Sejak wujudnya media sosial, hubungan kita dengan rakan-rakan sekolah yang terputus kembali terjalin. Bayangkan ada yang berpuluh-puluh tahun tidak bersua muka tiba-tiba mendapat jemputan ke majlis pertemuan semula atau reunion rakan sekelas mahu pun rakan satu sekolah.
Bagi sekumpulan alumni pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) atau dikenali sebagai Anak Sains Mara (ANSARA), reunion yang berlangsung baru-baru ini adalah sempena sambutan ke-50 tahun sejak tertubuhnya maktab pertama di Seremban, Negeri Sembilan pada tahun 1972.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan perjumpaan semula (reunion)
Festival MRSM Music Fest 2022 anjuran Alumni Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) telah berlangsung dengan jayanya di Axiata Arena , Kuala Lumpur pada Sabtu, 29 Oktober 2022.
Menariknya, pihak penganjur bukan sekadar mengadakan pertemuan biasa tetapi melakukan sesuatu yang berskala besar buat julung kalinya dengan menghimpun wakil pelajar dan bekas pelajar MRSM seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
Festival yang dinamakan MRSM Music Fest 2022 itu berlangsung dengan jayanya di panggung berprestij, Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Sabtu, 29 Oktober 2022 yang lalu.
Festival tersebut bertambah meriah dengan gabungan guru-guru dan ibu bapa pelajar MRSM (MUAFAKAT).
Mereka mempertaruh bakat anak-anak MRSM yang bukan sekadar menguasai akademik tetapi juga hebat dalam pertandingan pentas, MRSM Got Talent. Lebih istimewa pelajar Kolej Mara dan Kolej Profesional Mara diajak bergabung beradu bakat dan kemahiran.
Menurut Penerbitnya, Mohamad Fadzil Shari, pihaknya membuat perancangan mengadakan konsert tersebut sejak bulan April 2022 lalu dan pihaknya berpuas hati dengan kejayaan festival apabila sasaran pengunjung seramai 5,000 berjaya dicapai.
“Pertemuan
yang sangat hebat dan mencapai objektif ANSARA. Bukan sahaja tarikannya kepada acara pentas dan muzik namun
sepanjang festival telah berlangsung pelbagai aktiviti sampingan yang bermula
seawal 7 pagi dengan aktiviti larian santai.
“Hiburan yang dipersembahkan juga terkawal dan hampir 70 buah lagu yang didendangkan
oleh alumni secara individu dan berkumpulan malah pancaragam pengiring juga
profesional,” katanya.
Istimewanya
beberapa alumni yang bergelar tokoh korporat telah diberi penghormatan membuka
persembahan pentas yang bermula pada sebelah petang dan berterusan sehingga jam
11 malam dengan pelbagai genre muzik dari alumni seluruh negara.
Aktiviti turut disertai 300 peniaga yang terdiri daripada alumni MRSM terlibat menjayakan ekspo jualan yang menawarkan jualan makanan, minuman, pakaian dan barangan lain malah turut dipamerkan hasil kreativiti para pelajar. Turut diadakan cabutan bertuah, sebuah motorsikal tajaan Yamaha.
MRSM Lenggong, Perak telah muncul juara dan tempat ketiga dalam pertandingan MRSM Got Talent sempena penganjuran festival menyambut ulang tahun ke-50 penubuhannya di Axiata Arena, Kuala Lumpur.
Sementara itu pertandingan MRSM Got Talent untuk mencungkil bakar pelajar telah menerima 200 penyertaan dari seluruh negara dan seramai 31 penyertaan ke peringkat akhir yang menampilkan bakat nyanyian, permainan alat muzik moden dan tradisional yang merebut hadiah wang tunai.
Muhammad Syakir Aiman Azzemey dari MRSM Lenggong, Perak telah menjuarai kategori MRSM dengan persembahan nyanyian dan gitar akustik.
Tempat kedua persembahan Coral Speaking dari MRSM Tun Ghazali Shafie, Kuala Lipis, Pahang dan tempat ketiga dimenangi MRSM Lenggong, Perak juga.
Manakala Kolej MARA Seremban, Negeri Sembilan (Indera Mestika) dinobatkan sebagai juara kategori kolej dengan persembahan caklempong diikuti dengan tempat kedua The Meds Trio dari Kolej MARA Kulim, Kedah dan tempat ketiga Mohd Nor Fahmie dari KPM Beranang, Selangor. - KitaReporters
Kolej MARA Seremban, Negeri Sembilan menjuarai pertandingan kategori kolej .