Seni & Sukan 23 Oct, 2024

Video| Cahaya Mata ubah perspektif diri Ikhwan Fatanna! Kongsi bersama pasangan dikurnia anak sulung!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this


Tidak dapat dinafikan menerima cahaya mata pertama bagi setiap pasangan suami isteri adalah momen yang cukup indah dikenang waima rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT itu adalah anugerah yang tiada nilai tandingannya.

Dan lebih menguntungkan apabila zuriat itu dilahirkan daripada golongan anak seni seperti penyanyi dan penulis lagu ternama, Ikhwan Fatanna Mokhtar, 34, yang mampu menterjemahkan perasaannya melalui sebuah lagu yang diberi judul tepat dengan maksudnya iaitu ‘Cahaya Mata’.

Lagu tersebut dicipta khas sempena kelahiran anak sulungnya iaitu bayi lelaki yang diberi nama Yusuf Musa Mohamad Fatanah yang dilahirkan oleh isterinya, Lin Ariffin pada 17 September 2024.



Ikhwan berkata, kelahiran cahaya mata mengubah perspektif dirinya mengenai kehidupan. 

“Saya ingin berkongsi perasaan yang tidak terucap ini melalui lagu ‘Cahaya Mata’, sebagai tanda penghargaan untuk momen yang cukup indah yang saya dan isteri lalui. 

"Lagu ini bukan sahaja untuk ibu bapa tetapi juga untuk sesiapa sahaja yang merasai keajaiban kasih sayang dalam keluarga,” ulas Ikhwan Fatanna.

Menurut  Ikhwan, beliau mendapat idea untuk mencipta lagu tersebut ketika isteri sedang mengandung lima bulan dan disebabkan terlalu gembira dan bersyukur beliau mahu menterjemahkan perasaannya itu dalam sebuah lagu.

“Sebenarnya, lagu ini saya fikir nak simpan untuk kenangan bersama keluarga saja. Tapi, bila saya bagi isteri dengar, dia kata lagu ini okey dan menarik. 

"Saya ambil keputusan untuk kongsikan lagu ini bersama orang ramai sebab saya pasti ramai orang juga mengalami perasaan yang sama ketika menerima kehadiran cahaya mata,” ceritanya.



Sehubungan itu, beliau mengambil keputusan melancarkan ‘Cahaya Mata’  pada 18 Oktober 2024 bersamaan genap sebulan uusia cahaya matanya sekarang.

“Jadi, lagu ini sangat istimewa untuk dia dan juga cahaya mata yang lain insya-Allah. Dan jika Allah kurniakan lagi rezeki ini, saya tidak menolak dan sangat bahagialah dengan anugerah ini. 

"Untuk saya sebenarnya, tak ada apa lagi yang saya nak kejar kerana impian saya selama ini adalah untuk membina sebuah keluarga yang bahagia,” tambah Ikhwan.

Pendek kata, lagu “Cahaya Mata” adalah cerminan kasih sayang, pengharapan dan syukur yang dirasai Ikhwan sebagai seorang bapa. 

Lirik yang ditulis dengan penuh kejujuran ini menyampaikan rasa cinta yang mendalam terhadap anaknya serta mengangkat tema tanggungjawab dan kebahagiaan yang hadir dengan kehadiran seorang anak. 

Susunan muzik lagu ini lembut dan penuh emosi dengan melodi indah yang membangkitkan suasana keintiman serta kedamaian.



Ikhwan berharap lagu “Cahaya Mata” dapat menghiasi setiap keluarga kerana ada banyak elemen kebahagiaan dan syukur dalam lagunya itu.

“Memang sangat luar biasa perasaan ini apabila dikurniakan cahaya mata. Jadi, saya terjemahkan perasaan ini dalam lagu ini dan saya harap lagu ini dapat sambutan yang baik daripada semua. 

"Saya berharap pendengar dapat menikmati lagu Cahaya Mata ini,” tambahnya sambil bersyukur Allah mengurniakannya keluarga yang bahagia, sekali gus berharap dan berdoa agar dapat membawa kebahagiaan keluarga hingga ke akhirat insya-Allah! - KitaReporters

14
11
0
7
0
You will be interested