Seni & Sukan 27 Jun, 2023

Video| Minat kereta berkuasa tinggi dan sports? Sila hadir Adrenaline Rush Track Day! 15 Julai 2023!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: kita.reporters@gmail.com atau editor.kitareporters@gmail.com

Share this


Utama Motors Sdn. Bhd., salah sebuah pengedar kenderaan import mewah yang terkemuka di negara ini telah membuat pengumuman rasmi mengenai sebuah acara yang bakal mereka taja iaitu ‘Adrenaline Rush Track Day 2023’ (ART Day 2023). 

Majlis pengumuman yang diadakan di ruang pameran syarikat itu di Jalan Ampang pada 26 Jun 2023, telah dihadiri rakan-rakan penganjur bersama, barisan penaja, media arus perdana termasuklah media cetak dan elektronik serta pempengaruh (influencer), blogger dan tetamu-tetamu jemputan khas. 

Turut serta memberikan sokongan kepada Utama Motors dan acara yang bakal diadakan adalah wakil-wakil daripada Persatuan Pengimport & Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA). 



ART Day 2023 bakal berlangsung pada 15 Julai 2023 di Paddock Utara, Litar Antarabangsa Sepang (SIC), yang dianjurkan buat julung kalinya oleh Kelab U Supercars.

Pengarah Urusan Utama Motors, Dato’ Marof Khan Mohamed Idris memberitahu acara sukan permotoran bukanlah sesuatu yang asing bagi Utama Motors kerana mereka telah banyak menyertai acara seumpama itu sebelum ini.

“Utama Motors amat teruja untuk sama-sama memeriahkan ART Day 2023 yang menampilkan pelbagai kereta berkuasa tinggi dan kereta sport,” ujar beliau.

Tambah Marof Khan, acara ini bakal disertai lebih 400 pemilik kereta berkuasa tinggi dan kereta sport yang akan berarak, menjadikannya sebuah perhimpunan kereta berkuasa tinggi dan kereta sport terbesar yang pernah diadakan di negara ini, sekali gus akan diiktiraf oleh Malaysian Book of Records (MBOR).

Menurutnya lagi, selain perarakan kereta berkuasa tinggi dan kereta sport, lebih 200 pemilik motor Harley Davidson akan turut serta memeriahkan perarakan ART Day 2023 nanti.

“Sebagai pengedar kenderaan import, kami bukan sahaja mengedar kereta, malah melalui anak syarikat kami, FS Bikes, kami turut menawarkan motorsikal berkuasa tinggi seperti Harley Davidson,” kata Marof Khan.



Beliau memberitahu penglibatan syarikatnya, Utama Motors dan FS Bikes dalam industri kenderaan import membuka peluang kepada mereka untuk membina hubungan erat dengan komuniti pemilik-pemilik kereta dan motor berkuasa tinggi. 

Ini terbukti dengan sokongan mereka dalam menjayakan acara sukan permotoran yang bakal dianjurkan pada bulan hadapan (Julai 2023). 

Di samping Utama Motors, antara syarikat-syarikat lain yang terlibat adalah Liberty Insurance, EZCare Warranty, PEKEMA Auto Club, Warranty Smart, Elrah Exclusive, Kacey Legacy, Optimum Premium Motors (OPM) dan Drex Precision Services. 

ART Day 2023 turut disokong oleh SMI Cars, FS Bikes, Carlist.my, Malaysia Singapore Supercar Club, Mustang Club Malaysia, Northern Speedo, TerMeetup Club, Majlis Belia Malaysia dan SUKE TV yang bertindak sebagai rakan media rasmi.

ART Day 2023 turut menganjurkan acara Time Attack bagi membuka peluang kepada pemilik-pemilik kereta berkuasa tinggi, kereta sport mahupun motor Harley Davidson yang berminat untuk merasai pengalaman memandu di atas trak dan menguji ketahanan kenderaan mereka. 

Untuk mendaftar bagi acara perarakan mahupun Time Attack, mereka yang berminat boleh menghubungi talian 017-4619985 atau emel ke u.supercarsclub@yahoo.com. 



Yuran penyertaan serendah RM120 dikenakan bagi kategori perarakan untuk kereta berkuasa tinggi dan kereta sports manakala untuk kategori perarakan motor Harley Davidson, yuran penyertaan yang dikenakan adalah sebanyak RM150 yang disertakan dengan sehelai baju-T dan makan malam. 

Bagi kategori Time Attack pula, yuran penyertaan adalah RM800 berserta baju-T dan makan malam untuk kategori kereta berkuasa tinggi dan kereta sports, manakala untuk kategori motor Harley Davidson, yuran penyertaan yang dikenakan adalah sebanyak RM380 yang disertakan dengan sehelai baju-T dan makan malam.

Melalui acara Time Attack, hadiah bernilai hampir RM80 ribu yang berupa wang tunai, piala dan baucar pembelian untuk kegunaan di Utama Motors & FS Bikes ditawarkan bagi mereka yang menyertai acara tersebut. 

Selain itu, ART Day 2023 yang dibuka kepada orang ramai turut menawarkan pelbagai hadiah cabutan bertuah berupa helmet motor, baju eksklusif Harley Davidson dan bermacam lagi.

Selain berpeluang melihat sendiri secara dekat keunikan kereta dan motor berkuasa tinggi serta kereta sport, antara acara lain yang bakal menjadi tarikan pengunjung adalah persembahan pentas daripada barisan artis tanah air. 

Terdapat lebih 20 pengendali trak makanan dengan sajian juadah tempatan dan antarabangsa yang boleh dikunjungi sekiranya pengunjung-pengunjung ingin menjamu selera. 

Orang ramai yang berminat untuk ke ART Day 2023 boleh mendapatkan tiket berharga RM29 bagi orang dewasa dan RM14 bagi kanak-kanak yang sudah mula terjual di www.ticket2u.com.my. - KitaReporters/Kenyataan Media


10
14
0
8
0
You will be interested