Seni & Sukan 12 Sep, 2022

Komitmen PEWARIS jaga warga emas Keluarga Malaysia! Rancang bina kompleks asrama serba lengkap!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this


SAMBIL memenuhi matlamat aspirasi Keluarga Malaysia, kolaborasi terbaik dengan empat pusat jagaan di Selangor akan dilakukan oleh Pertubuhan Kebajikan Warga Emas Langkasuka, Kubang Pasu (Pewaris) dalam usaha mewujudkan Kompleks Asrama Warga Emas di atas tanah seluas 1,422 ekar, di Bukit Napai, Mukim Binjal, Kubang Pasu, Kedah dalam masa terdekat.

Usaha berkenaan selaras untuk membantu kerajaan bagi mengawal selia serta mengambil peduli permasalahan warga emas yang berkemungkinan terlepas pandang oleh pihak berkenaan,memandangkan ada sebahagian mereka terbiar tanpa waris atau tidak diuruskan dengan sempurna oleh ahli keluarga menyebabkan mereka berkeliaran tanpa arah.


Lagi cerita-cerita menarik berkaita pusat jagaan warga emas

Azmi Mat Napiah (dua dari kanan) ketika berbincang dengan Azman Rasman (kiri) dan Mohiadin Bahado (tiga dari kiri) di bilik mesyuarat PJMM.


Setiausaha PEWARIS, Azmi Mat Napiah, berkata perkara itu benar-benar berlaku dan beliau sendiri pernah berjumpa dengan warga emas terbabit yang diibaratkan seperti geladangan apabila memberi keinsafan kepada dia serta idea untuk mewujudkan sebuah kompleks bagi menempatkan mereka itu khususnya di Kedah.

Menurutnya, tiga dari empat pusat jagaan berkenaan yang beroperasi lebih 10 tahun itu didapati menyelia dan mengurus warga emas termasuk yang uzur dengan cukup baik dan kakitangan khusus sukarelawan bertugas menyantuni penghuni di pusat berkenaan dengan penuh sopan tanpa dikenakan sebarang bayaran.

Jelasnya, setiap kemudahan disediakan serta pelbagai barangan yang infak oleh banyak pihak dimanfaatkan sebaik mungkin dan itu menunjukkan mereka amanah dalam memastikan warga emas dijaga menikmati sumbangan berkenaan dengan mengurus secara sempurna tanpa sebarang pengabaian.


Azmi bertanya khabar seorang warga emas di PJMM yang tidak dapat bergerak menerima layanan seperti dalam wad hospital.


“Saya dibawa melihat sendiri ke setiap bilik yang menempatkan warga emas termasuk yang terlantar di atas katil apabila semuanya dijaga serta diuruskan dengan teratur manakala kakitangan bertugas pula ada menyuapkan makanan kepada penghuni uzur dan tidak mampu menguruskan diri.

“Sikap menyantuni sedemikian bukanlah suatu yang senang atau dibuat-buat jika tiada sifat keprihatinan dalam diri yang ikhlas melayani warga emas umpama ibu atau bapa sendiri dengan penuh kasih sayang,” kata Azmi yang mengadakan lawatan kolaborasi ke Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia dan Pusat Jagaan Ihsan di Semenyih, Pusat Jagaan Nur Hasanah, di Beranang serta Pusat Jagaan Al-Fikrah, Kajang, Selangor pada 1 September 2022.

Beliau bersama Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan Penghuni dan Publisiti PEWARIS, Ku Azmi Ku Ibrahim sehari suntuk melawati pusat jagaan berkenaan bagi menimba pengetahuan serta ilmu mengurus warga emas yang memiliki pelbagai ragam dan karenah.


Azmi Mat Napiah (tiga dari kiri) merakam kenangan selepas melawat Pusat Jagaan Nur Hasanah, di Beranang, Selangor pada 1 September 2022.   


Azmi berkata, apabila kompleks yang dirancangkan itu berjaya dibina, PEWARIS akan berusaha sebaik mungkin untuk ambil peduli mereka ditimpa musibah termasuk dalam kalangan asnaf dan miskin khususnya warga emas terbiar serta ibu tunggal diuruskan dengan sempurna termasuk memberi bimbingan ilmu ibadat dan latihan kemahiran supaya dapat berdikari.

Menurutnya, apabila siap dibina nanti kompleks itu akan berada dalam persekitaran suasana perkampungan berdusun kerana kawasan tanah seluas 20 ekar yang bersempadan giat ditanam pokok durian dan akan dijadikan agropelancongan dengan dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk inapan desa (rumah inap).

Tambahnya, kompleks itu juga akan dengan dilengkapi prasarana yang cukup sempurna seperti dua blok bangunan asrama setingkat yang boleh menampung 40 hingga 50 penghuni dengan kemudahan bilik mandi, tandas, membasuh, bacaan, tempat berehat, ruang menonton televisyen dan sebagainya selaras kehendak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).


Azmi bermesra dengan seorang penghuni di Pusat Jagaan Ihsan.


Beliau berkata, di samping prasarana berkenaan, kompleks itu juga akan dilengkapi beberapa bangunan seperti asrama warden, tukang masak, pentadbiran, bilik mesyuarat, wad sementara, kemahiran vokasional, latihan kesihatan, kantin, surau, dewan ilmu, rumah kawalan keselamatan, inapan desa untuk disewa.

“Dalam usaha merealisasikan usaha ini pengurusan PEWARIS sudah membuat kunjungan hormat serta berbincang dengan jabatan kerajaan berkaitan termasuklah pejabat daerah, majlis perbandaran, pentadbir tanah daerah, hospital, pejabat zakat daerah, pejabat agama Islam dan sebagainya untuk dimaklumkan perkara itu selain bertukar pandangan terutama berkaitan undang-undang, akta dan peraturan.


Azmi (tengah) menunjukkan kawasan tanah yang akan dibangunkan Kompleks Asrama Warga Emas di Bukit Napai, Mukim Binjal, Kubang Pasu, Kedah kepada Mohiadan (kanan) dan Azman.


“Sebagai pertubuhan sukarela, PEWARIS mempunyai sumber kewangan yang terhad dan kini sudah berusaha mendapatkan kebenaran atau kelulusan daripada pihak berkenaan bagi mendapatkan kebenaran melakukan aktiviti mengumpul dana daripada pelbagai pihak dan berharap masyarakat dapat berganding bahu dengan menghulurkan sumbangan.

“PEWARIS pertubuhan sukarela berkonsep kebajikan disertai ramai sukarelawan pelbagai latar belakang serta pengalaman kerja termasuk pesara agensi kerajaan dan swasta akan memikulkan tanggungjawab besar dalam membantu mengurus disamping menyelia mereka yang ditempatkan di kompleks berkenaan,” ujarnya. - KitaReporters


Ku Azmi (kanan) dan Azmi menunjukkan isyarat bagus selepas melawat persekitaran PJMM.

25
14
2
16
0
You will be interested