan hormon kita. Kalau nak tahu lebih lanjut, DM saya, insya-Allah saya akan kongsi,” terang Ning. 



Selain perkongsian pengalaman dan persoalan kesihatan, ramai netizen turut mendoakan kesejahteraan Ning.

“Semoga kakak cantik terus diberi kesihatan yang baik berpanjangan, dipermudah urusan selalu dan dikurniakan rezeki yang banyak. 

"Tak payah lah kakak tambah lagi, kakak rehat dan terus hiburkan kami je,” tulis netizen tersebut.

Perkongsian Ning ini berjaya membuka ruang dialog yang sihat mengenai kesihatan wanita, khususnya berkaitan pra-menopaus dan menopaus yang sering dianggap topik sensitif. - KitaReporters


15
11
0
9
0
You will be interested